Samsung Galaxy XCover6 Pro dilancarkan – telefon pintar lasak untuk golongan profesional
Telefon pintar lasak pertama Samsung dengan sokongan 5G kini telah dilancarkan secara rasmi iaitu Samsung Galaxy XCover6 Pro.
Samsung Galaxy XCover6 Pro memiliki skrin paparan LCD berukuran 6.6-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini juga mempunyai kadar sensitiviti sentuhan yang lebih tinggi yang membolehkanya digunakan dengan sarung tangan atau tangan yang basah dan ianya turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+
Sebagai telefon pintar lasak, Samsung Galaxy XCover6 Pro juga telah menerima pensijilan kalis air dan habuk IP68 serta piawaian MIL-810H.
Samsung Galaxy XCover6 Pro dijana cip Snapdragon 778G yang dipadankan dengan 6GB RAM dan storan dalaman 128GB yang turut boleh ditambah menggunakan slot microSD. Ianya juga mempunyai sokongan 5G dan Wi-Fi 6E.
Selain itu, Samsung Galaxy XCover6 Pro juga memiliki bateri berkapasiti 4,050mAh yang boleh ditanggal dan terdapat sokongan pengecasan pantas 15W namun adapter tidak disertakan dengan pembelian.
Salah satu ciri istimewa Samsung Galaxy XCover6 Pro ini adalah butang push-to-talk yang boleh dipra-tetap.
Beralih kepada kamera, Samsung Galaxy XCover6 Pro memiliki sensor utama 50MP f/1.8 bersama sensor ultrawide 8MP f/2.2. Kamera selfie adalah 13MP.
Lain-lain ciri yang dimiliki telefon pintar ini adalah OneUI yang berasaskan Android 12, mod speaker boost, bicu audio 3.5mm dan Samsung DeX.
Buat masa ini harga jualan Samsung Galaxy XCover6 Pro ini masih belum diumumkan.