Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OnePlus Nord CE 2 Lite 5G – Peranti Edisi Teras untuk semua

Pengenalan

Tempoh sibuk sejak beberapa minggu ini telah menyaksikan OnePlus melancarkan dua telefon pintar OnePlus Nord Series di Malaysia iaitu OnePlus Nord 2T 5G dan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G.

Selepas membuat ulasan tentang OnePlus Nord 2T 5G yang anda boleh baca disini, kini tiba giliran OnePlus CE 2 Lite 5G pula diuji oleh kami di mobilefokus.com

Bercerita sedikit tentang OnePlus Nord CE 2 Lite 5G, ianya adalah telefon pintar 5G kelas entry-level daripada OnePlus dan CE merujuk kepada Core Edition yang mempunyai tag harga yang amat berpatutan.

Berikut adalah ulasan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,199.

Reka Bentuk

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G tampil dengan reka bentuk yang agak ‘normal’ bagi telefon pintar pada kategori harga ini iaitu berasaskan plastik namun dengan rekaan yang premium.

Panel belakang OnePlus Nord CE 2 Lite 5G ini ditawarkan didalam dua kemasan iaitu Black Dusk dan Blue Tide seperti unit ulasan kami.

Warna Blue Tide ini menampilkan skema warna gradiasi biru kehijauan dengan kemasan bergaris pada bahagian sekeliling modul kamera telefon pintar ini.

Kemasan ini ternyata memastikan telefon pintar ini sentiasa bersih tanpa kesan capjari dan sisi yang melengkung juga memastikan ianya memberikan cengkaman yang kukuh ketika dipegang pada tangan.

Pada sisi kanan, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G tampil dengan butang kuasa yang menempatkan sensor capjari manakala pada bahagian sisi kini pula terdapat slot SIM yang turut menyokong kad microSD dan butang kelantangan bunyi yang sedikit bawah bagi kami.

Pada bahagian bawah pula, terdapat gril pembesar suara, slot USB-C dan bicu audio 3.5mm yang masih disertakan walaupun ianya boleh dianggap telah ditelan zaman dan kemajuan teknologi audio.

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G mempunyai ukuran dimensi 356.7mm x 75.6mm x 8.5mm dengan berat 195gram yang bermaksud ianya bukan sebuah telefon pintar yang ringan.

Skrin Paparan

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G menampilkan skrin paparan LCD berukuran 6.59-inci dengan lubang punch-hole yang menempatkan kamera selfie 16MP.

Panel skrin OnePlus Nord CE 2 Lite 5G ini mempunyai kadar segar semula 120Hz dengan resolusi FHD+ dan kepadatan piksel 401ppi. OnePlus mendakwa panel LCD ini adalah sangat efisien tenaga khususnya dengan penggunaan teknologi AI dynamic refresh rate.

OnePlus tidak mendedahkan samada skrin telefon pintar ini mempunyai sebarang lapisan gelas keselamatan yang kebiasaanya dibekalkan oleh Corning.

Secara keseluruhanya, skrin paparan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G adalah setaraf telefon pintar pada tahap harga yang sama namun dengan kadar segar semula 120Hz adalah sesuatu yang positif namun harus kita sedari bahawa ianya bukan panel OLED yang lebih baik dan berwarna.

Pemproses

Sebagai sebuah telefon pintar kelas midrange, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G menampilkan penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695 5G yang merupakan cipset terbaru yang dibangunkan pada proses 6nm.

OnePlus mendakwa cip Snapdragon 695 ini menawarkan 30% peningkatan prestasi GPU berbanding generasi sebelum ini dan ianya juga telah memperoleh 406,221 mata AnTuTu.

Cipset ini ternyata mampu menawarkan prestasi peranti yang memuaskan namun dengan antaramuka OxygenOS 12.1 yang berasaskan Android 12 dan OnePlus juga memberikan jaminan telefon pintar ini akan menerima dua kemaskini OS Android dan sehingga 3 tahun kemaskini keselamatan Android.

Bersama cip Snapdragon 695, OnePlus Nord CE 2 Lite juga memiliki GPU Adreno 619, 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 128GB jenis UFS 2.2. OnePlus Nord 2 CE 2 Lite juga mempunyai ciri penggunaan storan dalaman sebagai RAM tambahan yang memastikan prestasi peranti kekal lancar walaupun pelbagai aplikasi dibuka serentak (sehingga 5GB RAM).

Sebagai telefon pintar untuk kegunaan harian, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G dilihat mempunyai kemampuan mencukupi dengan prestasi yang stabil bersama OxygenOS 12.1

Kamera

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G memiliki tiga sensor kamera yang terdiri daripada sensor utama 64MP bersama 2 sensor 2MP yang merupakan sensor makro dan sensor depth 2MP.

Ini bermaksud hanya sensor utama telefon pintar ini mampu mengambil gambar yang baik manakala dua lagi sensor hanya sebagai pelengkap tetapan sistem tri-kamera.

Sensor utama 64MP yang digunakan pada OnePlus Nord CE 2 Lite 5G ini adalah jenis quad bayer yang menghasilkan output gambar 16MP dan pada pendapat kami kualiti gambar juga tidak begitu tinggi dan agak lembut.

Selain sensor yang baik, pemprosesan imej juga memainkan peranan utama didalam menghasilkan gambar berkualiti tinggi dan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G mempunyai kekurangan dari segi ini.

Selain itu, sensor makro 2MP yang disertakan pada OnePlus Nord CE 2 Lite 5G juga tidak begitu mengagumkan dengan batasan fotografi yang terlalu ketara walaupun ianya hanya menyokong gambar fotografi makro. Fotografi makro memerlukan sensor dengan resolusi yang lebih tinggi bersama pencahayaan yang baik untuk mendapat hasil memuaskan.

Satu lagi ciri yang ditawarkan pada OnePlus Nord CE 2 Lite adalah mod malam dan ianya ternyata mampu mengambil gambar malam yang lebih baik dan cerah berbanding gambar malam tanpa mengaktifkan mod malam pada aplikasi kamera.

Bateri

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G menampilkan penggunaan bateri berkapasiti 5,000mAh yang pasti mencukupi untuk pengguna mengharungi satu hari penggunaan tanpa sebarang masalah.

Selain itu, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G juga memiliki pengecasan pantas 33W SUPERVOOC yang membolehkan anda mengecas peranti ke tahap 50% didalam masa 30 minit sahaja dan telefon pintar ini juga mempunyai 9 sensor suhu untuk memastikan bateri kekal pada suhu yang ‘selamat’ dan berfungsi dengan baik.

Penutup

Secara keseluruhanya OnePlus Nord CE 2 Lite 5G adalah satu telefon pintar yang berbaloi dimiliki bagi pengguna yang mempunyai bajet sekitar RM 1,200 dan ke bawah.

Walaupun tidak sempurna dari semua aspek, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G mempunyai beberapa kelebihan seperti sokongan 5G, skrin 120Hz dan sistem operasi OxygenOS 12.1 yang terkini.

OnePlus Nord CE 2 Lite 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,199 namun terdapat promosi berkala yang membolehkan anda mendapatkan telefon pintar ini pada harga RM 999 di Shopee.

 

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.