Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULSAN : OPPO Band 2 – Jam Kecergasan mesra poket dengan 14 hari jangka hayat bateri

Pemakaian jam pintar atau jam kecergasan kini adalah satu kemestian kepada pengguna terutamanya bagi mereka yang sangat menitikberatkan kesihatan.

Jika dahulu rekaan sebuah jam kecergasan tidak begitu diberikan perhatian, kini ianya dilihat sebagai satu aksesoriĀ fesyen untuk gaya hidup yang moden.

OPPO Band adalah jam kecergasan mampu milik popular daripada syarikat ini dan generasi terbaru OPPO Band 2 kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan paparan yang lebih besar dan pelbagai fungsi kesihatan yang lebih menyeluruh.

Berikut adalah ulasan OPPO Band 2 yang kini telah mula ditawarkan di Malaysia pada harga RM 249.

Reka Bentuk & Skrin Paparan

OPPO Band 2 tampil didalam reka bentuk yang lebih mirip kepada sebuah jam pintar namun dengan saiz rangka yang lebih kecil namun dengan skrin paparan AMOLED berukuran 1.57-inci yang menyokong input sentuhan dan skrin ini adalah 74% lebih besar berbanding generasi sebelum ini.

Skrin paparan OPPO Band 2 ternyata amat responsif dengan kadar kecerahan yang agak baik iaitu mencecah 500 nits dan terdapat tiga tahap kecerahan yang boleh diakses terus pada jam.

OPPO Band 2 tampil dengan pelbagai Watch Face yang menarik untuk anda suaikan mengikut citarasa anda dan terdapat juga pilihan untuk anda menetapkan gambar dari galeri peranti anda sebagai watch faces melalui aplikasi HeyTap Health yang tersedia pada Google Play Store dan Apple App Store.

Selain itu, OPPO Band juga tampil dengan ciri AI Outfit yang membolehkan anda mereka watch faces yang sama dengan pakaian anda. AI Outfit membolehkan anda mengambil gambar pakaian semasa dan aplikasi HeyTap Health akan menjana beberapa reka bentuk Watch Face berdasarkan imej yang diambil.

OPPO Band 2 disertakan didalam dua pilihan warna tali iaitu white blue menggabungkan dua warna dan hitam. tali jam yang digunakan juga amat selesa untuk dipakai dengan berat keseluruhan jam ini hanya 33 gram.

Walaubagaimanapun, ukuran tali jam ini mungkin sedikit kecil pengelangan tangan golongan lelaki dan tali berwarna white blue ini juga agak mudah kotor.

Lebih 100 aktiviti kecergasan

OPPO Band 2 menyokong lebih dari 100 aktiviti kecergasan yang termasuk 4 aktiviti yang boleh dikesan secara automatik iaitu berjalan, berlari, mesin elips, dan mesin mendayung.

OPPO Band 2 juga menyokong bacaan kadar degupan jantung ketika aktiviti kecergasan dilakukan dan ianya juga boleh mengukur jarak anda melakukan aktiviti dengan menggunakan GPS pada telefon pintar.

Selain itu, OPPO Band 2 juga dilengkapi dengan pemantauan kadar denyutan jantung sepanjang masa, yang akan memaklumkan anda apabila degupan jantung anda menjadi tidak normal, dan pemantauan degupan jantung untuk aktiviti larian yang selamat, ciri juga boleh memaklumkan anda tentang kadar denyutan jantung yang tinggi. Band ini juga secara automatik memantau dan menilai pemulihan kadar jantung anda selepas berlari, menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap kesihatan jantung anda.

Selain bacaan kadar degupan jantung, OPPO Band 2 juga menyokong kadar bacaan SpO2, tekanan, perekod tidur dan pelbagai peringatan lain yang memastikan jam kecergasan ini sentiasa mengawasi tahap kesihatan diri anda.

Notifikasi

OPPO Band 2 juga menerima notifikasi dari aplikasi popular seperti WhatsApp namun anda hanya boleh membaca mesej tersebut dan perlu menggunakan telefon pintar untuk membalas mesej tersebut.

Anda juga menetapkan dari aplikasi mana anda mahu menerima notifikasi melalui aplikasi HeyTap Health.

Jangka Hayat Bateri

OPPO Band 2 tampil dengan jangka hayat bateri yang mengagumkan iaitu sehingga 14 hari namun ianya bergantung kepada corak penggunaan anda.

Sepanjang ulasan kami, kami memakai OPPO Band 2 dengan disambungkan kepada Bluetooth sepanjang masa dan boleh dikatakan bahawa ketahanan bateri adalah hampir seperti yang didakwa oleh OPPO.

Selain itu, OPPO juga menawarkan sokongan pengecasan pantas yang membolehkan anda menikmati satu hari penggunaan dengan 5 minit pengecasan sahaja.

Penutup

OPPO Band 2 adalah sebuah jam kecergasan dengan pelbagai fungsi yang mungkin membolehkanya di klasifikasikan sebagai sebuah jam pintar.

OPPO Band 2 memasuki pasaran yang sengit namun kebolehan jam kecergasa ini dilihat membolehkanya bersaing dengan pelbagai jenama jam kecergasan popular lain dipasaran.

OPPO Band 2 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 249.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.