Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OPPO A77s – Telefon Pintar Entry Level Premium Yang Berbaloi

Pengenalan

OPPO A Series adalah satu siri telefon pintar yang memfokuskan kepada penawaran spesifikasi penting pada harga yang lebih berpatutan dan boleh diakses oleh semua pengguna.

Selepas pelancaran OPPO A96 pada awal tahun ini, OPPO kini telah memperkenalkan OPPO A77s untuk pasaran Malaysia pada harga yang lebih mesra poket.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh, OPPO A77s dilihat sebagai telefon pintar terbaik terbaik dipasaran pada harga dibawah RM 1,000.

Adakah OPPO A77s adalah sesuatu yang patut anda pertimbangkan sebagai telefon pintar baharu anda?, jom baca ulasan kami.

Reka Bentuk

OPPO A77s hadir dengan reka bentuk yang agak premium bagi telefon pintar pada kategori dibawah RM 1,000 dibawah telefon pintar ini tampil dengan rekaan sisi petak dengan ketebalan hanya 7.9mm.

Sisi OPPO A77s ini diperbuat daripada keluli yang mempunyai warna yang menyamai panel belakang yang diperbuat daripada plastik jika tekaan kami adalah tepat.

OPPO A77s tampil didalam dua warna iaitu Sky Blue dan Starry Black yang kelihatan menarik dimana unit ulasan kami yang tampil didalam Sky Blue mempunyai kemasan yang memberikan pantulan warna pelangi apabila dilihat pada sudut berbeza.

Seterusnya, panel belakang OPPO A77s juga memiliki satu modul kamera yang menempatkan dua sensor kamera dan ianya sedikit timbul berbanding panel belakang namun tidak begitu keterlaluan.

Walaupun tampil dengan rekaan yang nipis, OPPO A77s masih memiliki bicu audio 3.5mm pada bahagian sisi bawah yang turut menempatkan slot USB-C dan gril pembesar suara ultra-linear yang jarang-jarang ditawarkan pada tahap harga ini.

Pada bahagian sisi kanan, OPPO A77s tampil dengan satu butang kuasa yang juga berfungsi sebagai ciri keselamatan biometrik dengan sensor capjari manakala pada sisi kiri peranti terdapat butang kelantangan bunyi dan slot SIM.

Skrin Paparan

OPPO A77s hadir dengan skrin paparan HD+ berukuran 6.56-inci yang memiliki kadar segar semula 90Hz.

Skrin paparan ini menyokong kadar segar semula 90Hz namun terdapat tetapan untuk anda memilik kadar segar semula 90Hz (High) atau 60Hz (Standard) pada bahagian tetapan.

Skrin paparan OPPO A77s  ini adalah jenis LCD dan ianya juga tampil dengan teknologi All-day AI Eye Comfort yang menjanjikan penggunaan yang tidak memberikan kesan kepada mata.

Secara keseluruhanya, panel skrin OPPO A77s memberikan pengalaman visual memadai bagi telefon pintar ini namun sokongan resolusi HD+ dilihat tidak lagi sesuai bagi telefon pintar yang mempunyai harga mencecah RM 1,000 ini.

Pemproses

OPPO A77s dijana dengan cip pemprosesan 6nm daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 680 dan ianya bukan telefon pintar pertama daripada OPPO dengan cipset ini.

OPPO mendakwa kemampuan CPU pada OPPO A77s adalah 102% lebih baik berbanding prestasi CPU yang digunakan pada OPPO A77 manakala prestasi GPU adalah 76% lebih baik.

Cip pemprosesan ini menawarkan peningkatan prestasi jauh lebih baik berbanding generasi sebelum ini dan ianya juga dipadankan dengan 8GB RAM serta storan dalaman 128GB dan terdapat sokongan Extended RAM yang memberikan sehingga 5GB RAM maya menggunakan storan dalaman.

Selain itu, OPPO A77s juga menyokong kadar microSD sehingga 1TB yang memastikan semua keperluan multimedia anda dapat dipenuhi.

Dalam pada itu, OPPO juga patut diberikan pujian kerana telefon pintar OPPO ini turut menerima antaramuka terkini syarikat ini iaitu ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12.0

kami juga tidak akan terkejut jika OPPO merancang untuk menawarkan ColorOS 13 yang berasaskan Android 13 untuk telefon pintar ini di masa hadapan.

Kamera

OPPO A77s menampilkan penggunaan kamera yang sangat mudah iaitu satu sensor utama 50MP yang dibantu satu sensor Bokeh 2MP.

Sensor utama 50MP yang dimiliki OPPO A77s ini mempunyai aperture f/1.8 dan FoV 77° yang mampu memberikan hasil gambar yang baik dan terdapat juga mod kamera UHD yang memberikan anda fotografi 108MP.

Penggunaan sensor utama 50MP pada telefon pintar didalam kelas harga seperti OPPO A77s adalah sesuatu yang boleh dipuji dan ianya ternyata mampu memberikan pengguna hasil gambar yang memuaskan.

Selain itu, sensor bokeh 2MP yang disertakan bersama sensor utama 50MP ini akan membantu untuk mengambil gambar potret atau bokeh yang lebih baik dengan ciri seperti Bokeh Flare Portrait.

Dalam pada itu, OPPO A77s juga memiliki kamera selfie 8MP yang mampu memberikan anda hasil selfie yang baik dan telefon pintar ini juga memiliki beberapa filter selfie menarik untuk menjadikan gambar selfie anda lebih artistik dan profesional.

Bateri

OPPO A77s tampil dengan  bateri berkapasiti 5,000mAh yang kini satu kapasiti standard pada kebanyakkan telefon pintar midrange dan entry-level.

Ianya menjanjikan jangka hayat bateri yang baik dan mampu melepasi satu hari penggunaan dengan mudah hasil gabungan cipset yang sangat cekap tenaga.

Selain itu, OPPO A77s juga dilengkapi sokongan pengecasan pantas 33W SUPERVOOC yang memberikan penggunaan satu pakej pengecasan yang bukan hanya pantas malah mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang dipercayai.

Dengan teknologi pengecasan pantas ini, OPPO A77s mampu mencapai pengecasan ke tahap 50% didalam masa kurang dari 30 minit sahaja manakala tambahan 41 minit pengecasan mencukupi untuk mencapai tahap 100%.

Penutup

OPPO A77s adalah peranti yang menawarkan anda semua ciri yang patut ada pada sesebuah telefon pintar.

Selain itu, rekaan OPPO A77s juga memberikan pengguna satu pakej telefon pintar yang kelihatan premium sesuai dengan trend semasa yang menjadikan telefon pintar sebagai satu lagi peralatan fesyen yang melengkapkan penampilan anda.

OPPO A77s kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 999.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.