Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Xiaomi Buds 3T Pro – TWS Premium Xiaomi dengan ANC

Pengenalan

Pasaran earbuds tanpa wayar premium didominasi oleh dua jenama yang turut mendominasi pasaran telefon pintar global iaitu Apple dan Samsung.

Walaubagaimanapun, terdapat syarikat yang sentiasa berusaha menawarkan peranti TWS yang diletakkan untuk memberikan persaingan kepada TWS daripada dua syarikat gergasi itu.

Isi kotak Xiaomi Buds 3T Pro

Xiaomi merupakan salah satu daripada syarikat tersebut dan TWS terbaru keluaran mereka iaitu Xiaomi Buds 3T Pro kini telah tiba ke pasaran Malaysia.

Xiaomi Buds 3T Pro tampil dengan ciri premium seperti pembatalan bunyi hingar (ANC), pengecasan tanpa wayar dan reka bentuk berkualiti tinggi.

Ini adalah ulasan Xiaomi Buds 3T Pro yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 549.

Reka Bentuk 

Xiaomi Buds 3T Pro tampil dengan reka bentuk in-ear dengan kemasan yang berkilat didalam warna Gloss White namun jika anda lebih gemar kepada kemasan matte, warna Carbon Black adalah pilihan terbaik.

Selain itu, pada setiap buds terdapat satu lagi panel plastik putih yang sedikit berbeza daripada keseluruhan peranti.

Selain itu, bekas pengecasan Xiaomi Buds 3T Pro juga hadir didalam warna yang sama dan ianya juga berkilat, terdapat satu lampu indikasi LED pada bahagian hadapan, slot USB-C untuk pengecasan dan butang fungsi dibahagian bawah. Ianya juga menawarkan sokongan pengecasan tanpa wayar

Pada bahagian belakang, terdapat logo Xiaomi pada engsel pembukaan.

Setiap satu earbuds ini mempunyai berat hanya 4.9 gram dan apabila disertakan dengan bekas pengecasan ianya mempunyai berat hanya 51 gram yang pasti tidak akan memberatkan poket anda.

Xiaomi Buds 3T Pro mempunyai reka bentuk yang ergonomik dan profil yang tidak terlalu ‘gemuk’ memastikan ianya selesa digunakan walaupun untuk tempoh yang lama dan didalam kotak pembelian turut disertakan ear caps berlainan saiz untuk dipakai mengikut kesesuaian telinga pemakai

Kedua-dua buds ini juga mempunyai sensor tekanan yang digunakan untuk mengaktifkan pelbagai fungsi termasuk fungsi ANC namun fungsi untuk mengawal kelantangan bunyi tidak disertakan.

Satu lagi ciri Xiaomi Buds 3T Pro yang patut kami perkatakan adalah pensijilan IP55 yang bermaksud ia menawarkan perlindungan daripada air dan habuk.

Akhir sekali, Xiaomi Buds 3T Pro juga mempunyai tiga mikrofon pada setiap earbuds.

Ciri-ciri Xiaomi Buds 3T Pro 

Xiaomi mendakwa Buds 3T Pro menawarkan pembatalan bunyi hingar aktif setaraf TWS premium dipasaran iaitu sehingga 40dB namun sepanjang penggunaan kami, ianya ternyata mampu menapis bunyi bising persekitaran yang tidak terlalu kuat dan TWS ini juga menyokong LHDC 4.0 (Low Latency High-Definition Audio Codec) .

Perhubungan kepada telefon pintar adalah sangat mudah dimana untuk sambungan kali pertama anda hanya perlu mengaktifkan peranti (sambung pada kabel pengecasan) dan membuka sambungan Bluetooth pada telefon pintar serta menekan butang fungsi selama 2 saat (penutup bekas pengecasan juga harus dibuka).

Istimewa pada telefon pintar Xiaomi adalah suatu aplikasi khas yang membolehkan anda mengakses pelbagai fungsi Buds 3T Pro ini dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung kepada sensor tekanan earbuds.

Xiaomi Buds 3T Pro mempunyai Bluetooth 5.2 yang didakwa mampu mempunyai perhubungan dengan telefon pintar sehingga 10 meter dan ianya boleh digunakan bersama peranti Android, iOS dan komputer riba Windows dengan sokongan penyambungan ke dua peranti serentak (dual-device smart connection).

Selain itu, Xiaomi Buds 3T Pro juga hadir dengan sokongan in ear detection yang bermaksud muzik akan terhenti apabila salah satu earbuds dikeluarkan dari telinga.

Kualiti Bunyi

Dalam pada itu, Xiaomi Buds 3T Pro ini mempunyai pemacu dinamik dwi-magnet 10mm dengan salutan DLC.

Secara keseluruhanya, Xiaomi Buds 3T Pro menawarkan kualiti muzik yang baik dengan adunan elemen muzik yang cukup sempurna namun kami berpendapat kelantangan muzik adalah tidak memuaskan walaupun ianya diletakkan pada tahap maksimum.

Jangka Hayat Bateri

Xiaomi Buds 3T Pro dikatakan mampu menawarkan sehingga 6 jam penggunaan melalui earbuds sahaja namun ianya boleh dipanjangkan sehingga 24 jam dengan bekas pengecasan.

Pengecasan Xiaomi Buds 3T Pro mengambil masa sekitar 70 minit dan penawaran ciri pengecasan tanpa wayar juga adalah satu kelebihan kerana ianya boleh dicaj pada pengecas Qi atau peranti yang menyokong reverse wireless charging.

Penutup

Xiaomi Buds 3T Pro mungkin bukan sebuah TWS yang mampu menyaingi kedudukan TWS Apple atau Samsung namun ianya pilihan terbaik kepada pengguna peranti Xiaomi.

Ianya mampu menawarkan kualiti audio dan panggilan yang memuaskan namun ciri ANC sedikit tidak memuaskan hati kami.

Xiaomi Buds 3T Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 549

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.