Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR MagicBook 15 – komputer riba harga berpatutan yang sesuai untuk tugas profesional dan hiburan

Pengenalan

Ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang mengekang kita daripada menjalani kehidupan normal, memiliki sebuah komputer peribadi atau komputer riba sudah menjadi satu keperluan.

Tepat pada masanya, Honor Malaysia mengumumkan penawaran komputer riba Honor MagicBook 15 ke pasaran Malaysia yang boleh dikatakan sebagai antara komputer riba terkini dengan harga yang berpatutan.

Honor MagicBook 15 ini hadir dengan cipset Intel i5-11357G yang merupakan cip generasi ke-11 daripada Intel dan ianya juga dipadankan dengan kad grafik Intel Iris Xe, 16GB RAM dan 512GB NVMe SSD.

Berikut adalah ulasan Honor MagicBook 15 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3699.

Reka Bentuk

Honor MagicBook 15 hadir dengan reka bentuk  aluminium yang sangat elegan dan ianya adalah antara komputer 15’’ paling ringan di pasaran dengan berat hanya 1.56kg (ketebalan hanya 16.9mm) yang memudahkan ianya dibawa ke mana sahaja.

Bagi pasaran Malaysia, Honor MagicBook 15 ditawarkan didalam satu pilihan warna sahaja iaitu Space Gray ianya juga tampil dengan reka bentuk yang bertemakan warna biru yang merupakan warna jenama ini.

Selain itu, Honor MagicBook 15 juga mempunyai trackpad yang besar dan ini memudahkan navigasi tanpa memerlukan tetikus tambahan. Trackpad Honor MagicBook 15 ini juga menyokong input dua jari untuk zoom.

Beralih kepada papan kekunci, Honor MagicBook 15 hadir dengan papan kekunci yang sangat responsif anda amat ‘lembut’ ketika ditekan namun apa yang sedikit mengecewakan adalah ketiadaan lampu backlit pada papan kekunci ini yang sedikit menyukarkan untuk digunakan ketika waktu malam.

Selain itu, juga tersembunyi pada bahagian papan kekunci ini adalah pop-up webcam yang memberikan privasi tambahan kerana ianya hanya boleh dibuka oleh anda dengan menekan pada papan kekunci tersebut.

Walaubagaimanapun, salah satu kekurangan webcam yang diletakkan pada papan kekunci ini adalah sudut ganjil apabila melakukan panggilan video yang kini menjadi satu alat penting untuk melakukan kerja dari rumah (WFH).

Honor MagicBook 15 juga memiliki sebuah butang kuasa yang juga berfungsi sebagai sensor capjari untuk membuka komputer riba ini.

Skrin Paparan

Honor MagicBook 15 hadir dengan skrin paparan berukuran 15.6-inci yang merupakan panel Honor FullView dengan resolusi Full HD 1080p.

Skrin paparan Honor MagicBook 15 ini juga mempunyai kadar sRGB 100% dan terdapat juga pensijilan eye comfort daripada TUV Rheinland.

Secara keseluruhan paparan Honor MagicBook 15 ini adalah sangat terang dan vivid yang pasti menjadi kegemaran bagi mereka yang suka menikmati kandungan multimedia pada komputer riba.

Cipset dan Prestasi

Honor MagicBook 15 hadir dengan cip Intel Core-i5 yang merupakan cip generasi ke-11 yang paling terkini.

Ianya memberikan anda sebuah prestasi komputer yang sangat konsisten untuk semua kegunaan harian seperti membuat kerja, melayari laman web dan media sosial.

Walaubagaimanapun, komputer riba ini dilihat tidak begitu sesuai untuk kerja-kerja berat yang lebih insentif kerana ianya hanya hadir dengan grafik Iris Xe keluaran Intel.

Selain itu, jika anda ingin mencari sebuah komputer riba yang mampu menawarkan prestasi gaming yang baik, Honor MagicBook 15 bukanlah sesuatu untuk anda kerana ianya tidak memiliki grafik khas yang mampu menyokong permainan video terkini.

Beralih kepada RAM, Honor MagicBook 15 hadir dengan 16GB RAM yang merupakan jenis DDR4 Dual-Chanel yang sangat pantas dan sesuai untuk multitasking tanpa sebarang gangguan pada prestasi.

Selain itu, Honor MagicBook 15 juga disertakan dengan 512GB storan dalaman SSD PCLe NVME yang lebih tahan lasak dan mempunyai kelajuan write dan read yang pantas sesuai dengan kebolehan komputer riba ini.

Dalam pada itu, Honor MagicBook 15 juga mempunyai sambungan WiFi 6 yang menjanjikan rangkaian WiFi yang lebih pantas dan lebih menyeluruh walaupun jauh daripada modem.

Perbezaan kelajuan WiFi juga dapat dirasai jika modem yang anda gunakan juga merupakan modem yang menyokong rangkaian WiFi 6.

Honor MagicLink

Salah satu kelebihan yang dimiliki oleh komputer riba Honor MagicBook 15 ini adalah ianya mempunyai Honor MagicLink yang membolehkan perkongsian fail dan media dari telefon pintar Honor kepada komputer riba yang lebih pantas.

Selain itu, Honor MagicLink ini juga membolehkan anda menggunakan telefon pintar anda secara terus pada Honor MagicBook

Walaubagaimanapun, salah satu kekurangan Honor MagicLink ini adalah ianya hanya disokong pada telefon pintar Honor atau Huawei yang terpilih.

Sistem Penyejukan

Honor MagicBook 15 juga hadir dengan sistem penyejukan dual heat pipe yang dipadankan dengan kipas yang besar.

Ini membolehkan Honor MagicBook 15 kekal sejuk walaupun melakukan pelbagai tugas berat yang insentif tenaga.

Slot-slot yang dimiliki Honor MagicBook 15


Honor MagicBook 15 hadir dengan dua slot USB-A iaitu pada kedua-dua sisi tepi komputer, satu slot USB-C untuk pengecasan, satu slot HDMI serta bicu audio 3.5mm.


Pengecasan Pantas 65W (USB-C)

Honor MagicBook juga hadir dengan teknologi pengecasan pantas 65W yang membolehkan komputer riba di caj ke tahap 53% didalam masa 30 minit atau 88% dalam 60 minit.

Selain itu, adapter 65W Type-C yang dibekalkan ini juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar yang mana ianya adalah satu ciri yang berguna apabila anda mempunyai kerja diluar kawasan.


Penutup

Komputer riba Honor MagicBook 15 terbukti sebagai sebuah komputer riba serba boleh yang mampu menawarkan anda satu pakej komputer yang mampu menawarkan anda prestasi konsisten untuk kerja-kerja profesional mahupun hiburan.

Honor MagicBook 15 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,699 dan anda boleh mendapatkanya melalui stor rasmi Honor di Lazada.

Honor Mid Year Sale bakal berlangsung mulai 6 Jun ini

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.