ULASAN : OPPO Reno6 Z – Peranti Midrange 5G dengan Reka Bentuk Premium
Pengenalan
Sejak pelancaran Oppo Reno Series beberapa tahun lalu, telefon pintar didalam siri ini sentiasa menawarkan pengguna satu pakej telefon pintar yang memberikan pengalaman fotografi yang premium dan reka bentuk menawan.
Oppo Reno6 Series kini telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia pada 5 Ogos ini dan ianya terdiri daripada dua model iaitu Oppo Reno6 dan Oppo Reno6 Z.
Oppo Malaysia telah memberikan kami akses awal kepada telefon pintar terbaru Oppo didalam siri Reno ini iaitu Reno6 Z dan berikut adalah ulasan telefon pintar ini.
Reka Bentuk
Selaras dengan dna Oppo Reno Series yang nipis dan ringan, Oppo Reno6 Z juga menampilkan reka bentuk yang premium dan mungkin juga antara yang paling cantik didalam sejarah siri telefon pintar ini.
Reka bentuk panel belakang Oppo Reno6 Z ini dikenali sebagai Reno Glow Design yang ternyata unik dipasaran.
Panel belakang Oppo Reno6 Z ternyata bukanya cantik dipandang malah ianya juga amat selesa ditangan namun kami merasakan ianya sedikit ‘licin’ pada pendapat kami.
Walaubagaimanapun kemasan matte pada panel belakang ini juga membolehkan pengguna tidak menghadapi masalah kesan capjari yang biasa dilihat pada telefon pintar.
Selain itu, kemasan berkilau Oppo Reno6 Z juga membolehkan penghasilan kesan refleksi menarik pada panel belakang apabila ianya terdedah kepada cahaya pada sudut yang berbeza.
Dalam pada itu, Oppo Reno6 Z ditawarkan didalam dua pilihan warna iaitu Stellar Black yang mempunyai berat 173 gram dengan ketebalan 7.92mm manakala warna Aurora hadir dengan ketebalan 7.97mm.
Panel belakang Oppo Reno6 Z ini juga sedikit melengkung pada kedua sisi dan ini memberikan anda cengkaman yang lebih kukuh ketika memegang telefon pintar.
Beralih kepada bahagian sisi, Oppo Reno6 Z tampil dengan butang kuasa pada sisi kanan peranti manakala pada sisi kiri peranti terdapat butang pelaran bunyi yang mana kedua-dua butang ini diletakkan pada posisi yang ergonomik. (Slot SIM juga pada bahagian sisi kiri).
Pada bahagian bawah, Oppo Reno6 Z mempunyai slot USB-C, gril pembesar suara dan bicu audio 3.5mm yang masih ditawarkan pada tahun 2021 dan anda pasti gembira untuk mengetahui bahawa didalam kotak terdapat juga earphone berwayar yang disertakan.
Menutup bahagian reka bentuk Oppo Reno6 Z ini adalah sedikit rumusan mengenai reka bentuk telefon pintar, pada pendapat kami reka bentuk Reno6 Z mampu meletakkanya sebagai telefon pintar midrange paling cantik untuk dipandang pada tahun 2021.
Skrin Paparan
Oppo Reno6 Z hadir dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.4-inci yang tampil dengan resolusi FHD+ (2400×1080).
Walaubagaimanapun, skrin paparan ini tidak mempunyai sokongan kadar segar semula yang tinggi dan ini bermaksud ianya panel yang menawarkan kadar refresh rate 60Hz sahaja.
Dalam pada itu, skrin paparan Oppo Reno6 Z ini juga mempunyai nisbah skrin kepada badan yang tinggi iaitu 90.8% (20:9) dan panel ini juga telah menerima pensijilan SGS Eye Care Display dan jika anda gemar untuk melakukan penstriman di Netflix dan Amazon, anda pasti gembira untuk mengetahui panel skrin ini juga mempunyai pensijilan HD bagi kedua-dua platform tersebut.
Memandangkan pada tahun 2021, kebanyakkan telefon pintar midrange telah mula menawarkan kadar segar semula yang tinggi, Oppo Reno6 Z pasti menghadapi sedikit kekurangan apabila pengguna membuat perbandingan skrin sebelum membuat pembelian.
Dalam pada itu, salah satu kelebihan panel AMOLED ini adalah ianya menawarkan anda sensor capjari in-display yang merupakan satu ciri biometrik wajib pada telefon pintar.
Satu lagi ciri yang kami minati adalah Always On Display yang membolehkan anda melihat maklumat notifikasi, tarikh dan peratusan bateri tanpa perlu membuka atau menekan skrin.
Kualiti skrin AMOLED Oppo Reno6 Z ini adalah sangat baik dengan warna yang tepat tanpa sebarang kekaburan yang memberikan indikasi panel skrin mempunyai kadar kepadatan piksel yang tinggi.
Akhir sekali, panel skrin juga mempunyai satu lubang punch-hole disisi yang menempatkan kamera selfie 32MP.
Pemproses
Oppo Reno6 Z hadir dengan cipset keluaran MediaTek iaitu Dimensity 800U yang diperbuat daripada proses fabrikasi 7nm yang menjanjikan tahap efisien yang tinggi.
Salah satu kelebihan cipset ini adalah ianya menawarkan sokongan 5G dan ciri boleh dikatakan antara ciri wajib pada telefon pintar walaupun teknologi 5G masih belum ditawarkan di Malaysia.
Selain itu, Oppo Reno6 Z juga memiliki 8GB RAM namun anda juga diberikan pilihan menambah kapasiti RAM dengan menggunakan storan dalaman sebagai RAM tambahan.
Oppo menawarkan pengguna tiga pilihan kapasiti tambahan RAM iaitu 2GB, 3GB atau 5GB yang bermaksud secara tidak langsung telefon pintar Oppo Reno6 Z ini mempunyai kapasiti RAM sehingga 13GB.
Prestasi cip MediaTek 800U yang mampu ditawarkan adalah sesuatu yang subjektif namun ianya mampu memberikan anda prestasi penggunaan yang konsisten namun kami berpendapat ianya tidak mampu untuk melakukan tugas berat dan gaming yang memerlukan kuasa tinggi seperti Genshin Impact.
Beralih kepada antaramuka yang disertakan pada Oppo Reno6 Z, ianya adalah ColorOS 11.1 yang berasaskan Android 11 dan ianya tampil dengan beberapa ciri baharu yang meningkatkan lagi pengalaman pengunaan peranti ini.
Antara ciri baharu yang wajib kami tekankan adalah FreeForm Screenshot, AirGesture, fungsi Anti-Peeping untuk notifikasi yang memastikan tiada sesiapa melihat maklumat notifikasi skrin anda dan Adaptive Sleeping yang membolehkan skrin tidak terpadam ketika anda sedang melihat skrin.
Kamera
Oppo Reno6 Z tampil dengan tetapan tri-kamera 64MP yang memfokuskan kepada teknologi potrait inovatif iaitu Bokeh Flare Potrait dan Potrait Beautification Video.
Sensor utama Oppo Reno6 Z adalah unit kamera 64MP yang juga di sertakan bersama satu sensor ultrawide 8MP dan sensor makro 2MP.
Kamera Oppo Reno6 Z dilihat memfokuskan kepada penawaran potrait yang lebih kreatif dan unik seperti fungsi Bokeh Flare Potrait.
Secara jujurnya kami berpendapat bahawa dua sensor sampingan yang ditawarkan iaitu ultrawide pada kadar 8MP dan sensor makro 2MP tidak mampu memberikan hasil gambar yang sama seperti sensor utama.
Dalam pada itu, sensor makro 2MP yang digunakan pada Reno6 Z boleh dikatakan tidak banyak berguna kerana resolusi gambar yang diambil tidak begitu tinggi walaupun ianya menyokong fotografi pada jarak sedekat 4cm.
Lain-lain fungsi kamera yang menarik pada Oppo Reno6 Z adalah Dulal-View Video, Flash Snapshot dan mod 108MP.
Dalam pada itu, kamera selfie Oppo Reno6 Z adalah unit 32MP yang menawarkan anda fotografi selfie yang memuaskan.
Selain itu, kami juga tidak dapat menguji kemampuan sebenar kamera yang dimiliki Oppo Reno6 Z kerana perintah kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa ketika waktu ulasan ini dibuat.
Kami kongsi kan beberapa hasil gambar yang diambil menggunakan Oppo Reno6 Z.
Bateri
Oppo Reno6 Z tampil dengan bateri berkapasiti 4,310mAh yang mana dengan penggunaan cip MediaTek Dimensity 800U yang sangat efisien , menjanjika jangka hayat bateri yang baik untuk anda sepanjang hari.
Selain itu, Oppo Reno6 Z juga hadir dengan sokongan pengecasan pantas 30W VOOC Flash Charge 4.0 yang mampu menawarkan pengecasan dari tahap 0-100% didalam masa 52 minit sahaja.
Selain itu, Oppo Reno6 Z juga hadir dengan dua mod penjimatan bateri yang membolehkan anda meningkatkan jangka hayat peranti dengan saki baki bateri yang tinggal pada waktu yang memerlukan.
Dua mod penjimatan bateri kami maksudkan adalah Super Power Saving Mode dan Super Nightime Standby.
Penutup
Oppo Reno6 Z terbukti sebagai sebuah telefon pintar yang mampu memberikan pengguna satu pakej peranti yang boleh dipercayai untuk kegunaan harian.
Walaupun harga jualan Oppo Reno6 Z masih belum diumumkan untuk pasaran Malaysia (akan dilancarkan pada 5 Ogos 2021) , syarikat ini telah membuka pra-tempahan awal yang kini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran jualan rasmi Oppo.
Maklumat pra-tempahan di SINI
*kemaskini – Oppo Reno6 Z kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,699.