Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ShopeeGivesBack mengumpul RM2.9 juta untuk 40 NGO di Malaysia

ShopeeGivesBack, inisiatif komuniti jangka panjang Shopee, telah mengumpul RM2.9 juta secara kolektif dalam tempoh dua tahun, melalui usaha mengumpul dana bersama lebih 40 Badan Bukan Kerajaan (NGO) demi membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dalam masa yang memerlukan.

#ShopeeGivesBack telah dilancarkan pada 1 Mei 2020 semasa kemuncak pandemik COVID-19, menggunakan teknologi untuk membantu golongan yang terabai di Malaysia dan merangkumi empat bahagian: pembangunan masyarakat kurang bernasib baik, perkhidmatan kanak-kanak dan keluarga, badan amal kesihatan dan badan amal alam sekitar.

Platform ini menyediakan sebuah saluran dalam talian kepada rakyat Malaysia bagi menyokong sesebuah usaha dengan cara yang amat mudah.

Shopee memastikan NGO-NGO ini mempunyai rekod yang boleh dipercayai dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

RM2.1 juta dikumpul melalui saluran derma pada platform yang sentiasa boleh diakses, sambil para pengguna membeli-belah setiap hari dan menderma melalui laman mikro khusus #ShopeeGivesBack.

56% daripada sumbangan yang dikumpul melalui saluran ini disalurkan kepada NGO yang berkaitan dengan B40 serta bantuan komuniti seperti Pertubuhan Kasih Neelofa, Islamic Relief Malaysia dan Pusat Jagaan Nurul Jannah.

20% daripada dana yang dikumpul disalurkan kepada NGO yang menyediakan kit perubatan dan klinik bergerak semasa banjir seperti MERCY Malaysia.

14% daripada sumbangan tersebut membantu rakan kongsi seperti UNICEF Malaysia demi memenuhi keperluan kritikal yang melibatkan kanak-kanak yang terpinggir serta keluarga mereka yang terkesan dengan Covid-19.

10% telah disalurkan kepada usaha berkaitan alam sekitar seperti Zoo Negara, di mana dana yang dikumpul membantu dalam memenuhi keperluan tahunan seperti makanan, kebajikan dan penjagaan veterinar haiwan-haiwan.

RM800,000 telah dikumpul semasa kempen-kempen e-dagang khas yang membantu dalam tujuan yang bersasar: Jualan tiket Zoo Negara contohnya mengumpulkan lebih RM400,000 bagi kebajikan haiwan manakala lebih RM200,000 dalam dana bantuan banjir (termasuk RM100,000 sumbangan sepadan daripada Shopee) membantu 1,300 keluarga membina semula kehidupan mereka selepas banjir melanda baru-baru ini di Kedah, Kelantan, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, dan Negeri Sembilan.

Pertubuhan Kasih Neelofa, Islamic Relief Malaysia, dan Pusat Jagaan Nurul Jannah merupakan rakan-rakan NGO jangka panjang #ShopeeGivesBack. Ketiga-tiga NGO ini telah mengumpul hampir RM400,000 dalam bentuk bantuan makanan, keperluan asas serta barangan isi rumah untuk keluarga-keluarga dan rumah-rumah B40 di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.