Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Z Fold3 – peranti foldable yang lebih kukuh dan cukup sempurna

Pengenalan

Kembara Samsung didalam peranti foldable bermula kira-kira tiga tahun lalu, namun ianya terasa seperti sudah lama syarikat gergasi Korea ini melancarkan Galaxy Z Fold yang sudah memasuki generasi ketiga dan dikenali sebagai Samsung Galaxy Z Fold3

Tahap kematangan produk terbaru Samsung ini membuktikan bahawa Samsung sekali lagi telah menjadi perintis kepada produk baharu didalam industri.

Samsung Galaxy Z Series kini tampil didalam dua model iaitu Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip yang dilancarkan secara konsisten setiap tahun.

Lebih menarik, tahun ini Samsung telah mengutamakan Galaxy Z Series berbanding Galaxy Note Series namun syarikat ini telah mencuba sebaiknya untuk memastikan Samsung Galaxy Z Fold3 ini tampil lebih banyak ciri eksklusif Galaxy Note Series seperti sokongan S Pen.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy Z Fold3 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 6,699.

Reka Bentuk & Skrin Paparan

Sebelum menyelam lebih dalam ke bahagian reka bentuk, Samsung Galaxy Z Fold3 merupakan telefon pintar foldable pertama Samsung (bersama Z Flip3) untuk hadir dengan perlindungan kalis air IPX8 yang mungkin biasa untuk telefon pintar namun agak luar biasa bagi peranti didalam kategori foldable.

Sekilas pandang, Samsung Galaxy Z Fold3 mempunyai reka bentuk yang sama seperti Galaxy Z Fold2 namun jika anda mahu mencari perbezaan yang ketara, lihat sahaja reka bentuk modul kamera telefon pintar ini.


Dari segi dimensi, Samsung Galaxy Z Fold3 juga sedikit kecil berbanding generasi sebelum ini iaitu 158.2 x 67.1 x 14.4-16 mm apabila dilipat dan 158.2 x 128.1 x 6.4 mm apabila dibuka sepenuhnya manakala berat adalah 271 gram.

Samsung juga berkata bahawa Galaxy Z Fold3 juga merupakan sebuah telefon pintar yang lebih kukuh dan syarikat ini telah menggunakan rangka Armor Aluminum.

Bercakap mengenai pilihan warna, Samsung Galaxy Z Fold3 tampil didalam tiga warna iaitu Phantom Black, Phantom Green dan Phantom Silver.

Dalam pada itu, walaupun reka bentuk generasi Fold kali ini adalah lebih kompak, Samsung harus diberikan pujian kerana saiz skrin paparan yang digunakan masih sama iaitu skrin paparan utama berukuran 7.6-inci dan skrin ini tidak mempunyai sebarang notch untuk menempatkan kamera selfie kerana Samsung Galaxy Z Fold3 hadir dengan teknologi in-display camera.

Skrin paparan utama ini adalah panel Foldable Dynamic AMOLED 2X yang mempunyai kadar segar semula 120Hz dan HDR10+. Ianya mempunyai resolusi yang sama seperti panel skrin Z Fold2 iaitu 1768 x 2208 piksel.

Beralih kepada skrin paparan luar ‘cover screen’, Galaxy Z Fold3 yang menempatkan skrin paparan berukuran 6.2-inci yang mempunyai nisbah 24.5:9  dengan resolusi 2268 x 832 piksel namun perbezaan paling ketara adalah, skrin paparan ini menyamai kadar segar semula skrin paparan utama iaitu 120Hz dengan menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X. Ini bermaksud anda dapat menikmati kandungan pada paparan utama dan paparan cover screen pada kadar segar semula yang sama.

Dalam pada itu, panel skrin utama Samsung Galaxy Z Fold3 juga menyokong input S Pen namun anda perlu mendapatkan S Pen Fold Edition yang hadir dengan bucu pen yang lebih lembut dan mesra kepada skrin paparan foldable.  Galaxy Z Fold3 juga menyokong S Pen Pro.

Satu lagi teknologi yang harus diperkatakan adalah pengguna sensor kamera selfie terbina dalam skrin pada panel utama. Ianya adalah sensor 4MP yang dilihat tidak mampu memberikan anda hasil selfie yang baik namun inovasi teknologi ini harus diberikan pujian.

Walaupun dianggap tersembunyi, piksel atau potongan ini jelas kelihatan apabila kandungan dipaparkan didalam warna putih dan tidak mudah untuk diabaikan.


Pemproses

Samsung Galaxy Z Fold3 5G hadir dengan pemproses kelas flagship terbaik di pasaran iaitu Qualcomm Snapdragon 888 yang menjanjikan prestasi CPU dan GPU yang stabil dan konsisten sepanjang masa.

Bersama-sama pemproses kelas flagship ini, Samsung Galaxy Z Fold3 juga hadir satu pilihan kapasiti RAM iaitu 12GB dengan dua pilihan storan dalaman jenis UFS 3.1 iaitu 256GB atau 512GB.

Samsung Galaxy Z Fold3 5G hadir dengan antaramuka OneUI 3.1.1 yang berasakan Android dan terdapat beberapa ciri menarik yang disesuaikan khas untuk telefon pintar kategori unik ini dan salah satu daripadanya adalah Flex mode.

Samsung Galaxy Z Fold3 5G tampil dengan ciri yang dikenali sebagai Flex mode. Ciri ini akan di gunapakai apabila skrin dilipat separuh yang akan menjadikan aplikasi yang dibuka disesuaikan mengikut lipatan ini.

Sebagai contoh perisian yang telah disesuaikan untuk Flex mode adalah aplikasi YouTube dimana video akan dimainkan pada bahagian atas skrin manakala panel bawah akan memberikan maklumat video dan banyak lagi.

Ini memberikan anda kebebasan menonton video YouTube Kegemaran anda tanpa perlu memegang telefon pintar dan boleh diletakkan pada meja.

Flex mode panel ini disokong oleh pelbagai aplikasi dan untuk mengaktifkan mod flex bagi aplikasi tersebut anda boleh ke bahagian Settings > Advanced Features > Labs > Flex mode Panel > pilih aplikasi.

Walaubagaimanapun, tidak semua aplikasi yang menyokong flex mode dan jika aplikasi tersebut tidak menyokong mod ini, hanya bahagian atas akan digunakan untuk memaparkan aplikasi manakala pada bahagian bawah akan digunakan sebagai menu untuk akses kepada bahagian notifikasi, kecerahan, screenshot dan kelantangan bunyi. terdapat juga butang X untuk kembali ke paparan penuh.

Kamera

Samsung Galaxy Z Fold3 menampilkan penggunaan tiga kamera dibahagian belakang yang di atas kertas mungkin tidak setaraf sensor kamera yang ditawarkan pada Galaxy S21 Series terutamanya Galaxy S21 Ultra.

Walaubagaimanapun, prestasi kamera Galaxy Z Fold3 masih boleh diberikan pujian.

Tiga sensor yang dimiliki telefon pintar foldable terbaru Samsung ini adalah unit 12MP yang mempunyai fungsi dan jenis sensor yang berbeza.

Pertama adalah sensor 12MP Sony IMX555 yang mempunyai pemfokusan auto Dual Pixel dan OIS manakala sensor utama yang berada ditengah adalah sensor ultrawide 12MP yang mempunyai 123° FOV dan aperture f/2.2. Sensor ketiga dan terakhir pada Galaxy Z Fold3 ini adalah sensor telefoto 12MP 52mm yang menawarkan 2x zoom optik dan sensor ini juga mempunyai PDAF dan OIS.

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy Z Fold3 menawarkan anda kemampuan kamera yang baik walaupun ianya tidak setanding telefon pintar flagship Galaxy S.


Bateri

Samsung Galaxy Z Fold3 hadir dengan bateri berkapasiti 4,400mAh yang sedikit rendah berbanding generasi sebelum ini iaitu kurang 100mAh.

Seperti biasa, bateri ini dibahagikan kepada dua sel iaitu satu yang berkapasiti 2,800mAh dan satu lagi berkapasiti 2,120mAh.

Bercakap mengenai pengecasan, Samsung Galaxy Z Fold3 menyokong pengecasan pantas 25W namun anda tidak akan menerima sebarang adapter pengecasan didalam kotak.

Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold3 juga menyokong pengecasan tanpa wayar pada kadar 11W serta pengecasan berbalik pada kadar 4.5W namun hanya boleh digunakan apabila peratusan bateri melebihi 30%.


Penutup

Samsung Galaxy Z Fold3 terbukti sebagai sebuah generasi telefon pintar foldable yang paling matang daripada syarikat ini.

Kemajuan teknologi Samsung membolehkan Galaxy Z Fold3 dilancarkan dengan reka bentuk yang lebih kukuh, daya tahan yang lebih lasak dan kalis air IPX8.

Samsung Galaxy Z Fold3 kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 6,699 dan anda boleh mendapatkanya di Samsung Online Store, Samsung Experience Store dan wakil pengedar rasmi sah.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.