Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OnePlus Nord 2T 5G – Peranti Midrange terbaik dari OnePlus

Pengenalan

Siri telefon OnePlus Nord adalah siri yang menawarkan pengguna telefon pintar kelas midrange dan model terbaru yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini adalah OnePlus Nord 2T 5G.

OnePlus Nord 2T 5G merupakan model pertama dengan moniker T yang sebelum ini hanya ditawarkan pada peranti flagship OnePlus sahaja dan ini juga bererti ianya model kedua OnePlus Nord 2 Series sebelum pelancaran generasi baharu dilancarkan.

OnePlus Nord 2T 5G menampilkan beberapa perubahan ketara apabila dibandingkan dengan OnePlus Nord 2 antaranya adalah reka bentuk panel baharu, cip MediaTek Dimensity 1300 dan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.

Adakah perubahan yang dibawa OnePlus Nord 2T 5G cukup menyakinkan untuk ia menjadi telefon pintar midrange terbaik dipasaran?, jom baca ulasan OnePlus Nord 2T kami.

Sebelum ke agenda utama, berikut adalah maklumat harga OnePlus Nord 2T di Malaysia.

OnePlus Nord 2T 5G (8/128GB) – RM 1,899 – warna Jade Fog

 OnePlus Nord 2T 5G (12/256GB) – RM 2,099 – warna Gray Shadow

Reka Bentuk

OnePlus Nord 2T 5G tampil dengan reka bentuk premium yang pasti membuat anda tertawan pada pandangan pertama.

Jika anda memilih untuk mendapatkan varian 8/128GB, OnePlus Nord 2T anda akan tampil didalam warna Jade Fog seperti unit ulasan kami manakala jika anda pilih varian 12/256GB, OnePlus Nord 2T anda akan tampil didalam warna Gray Shadow yang pasti mengingatkan anda kepada warna Sandstone Black yang pernah ditawarkan pada OnePlus One dahulu.

OnePlus Nord 2T 5G ini tampil dengan reka bentuk panel belakang yang kelihatan seakan gelas namun OnePlus masih memgekalkan penggunaan polikarbonat pada Nord 2T dan ianya digandingkan dengan rangka aluminum.

Satu lagi kelebihan panel belakang ini adalah ianya dilapisi gelas keselamatan Corning Glass 5 yang memastikan ianya tahan lasak dan lengkungan pada kedua-dua sisi panel belakang memberikan cengkaman yang baik ketika dipegang.

Seterusnya, panel ini belakang ini juga tidak begitu cenderung mengumpul capjari namun kesan capjari akan kelihatan apabila penggunaan berpanjangan dan untuk itu OnePlus juga menyertakan satu case silikon matte didalam kotak.

Selain itu, OnePlus Nord 2T 5G terasa begitu selesa bagi saya kerana dimensi telefon pintar ini adalah kompak walaupun ianya memiliki skrin paparan 6.43-inci dan ini mungkin disebabkan sudah biasa dengan penggunaan telefon pintar peribadi yang lebih besar.

Tambahan lagi, OnePlus Nord 2T 5G juga memiliki modul kamera yang tampil premium saling melengkapi panel belakang dan bezel modul kamera dan sensor ini juga diberi kemasan warna metalik.

Beralih ke bahagian sisi pula, OnePlus Nord 2T 5G tampil dengan butang kuasa dan alert slider pada sisi kanan manakala pada sisi kiri adalah butang pelaras bunyi. Pada bahagian bawah terdapat slot USB-C, gril pembesar suara dan slot SIM yang menyokong dua SIM nano.

Akhir sekali, OnePlus Nord 2T 5G tampil dengan ukuran 8.2mm dan berat 190gram.

Skrin Paparan

OnePlus Nord 2T 5G tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.43-inci dengan kadar segar semula 90Hz yang turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 dan terdapat lubang punch-hole pada bahagian tepi skrin.

Skrin paparan ini mempunyai resolusi FHD+ (2400 x 1080 piksel) dengan kepadatan piksel 409ppi dan sokongan HDR10+ serta Always-On Display.

Selain itu, panel skrin OnePlus Nord 2T 5G mempunyai kadar segar semula 90Hz dan ianya menawarkan dua pilihan tetapan kadar segar semula iaitu Standard yang memberikan kadar bingkai 60Hz manakala High memberikan anda kadar bingkai 90Hz sepanjang masa yang mungkin sedikit menjejaskan prestasi bateri.

Ianya bukan panel LTPO2 yang menawarkan kadar segar dinamik namun menyedari harga peranti ini didalam kategori midrange, penggunaan panel LTPO2 sudah pastinya akan menelan kos yang lebih tinggi.

Walaupun ada telefon pintar kelas midrange yang ditawarkan dengan skrin yang menyokong kadar segar semula 120Hz, kami berpendapat 90Hz adalah kadar yang sesuai untuk telefon pintar kelas midrange kerana ianya menawarkan pengalaman skrin yang seimbang dengan jangka hayat bateri yang baik.

Seterusnya, bercakap mengenai bezel skrin, telefon pintar OnePlus Nord 2T 5G ini mempunyai bezel sisi skrin yang agak nipis dan ianya turut diterjemahkan pada sisi atas namun sisi bawah atau dagu telefon pintar ini agak besar pada pendapat kami.

Pemproses

Jika anda seorang peminat OnePlus, anda pasti tahu bahawa OnePlus melancarkan kesemua telefon pintar mereka dengan cipset daripada Qualcomm sahaja namun ianya telah berubah dengan pelancaran OnePlus Nord CE 2 yang menjadi telefon pintar pertama OnePlus dengan cip MediaTek.

Selain itu, OnePlus Nord 2 juga telah tampil dengan cip daripada MediaTek iaitu Dimensity 1200 dan OnePlus Nord 2T 5G pula tampil dengan MediaTek Dimensity 1300 yang mempunyai konfigurasi CPU dan GPU (ARM Mali-G77 MC9) yang sama.

Seterusnya, cip MediaTek Dimensity 1300 menawarkan peningkatkan prestasi secara keseluruhan termasuk kelajuan pelancaran aplikasi dengan menggunakan teknologi MediaTek HyperEngine 5.0 .

Dalam pada itu, Cip MediaTek ini diperbuat daripada proses 6nm yang sangat cekap tenaga dan ianya terdiri daripada 4 teras Cortex-A78 yang menawarkan kelajuan sehingga 3.0GHz.

Bersama cip ini, OnePlus Nord 2T 5G juga disertakan dengan dua pilihan RAM jenis LPDDR4X iaitu 8GB atau 12GB dengan storan dalaman 128GB atau 256GB jenis UFS 3.1.

Beralih kepada antaramuka OnePlus iaitu OxygenOS yang sering dikatakan sebagai antara UI paling hampir kepada pengalaman Android yang tulen namun terdapat elemen ColorOS pada antaramuka ini.

OxygenOS 12.1 yang ditawarkan pada telefon pintar ini menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat stabil tanpa sebarang isu ‘lag’ dan ianya ditambah dengan beberapa ciri baharu yang berguna.

Selain itu, OnePlus juga menyatakan komitmen untuk menawarkan OnePlus Nord 2T 5G sehingga dua kemaskini sistem operasi Android (sehingga Android 14) dan tiga tahun kemaskini keselamatan.

Kamera

OnePlus Nord 2T 5G tampil dengan tiga sensor kamera untuk memenuhi keperluan fotografi anda dan ianya adalah satu sensor utama 50MP, satu sensor ultrawide 120⁰ 8MP dengan EIS dan satu sensor monokrom 2MP.

Ini adalah tetapan yang sama seperti pada OnePlus Nord 2 namun hasil gambar yang diperoleh adalah memuaskan terutamanya dari sensor utama.

Sensor utama OnePlus Nord 2T 5G ini adalah daripada Sony iaitu sensor IMX766 yang mempunyai OIS dan hasil gambar yang diperoleh adalah baik namun ketelitian dan maklumat pada gambar tidak begitu memuaskan untuk mata kami.

Selain itu, penawaran sensor ultrawide 8MP dan sensor monorkrom 2MP dilihat tidak setaraf dengan sensor utama 50MP dan kami juga lebih gembira sensor ultrawide yang ditawarkan adalah lebih baik sekurang-kurangnya 13MP.

Bercakap mengenai kamera selfie, OnePlus Nord 2T 5G hadir dengan sensor 32MP Sony IMX615 yang mampu menawarkan anda hasil selfie dan potret yang baik.

Ke bahagian videografi pula, OnePlus Nord 2T mampu mengambil rakaman video 4K pada kadar 30fps selain rakaman video 1080p

Berikut hasil gambar dari OnePlus Nord 2T 5G.

Bateri

OnePlus Nord 2T 5G dilengkapi bateri berkapasiti 4,500mAh yang mana ianya terbahagi kepada dua sel bateri 2,250mAh dan ianya turut disertakan dengan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.

Jangka hayat bateri yang ditawarkan oleh OnePlus Nord 2T 5G dijangka mampu bertahan sehingga satu hari namun pengecasan pada waktu malam dilihat satu keperluan untuk anda mengharungi hari seterusnya.

Pengecasan pantas 80W SUPERVOOC adalah sesuatu yang tersedia jika anda memerlukan pengecasan yang pantas kerana ianya mampu menawarkan satu hari penggunaan dengan pengecasan selama 15 minit sahaja manakala pengecasan penuh mengambil masa sekitar 40 minit.

Teknologi pengecasan pantas yang ditawarkan pada OnePlus Nord 2T adalah 120% lebih pantas berbanding apa yang ditawarkan pada OnePlus Nord.

Tidak lupa, OnePlus Nord 2T 5G tidak mempunyai sebarang sokongan pengecasan tanpa wayar.

Penutup

OnePlus Nord 2T 5G adalah sebuah telefon pintar midrange yang dilihat mampu memberikan pengguna sebuah peranti OnePlus yang dipercayai untuk kegunaan harian.

OnePlus Nord 2T 5G mungkin bukan yang terbaik dipasaran namun bagi peminat OnePlus, ianya adalah alternatif terbaik kepada peranti flagship premium syarikat ini yang mempunyai harga lebih tinggi.

OnePlus Nord 2T 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,899 namun jika anda berminat untuk memiliki telefon pintar ini, kami cadangkan anda untuk memiliki versi 12/256GB yang ditawarkan pada harga RM 2,099.

 

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.