Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Mahkamah memutuskan penjualan Kotak TV media dengan kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta boleh di kenakan tindakan undang-undang


Mahkamah Tinggi Harta Intelek di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa sebarang penjualan, tawaran untuk menjual, pengedaran dan / atau membekalkan Kotak TV media atau peralatan perisian penstriman haram (“ISD”) yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta, merupakan pelanggaran hak cipta di bawah Akta Hakcipta 1987.

Tindakan yang diambil di Mahkamah Tinggi Harta Intelek tersebut telah dibawa oleh Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan untuk Astro, terhadap penjual ISD yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah atau di laman kandungan penstriman haram.

Pendakwaan penuh bersejarah itu merupakan tindakan pertama yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek, dan diterima baik dan begitu dialu-alukan oleh pihak berwajib dan pemain industri dalam usaha mereka memerangi cetak rompak digital.

Penggiat industri termasuklah Astro memuji tindakan yang diambil Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa ini merupakan satu langkah berani yang diambil dan kita berada di landasan yang betul dalam membendung jenayah cetak rompak di Malaysia.

Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan tanah air.

Ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

Keputusan yang dibuat pihak Mahkamah Tinggi Hari ini merupakan susulan dari kes-kes aktiviti jenayah yang dikenakan ke atas penjual ISD sebelum ini.

Pada 8 Februari lalu, seorang Pengarah di sebuah syarikat IT didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi.

Pada 16 Februari pula, seorang Pengarah wanita yang memilik syarikat aksesori telefon mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki beberapa unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah.

Tertuduh dedenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali lagi mengulangi bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengedar dan penjual yang menyalahguna alat peranti dan perisian untuk mengakses kepada kandungan yang dilindungi hakciptanya oleh pemilik hakcipta tersebut.

Orang awam diingatkan untuk memaklumkan kepada pihak Kementerian jika mengetahui mengenai sebarang aktiviti cetak rompak menerusi talian 1- 800-886-800 atau 03-8882 6088 di Pusat Kawalan Penguatkuasaan atau WhatsApp di 019-279 4317.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.