Aplikasi e-panggilan antarabangsa inDriver kini rasmi menawarkan perkhidmatan di Malaysia
inDriver, salah satu aplikasi e-panggilan paling terkenal di dunia telah memulakan operasi secara rasmi di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan e-panggilan yang unik di mana penumpang dan pemandu bebas merunding tambang perjalanan.
Perkhidmatan e-panggilan inDriver tersedia di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu. Syarikat tersebut turut merancang untuk melancarkan perkhidmatan di Lembah Klang tidak lama lagi.
Egor Fedorov, Ketua Pegawai Operasi inDriver berkata syarikat tersebut sangat berbangga kerana dapat memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan yang unik dan inovatif di Malaysia.
“Hari ini kami memulakan perjalanan memperbaiki cara kita mendapatkan perkhidmatan e-panggilan di Malaysia dan detik ini amat bermakna bagi kami. inDriver percaya bahawa perkhidmatan e-panggilan perlu mudah diakses, berkemampuan dan fleksibel. Dengan membolehkan pengguna kami bebas menentukan dan bersetuju dengan terma perjalanan, kami dapat mengatasi algortima digunakan syarikat e-panggilan lain yang meningkatkan harga perjalanan mengikut waktu puncak, keadaan trafik dan sejarah perkhidmatan.
“Ini juga memberikan kebebasan pilihan yang lebih baik kepada pengguna kami, terutama sekali dalam keadaan semasa di mana kita menghadapi cabaran dan ketidakpastian,” tambah beliau.
Aplikasi ini menawarkan fungsi Real-Time Deals (RTD) yang membolehkan penumpang membuat permintaan perjalanan dengan menawarkan tambang yang berpatutan.
Pemandu berdekatan akan menerima notifikasi permintaan tersebut dan mereka bebas untuk menerima tawaran tambang tersebut, melangkau tawaran tersebut atau terus tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang lebih baik.
inDriver juga unik kerana penumpang tidak dipadankan dengan pemandu secara automatik. Penumpang akan menerima tawaran balas daripada pemandu berdekatan dan mereka boleh memilih pemandu yang memenuhi kehendak mereka – tambang, penarafan pemandu, jangkaan waktu ketibaan atau model kenderaan.
Sementara itu, bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang, aplikasi inDriver menyediakan fungsi berkongsi lokasi GPS pengguna dan butiran perjalanan dalam masa nyata dengan orang dipercayai.
Selain itu, aplikasi tersebut juga menyediakan butang kecemasan yang akan menghubungkan penumpang atau pemandu terus dengan pihak berkuasa sekiranya menghadapi kecemasan.
inDriver semakin berkembang ke seluruh dunia walaupun menghadapi cabaran getir disebabkan situasi COVID-19 berterusan. Aplikasi e-panggilan unik ini mencatatkan rekod yang membanggakan pada tahun ini, di mana syarikat tersebut menyelesaikan 1 bilion perjalanan di seluruh dunia pada bulan Jun dan melepasi 100 juta muat turun aplikasi di seluruh dunia di platform Android and iOS pada bulan September.
Aplikasi inDriver boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple AppStore, Huawei AppGallery.