Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra – Ini adalah Note terbaik

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 49

Pengenalan

Sejak pengenalan Galaxy Note Series kira-kira 10 tahun lalu, Samsung telah menggunakan strategi pelancaran dua siri telefon pintar flagship setiap tahun iaitu Galaxy S Series pada awal tahun dan Galaxy Note Series pada pertengahan kedua.

Walaubagaimanapun, selepas pengenalan telefon pintar foldable Galaxy Z Series, Samsung berhadapan kemungkinan melancarkan sehingga 3 model flagship setiap tahun yang boleh dikatakan terlalu banyak bagi sebuah syarikat gergasi seperti Samsung.

Selain itu, perbezaan antara Galaxy S Series dan Galaxy Note Series adalah sangat minima yang mana paling ketara adalah penawaran S Pen.

Sehubungan dengan itu, Samsung kini telah menggabungkan kelebihan Galaxy Note Series pada Galaxy S yang memberikan pengguna telefon pintar Galaxy S pertama dengan S Pen terbina.

Kami sedang memperkatakan tentang Samsung Galaxy S22 Ultra yang kini rasmi dipasaran sebagai telefon pintar flagship premium yang memberikan anda kehebatan kamera dan prestasi Galaxy S bersama kelebihan S Pen dari Galaxy Note.

Ini juga bermaksud bermula pada Samsung Galaxy S22 Ultra, setiap telefon pintar Ultra didalam Galaxy S Series akan mempunyai S Pen.

Samsung Galaxy S22 Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 5,099 (untuk storan 8/128GB yang boleh kami katakan tidak padan dengan reputasi peranti Ultra) dan jualan awal telefon pintar ini juga sangat baik dimana rekod pra-tempahan adalah dua kali ganda lebih baik berbanding Galaxy S21 Series yang mana 60% daripada model yang dibeli adalah Galaxy S22 Ultra (pada minggu pertama pra-tempahan).

Cukup kami memperkatakan tentang sejarah telefon pintar Galaxy, mari kita terokai Samsung Galaxy S22 Ultra dikatakan sebagai Galaxy S yang paling Note-worthy.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 50

Reka Bentuk

Pada pendapat kami, Samsung Galaxy S22 Ultra adalah telefon pintar yang paling cantik bersama reka bentuk modul kamera yang unik dipasaran.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 51
Samsung Galaxy S22 Ultra mempunyai pensijilan kalis air dan habuk IP68

Galaxy S22 Ultra juga ternyata berbeza dari dua lagi ahli Galaxy S iaitu Galaxy S22 dan Galaxy S22+ yang meneruskan keunikan reka bentuk Galaxy S21 Series namun dengan penggunaan komponen yang lebih premium dan penawaran S Pen tidak mengakibatkan telefon pintar ini kehilangan ciri kalis air dan habuk IP68.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy S22 Ultra menampilkan reka bentuk ‘boxy’ yang memastikan identiti telefon pintar ini sebagai model Ultra yang premium dan ternyata sangat mudah dibezakan dengan Galaxy S22 dan S22+.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 52
Pada bahagian hadapan, Samsung Galaxy S22 Ultra tampil dengan panel skrin OLED berukuran 6.8-inci yang melengkung pada kedua-dua sisi dan ianya juga dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ yang digunakan eksklusif pada Galaxy S22 Series sahaja setakat ini.

Samsung Galaxy S22 Ultra tampil dengan berat 228 gram dan ukuran dimensi 163.3 x 77.9 x 8.9mm yang mana ianya lebih ringan berbanding iPhone 13 Pro Max yang mempunyai berat 238 gram namun lebih nipis dengan ukuran 7.65mm.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 53

Samsung Galaxy S22 Ultra adalah sebuah telefon pintar yang kukuh dan penggunaan rangka Armor Aluminum bersama panel gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ memastikan telefon pintar tidak menghadapi sebarang masalah struktur.

Selain itu, salah satu perkara penting yang diwarisi dari Samsung Galaxy S21 Ultra adalah kemasan matte yang memberikan ianya penampilan kemas sepanjang masa tanpa sebarang kesan capjari.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 54

Tahun ini, Samsung Galaxy S22 Ultra tampil didalam 7 warna yang mana 4 adalah warna utama iaitu Phantom Black, Phantom White, Green dan Burgundy manakala 3 lagi warna eksklusif di Samsung.com adalah Red, Graphite dan Sky Blue yang mengingatkan kami kepada warna Sierra Blue pada iPhone 13 Pro Series. Walaubagaimanapun warna eksklusif ini tidak ditawarkan di Malaysia buat masa ini.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 55
Burgundy Bergaya

Dalam pada itu, unit reviu kami adalah didalam warna Burgundy yang hampir sama seperti warna Mystic Bronze pada Note20 Ultra.

Menutup bahagian reka bentuk S22 Ultra ini adalah dengan reka bentuk modul kamera, Samsung menerapkan reka bentuk kamera individu tanpa sebarang ‘kepulauan kamera’ yang bukan hanya unik malah menyegarkan untuk dilihat.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 56

Walaubagaimanapun, rekaan modul kamera individu ini mungkin amat mudah memerangkap habuk disekeliling lensa dan pembersihan juga perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan peranti premium ini kekal menawan.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 57

Secara keseluruhan, citarasa terhadap reka bentuk sesuatu telefon pintar adalah berdasarkan individu dan bagi kami, ianya tampil dengan reka bentuk yang sangat premium namun adalah jelas bahawa ianya mewarisi DNA Galaxy Note yang lebih petak dengan skrin melengkung pada sisi.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 58
Skrin Paparan

Tidak dapat dinafikan, pengeluar panel skrin terbaik untuk telefon pintar adalah Samsung dan Samsung Galaxy S22 Ultra sudah pastinya dilengkapi panel skrin terbaik keluaran syarikat ini.

Samsung Galaxy S22 Ultra menampilkan penggunaan skrin paparan Dynamic AMOLED 2x berukuran 6.8-inci yang merupakan panel skrin paling terang dipasaran.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 59

Dakwaan ini bukan di atas kertas semata-mata dan kami sendiri telah melihat bagaimana panel skrin ini mampu memberikan anda paparan visual yang terbaik walaupun dibawah cahaya matahari terik.

Samsung telah menyertakan panel skrin yang mempunyai kecerahan maksima 1,750 nits yang meletakkan Galaxy S22 Ultra sebagai telefon pintar dengan panel skrin yang memiliki kadar kecerahan paling tinggi dipasaran.

Samsung berjaya memungkin perkara ini dengan teknologi Vision Booster yang memastikan bahagian gelap lebih terang dan warna lebih menarik. Ini kerana meningkatkan kecerahan sahaja tidak mampu memberikan anda pengalaman skrin yang memuaskan dibawah cahaya matahari terik.

Selain itu, Samsung Galaxy S22 Ultra juga memiliki skrin paparan AMOLED LTPO 2 yang bermaksud kadar segar semula telefon pintar ini adalah dinamik antara 1Hz sehingga 120Hz bergantung kepada kandungan pada skrin dan ini memberikan penjimatan bateri yang lebih tinggi.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 60

Walaubagaimanapun, pada bahagian tetapan skrin terdapat mod Standard yang memberikan kadar segar semula 60Hz namun untuk pengalaman flagship, kekalkan sahaja pada mod Adaptive.

Selain itu, panel skrin Samsung Galaxy S22 Ultra ini juga menawarkan anda resolusi WQHD+ (3088 x 1440) dengan kepadatan piksel 500ppi.

Pada bahagian tetapan skrin, Samsung juga menyertakan ciri yang boleh meningkatkan kadar sensitiviti sentuhan apabila anda memasang filem atau gelas perlindungan skrin namun kami tidak mengaktifkan fungsi ini walaupun memasang gelas perlindungan dan ianya masih memberikan tidak balas kepada input pada skirn  dengan baik.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 61

Akhir sekali, Samsung Galaxy S22 Ultra juga dilengkapi sensor capjari dalam skrin iaitu sensor 3D Ultrasonic (Gen-2) yang sangat pantas dan ianya bukan jenis optikal yang akan memantulkan cahaya sebelum pengesanan capjari dilakukan.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 62

Pemproses

Umum diketahui bahawa Samsung menggunakan dua strategi cipset bagi telefon pintar flagship mereka yang mana pada tahun ini ia adalah Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1.

Walaubagaimanapun, tahun ini Samsung telah mengubah sedikit penawaran cipset yang mana kebanyakkan pasaran global menerima cip Snapdragon 8 Gen 1 manakala pasaran Eropah menerima cip Exynos 2200.

Ini bermaksud selepas sekian lama telefon pintar flagship Samsung untuk pengguna Malaysia kini ditawarkan dengan cip daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1.

Ini merupakan permintaan lama pengguna di Malaysia yang mahu Samsung menawarkan cipset Snapdragon pada telefon pintar Galaxy S Series yang mana ianya menjadi kenyataan tahun ini.

Kedua-dua cipset mempunyai arkitektur yang sama iaitu cip 4nm namun dengan GPU yang berbeza. S22 Ultra dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 tampil dengan GPU Adreno 720 menyokong variable rate shading (VRS) namun apa yang menarik pada Exynos 2200 tahun ini adalah ianya hadir dengan GPU Xclipse 920 yang berasaskan arkitektur AMD RDNA2 yang membawakan sokongan Ray Tracing yang hanya ditawarkan pada konsol permainan.

Selain daripada itu, cip Snapdragon 8 Gen 1 yang digunakan Galaxy S22 Ultra di Malaysia juga membawakan sokongan 5G, Wi-Fi 6e, dual-band GPS dan kuasa AI yang didakwa 4 kali ganda lebih baik berbanding generasi sebelum ini.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 63
Ciri RAM Plus turut ditawarkan pada Samsung Galaxy S22 Ultra

Unit ulasan kami memiliki 8GB RAM dan 128GB storan dalaman yang merupakan varian paling rendah namun kami mencadangkan anda memilih varian 256GB atau 512GB kerana ianya tampil dengan 12GB RAM. Logik Samsung menyertakan varian dengan 8GB RAM adalah kerana terdapat ciri RAM Plus yang menawarkan pengguna pilihan untuk menggunakan storan dalaman sebagai RAM iaitu antara 2GB hingga 8GB.

Walaubagaimanapun, kami berpendapat varian 8/128GB ini tidak sesuai untuk ditawarkan pada Galaxy S22 Ultra yang merupakan model premium didalam Galaxy S Series. Konfigurasi 8/256GB sebagai varian permulaan mungkin lebih sesuai.

Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan antaramuka One UI 4.1 yang berasaskan Android 12 dan ianya menawarkan perbezaan yang minima apabila dibandingkan dengan One UI 4.0.

Antara yang ditambah pada One UI 4.1 adalah ciri S Pen yang kini sebahagian daripada Galaxy Note Series namun hanya eksklusif pada model Ultra.

S Pen yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S22 Ultra ini adalah sama seperti pada Galaxy Note20 namun dengan latensi yang lebih rendah iaitu hanya 2.8 saat.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 64

Antara ciri baharu yang dibawa oleh S Pen ini adalah ciri mengesan tulisan anda dan mengubah menjadi teks yang kini menyokong sehingga 88 bahasa.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 65

Selain itu, S Pen juga boleh menyokong Screen-off memo yang membolehkan anda mencatat nota pada skrin dengan mengeluarkan S Pen tanpa perlu mengaktifkan telefon pintar dan skrin ini kekal didalam warna hitam. Terdapat 5 warna tulisan ditawarkan iaitu merah,hijau, putih, biru dan kuning.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 66

Lain-lain ciri yang ditawarkan S Pen adalah Smart Select, Screen Write , Live Message, AR Doodle, Translate dan banyak lagi.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 67

Dalam pada itu, fungsi S Pen juga meliputi beberapa fungsi lain seperi Air View yang boleh digunakan pada aplikasi Gallery yang membolehkan anda menunjukkan S pen pada sesuatu imej untuk previu imej yang lebih besar.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 68

S Pen adalah satu kelebihan yang dimiliki Galaxy S22 Ultra namun selepas beberapa ketika, S Pen mungkin lebih banyak menghabiskan masa didalam slot namun tidak dapat dinafikan banyak kegunaan S Pen khususnya untuk mencatat nota dan melakukan kerja-kerja rasmi seperti menandatangani dokumen.

Selain itu, Samsung juga telah mengumumkan Galaxy S22 Series akan menerima sehingga 4 tahun kemaskini Android yang bermaksud Galaxy S22 Ultra akan menerima Android 13, Android 14, Android 15 dan Android 16.

 

Tidak setakat itu, Samsung juga komited untuk menawarkan sehingga 5 tahun kemaskini keselamatan dan ini meletakkan Samsung sebagai syarikat OEM dengan kemaskini Android yang paling lama dipasaran malah lebih lama daripada apa yang ditawarkan oleh Google pada telefon pintar Pixel Series.

Menutup bahagian pemproses ini, Samsung Galaxy S22 Ultra dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 mampu memberikan anda prestasi flagship terbaik dan kehebatan cipset ini juga memastikan ianya mampu kekal relevan dengan peranti flagship lain untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 69

Kamera

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 70

Fotografi

Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan sistem quad kamera yang mempunyai tetapan kamera yang sama seperti pada Galaxy S21 Ultra.

Samsung Galaxy S22 Ultra memiliki sensor utama 108MP yang merupakan sensor kamera dengan resolusi paling besar dipasaran, satu sensor ultrawide 12MP dengan optik pengstabilan imej dan dua sensor telefoto iaitu satu sensor 10MP yang menawarkan 3x zoom optikal dan satu sensor periskop 10MP yang menawarkan 10x zoom optikal dan sehingga 100x Space Zoom.

Sensor utama 108MP yang digunakan pada Ultra tahun ini adalah sama seperti pada S21 Ultra iaitu ISOCELL HM3 dengan aperture f/1.8 dan turut disertakan dengan ciri pemfokusan auto

Sensor utama ini menggunakan proses 9-to-1 pixel binning untuk hasil gambar 12MP dengan 2.4µm piksel.

Hasil gambar pada sensor utama Samsung Galaxy S22 Ultra adalah cukup baik dengan kualiti imej yang memuaskan. Gambar yang diambil juga mempunyai ketajaman yang baik walaupun ketika di zoom.


Sensor 108MP


Beralih kepada sensor ultra wide 12MP, ianya juga merupakan sensor yang sama seperti Galaxy S21 Ultra iaitu dengan aperture f/2.2 dan bidang pandangan 120°. Penggunaan semula sensor ultrawide 12MP yang digunakan pada Galaxy S21 Ultra juga bermaksud ianya mempunyai pemfokusan auto dan S22 Ultra adalah telefon pintar kedua Samsung untuk memiliki pemfokusan auto pada sensor ultrawide.

Sensor Ultrawide



Pemfokusan auto adalah satu ciri yang sangat penting kerana ianya membantu anda mengambil gambar yang lebih jelas tanpa sebarang kekaburan.

Hasil gambar ultrawide pada Galaxy S22 Ultra ini adalah satu sensor yang mampu memberikan prestasi fotografi yang baik dengan gambar yang tajam dan penuh maklumat.

Seterusnya ke sensor telefoto 3x 12MP, hasil gambar yang diperoleh ternyata baik dan lebih jelas berbanding yang ditawarkan pada Galaxy S21 Ultra.

Dalam pada itu, sensor telefoto kedua iaitu jenis periskop 12MP juga memberikan hasil 10x yang memuaskan dan ini membolehkan anda mengambil gambar dari jauh jarak tanpa sebarang kesulitan dan lebih penting tanpa terlalu banyak kekaburan dan sensor ini juga mampu memberikan anda sehingga 100x Space Zoom.


Berikut adalah contoh gambar menggunakan sensor zoom yang dimiliki Samsung Galaxy S22 Ultra :

Aturan Gambar adalah 1x > 3x > 10x > 100x (jika ada)


Mengulas mengenai Nightography yang dilihat menjadi fokus kepada Samsung untuk mempromosikan kemajuan yang dicapai pada fotografi dan videografi malam.

Kemajuan yang dicapai ini boleh dikatakan hasil teknologi AI yang kini lebih berkuasa berbanding cipset generasi sebelum ini.



Dengan AI pada mod malam, sensor mengambil berbilang gambar cahaya malap seterusnya melakukan proses membuang kekaburan menggabungkan beberapa hasil gambar yang baik ke dalam satu foto yang sempurna.

Mod malam pada Samsung Galaxy S22 Ultra disokong pada semua sensor kecuali pada sensor  pesriskop 10x dan ianya mempunyai kebolehan untuk mencadangkan anda untuk beralih kepada mod malam apabila keadaan cahaya malap dikesan.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 109

Samsung Galaxy S22 Ultra juga menyokong pengambilan gambar makro yang mana aplikasi kamera akan mengesan keperluan fotografi makro apabila sensor berada dekat dengan sesuatu objek namun pastikan Focus enhancer diaktifkan. Hasil gambar makro dari Samsung Galaxy S22 Ultra ternyata sangat menarik dan anda boleh mengambil gambar yang sangat dekat dengan objek tersebut.


Fotografi Makro


Bercakap mengenai kamera selfie, Galaxy S22 Ultra tampil dengan sensor kamera 40MP yang mampu memberikan anda gambar selfie yang boleh diangkat sebagai antara yang terbaik dan sensor ini juga boleh digunakan untuk gambar portrait dan mod portrait malam.


Portrait & Selfie


Samsung Galaxy S22 Ultra juga hadir dengan satu lagi aplikasi kamera yang dikenali sebagai Expert RAW dan ini memberikan anda lebih banyak kebebasan untuk mengambil gambar dengan lebih banyak kawalan dan hasil gambar yang lebih sesuai untuk proses edit.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 121

Videografi

Samsung memberikan penekanan yang kuat pada aspek videografi yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy S22 Ultra.

Ini telah membolehkan Samsung Galaxy S22 Ultra mempunyai kebolehan untuk merakam video 4K 60fps pada kesemua sensor kamera yang dimilikinya dan ini termasuk bagi sensor selfie:

Selain itu, sensor utama 108MP telefon pintar ini juga menyokong rakaman video 8K pada kadar 24fps.

Secara keseluruhan pengstabilan video adalah sangat baik pada sensor utama dan sensor ultrawide yang mana terdapat juga mod super steady namun didalam mod ini anda hanya boleh merakam video pada resolusi FHD 60fps.

Satu lagi ciri menarik adalah rakaman video dengan fungsi auto framing yang bermaksud sensor akan zoom keluar dan zoom masuk pada sesuatu subjek secara automatik namun rakaman video ini hanya menyokong resolusi FHD 30fps.

Akhir sekali, rakaman video pada Galaxy S22 Ultra juga menawarkan sokongan audio Zoom-in mic yang mana kelantangan audio lebih tinggi apabila zoom dilakukan .

Seperti yang didakwa Samsung, Galaxy S22 Ultra memberikan anda pakej fotografi dan videografi terbaik malah ianya terbukti lebih baik walaupun dibandingkan dengan Samsung Galaxy S21 Ultra.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 122
Bateri

Samsung Galaxy S22 Ultra memiliki bateri berkapasiti 5,000mAh yang mana ianya adalah sama seperti pada Galaxy S21 Ultra namun harus diingat ruang dalaman telefon pintar ini juga terpaksa dibahagikan kepada slot S Pen.

Secara keseluruhan jangka hayat bateri Samsung Galaxy S22 Ultra adalah sangat memuaskan untuk penggunaan seharian anda.

Bercakap mengenai pengecasan pantas, Samsung dan Apple boleh dikatakan mempunyai pendirian yang sama didalam aspek ini kerana kedua-dua syarikat seolah tidak berada didalam persaingan untuk menawarkan teknologi pengecasan pantas terbaik pada peranti flagship mereka.

Walaubagaimanapun, Samsung kembali menawarkan sokongan pengecasan pantas 45W yang pernah ditawarkan pada Galaxy Note10 dan Galaxy S20 namun hanya pengecasan 25W disokong pada Galaxy S21 Series.

Walaubagaimanapun, adapter pengecasan tidak ditawarkan bersama pembelian yang mungkin bermaksud kebanyakkan pengguna akan menggunakan adapter pengecasan lama mereka.

Jika anda menggunakan adapter 25W, ianya dikatakan anda akan menikmati tempoh pengecasan yang sama dengan adapter 45W. Kapasiti bateri boleh mencapai 0-60% didalam masa 30 minit sahaja manakala pengecasan penuh didalam masa 60 minit.

Selain itu, Samsung Galaxy S22 Ultra juga menyokong pengecasan tanpa wayar sehingga kadar 15W dan terdapat juga pengecasan Wireless PowerShare untuk mengecas peranti lain pada panel belakang telefon pintar ini.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 123

Audio

Samsung Galaxy S22 Ultra juga dilengkapi pembesar suara stereo yang sangat kuat pada telefon pintar. Walaupun masih ada pembesar suara yang lebih kuat pada telefon pintar flagship lain dipasaran, kami berpuas hati dengan kadar kelantangan maksima yang ditawarkan telefon pintar ini.

ULASAN : Samsung Galaxy S22 Ultra - Ini adalah Note terbaik 124
Penutup

Samsung Galaxy S22 Ultra adalah satu-satunya telefon pintar yang menawarkan sokongan stylus yang terbina dan ini menjadikan telefon pintar ini tiada sebarang pesaing setaraf dipasaran.

Walaubagaimanapun, apabila dibandingkan dengan pelbagai aspek lain sesuatu telefon pintar, Samsung Galaxy S22 Ultra masih boleh diletakkan di kemuncak sebagai yang terbaik bagi tahun 2022 yang berusia hampir 4 bulan ini.

Samsung Galaxy S22 Ultra mungkin tidak mempunyai nama Note, namun gelaran telefon pintar ini sebagai peranti yang paling Noteworthy ternyata berasas.

Samsung Galaxy S22 Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 5,099 dan berdasarkan tinjauan kami mendapati permintaan telefon pintar flagship ini adalah diluar jangkaan.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.