Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : realme 7 Pro – Skrin AMOLED dan Quad-Kamera 64MP yang lebih berkuasa


Pengenalan

Telefon pintar Siri Number realme yang kini memasuki generasi ke-7 kini telah dilancarkan secara rasmi dan pandemik Covid-19 tidak menghalang syarikat ini mengekalkan momentum positif mereka didalam pasaran telefon pintar dunia.

Jika anda mengikut perkembangan telefon pintar realme dengan rapat, anda pasti sedar bahawa realme akan melancarkan generasi baru telefon pintar selang 6 bulan daripada model sebelumnya.

realme 7 Pro, model flaghsip didalam siri telefon pintar ini kini telah disahkan ke pasaran Malaysia dan anda pasti mahu mengetahui kekurangan dan kelebihan peranti baru realme ini.

Bercakap mengenai harga penjualan, yang pasti merupakan antara aspek pertama untuk dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk membeli telefon pintar ini. Menjawab persoalan ini, realme 7 Pro akan ditawarkan pada harga penjualan RM 1,499.

Video Buka Kotak


Reka Bentuk

Setiap generasi baru telefon pintar realme pasti menawarkan pengguna satu reka bentuk yang memberikan penampilan premium tidak kira ianya model kelas entry level mahupun kelas yang lebih atas.

Ini adalah sesuatu yang baik kerana reka bentuk adalah aspek penting yang tidak lagi boleh dipandang remeh oleh pengeluar telefon pintar.

realme 7 Pro menampilkan reka bentuk mirror yang sangat berkilai dan premium. Seperti realme 7, realme 7 Pro juga telah diiktiraf sebagai telefon pintar pertama dipasaran untuk menerima TÜV Rheinland Smartphone Reliability Certification.


Skrin Paparan

Hajat kebanyakkan pengguna untuk menyaksikan realme menawarkan telefon pintar siri Number realme ini dengan skrin paparan OLED akhirnya tercapai pada realme 7 Pro.

realme 7 Pro menjadi telefon pintar pertama didalam siri popular ini untuk menggunakan skrin paparan Super AMOLED yang mempunyai ukuran 6.4-inci dengan resolusi FHD+.

Skrin paparan OLED ternyata menawarkan pengguna paparan yang lebih berkualiti dan sangat efisien tenaga.

Walaubagaimanapun skrin paparan AMOLED ini hanya mempunyai kadar segar semula 60Hz dan bukanya 90Hz namun kadar pensampelan skrin adalah 180Hz.

Skrin paparan Super AMOLED ini juga mempunyai sensor capjari terbina dalam skrin yang hanya boleh ditawarkan apabila telefon pintar menggunakan panel OLED.

Nisbah skrin kepada rangka realme 7 Pro adalah 90.8% dengan kadar kecerahan skrin maksima adalah 600nits.

Secara keseluruhanya skrin paparan realme 7 Pro adalah yang terbaik didalam segmen harga ini namun skrin OLED dengan nisbah 90Hz pasti mendapat sambutan yang lebih baik.

Pemproses

realme 7 Pro boleh dikatakan sebagai telefon pintar pertama didalam siri ini untuk hadir dengan pemproses yang sama seperti generasi yang lalu iaitu realme 6 Pro.

Pemproses 720G yang digunakan pada realme 7 Pro menjadikanya secara tidak langsung menawarkan prestasi yang hampir sama seperti realme 6 Pro.

Pemproses Qualcomm Snapdragon 720G merupakan satu pemproses Midrange yang telah terbukti untuk menawarkan prestasi pemprosesan yang memuaskan namun pada masa yang sama masih efisen.

83F0D9C0-E8DC-4E8D-9AB4-810BF57AF404.jpeg

Buat pengetahuan semua, cip pemproses Snapdragon 720G ini diperbuat berasaskan proses 8nm yang menjadikanya sangat efisen tenaga dan berkuasa tinggi.

Ianya dilengkapi dengan 2 teras Kyro 465 (Gold) berkelajuan 2.3Ghz dan 6 teras Kyro 465 (Silver) berkelajuan 1.8Ghz.

realme 7 Pro dipadankan dengan satu kapasiti RAM sahaja iaitu 8GB dengan storan dalaman adalah 128GB.

Unit pemprosesan grafik realme 7 Pro adalah Adreno 618 yang mana GPU ini juga turut digunakan pada pemproses Snapdragon 730G.

Apabila dibandingkan dengan generasi lalu, Snapdragon 720G hadir dengan 10% peningkatan prestasi CPU manakala prestasi GPU pula adalah 75% lebih baik diikuti pretasi enjin AI yang 220% lebih baik.

Walaupun hadir dengan pemproses Snapdragon 720G, realme 7 Pro tidak mempunyai kelebihan prestasi yang ketara apabila dibandingkan dengan realme 7 yang hadir dengan pemproses Helio G95 malah kini jurang antara dua telefon pintar siri realme 7 adalah lebih rapat.

realme 7 Pro juga hadir dengan antaramuka realme UI yang berasaskan Android 10 dan ianya menawarkan pelbagai kebebasan kepada pengguna untuk mengubah penampilan antaramuka ini.

realme UI menawarkan anda mengubah Icon Style, mod Home Screen, Layout Home Screen, Smart Sidebar dan banyak lagi.


Kamera

realme 7 Pro mempunyai kombinasi kamera yang sama seperti generasi lalu iaitu tetapan quad-kamera 64MP namun sensor utama yang digunakan adalah yang terkini.

Sensor Sony IMX682 : Sensor 64MP Sony IMX682 ini mempunyai deria cahaya yang sangat tinggi dan sensor 1/1.73″ yang sangat lebar. Sensor 64MP ini juga menyokong teknologi Quad Bayer dan memastikan setiap gambar yang diambil cerah walaupun di dalam keadaan low-light.

Sensor 8MP ultra wide dengan field of view 119° – penawaran sensor ini pada realme 7 Pro memastikan pengguna tidak perlu menganjak ke belakang untuk mengambil gambar yang sempurna kerana sensor ini adalah sensor ultra lebar yang cukup luas untuk anda mengambil gambar landskap, bangunan dan juga kumpulan yang besar.

Lensa Makro – penawaran lensa makro membolehkan realme 7 Pro mendekati dunia fotografi mikro pada jarak sedekat 4cm sahaja.

Lensa Potret B&W – sistem penapis warna yang baru membolehkan lensa potret pada realme 7 Pro ini mengesan pelbagai tahap cahaya sekaligus membantu sensor utama menyerap lebih banyak cahaya, meningkatkan kontras gambar, gambar gaya retro, dan menambah tekstur pada potret.

realme 7 Pro juga membawakan pengguna pelbagai mod kamera yang baru seperti Mod Ultra-clear 64MP, Pro Nightscape, AI Color Potrait Video, 3 jenis penapis mod malam yang menarik dan mod Starry.

Bercakap mengenai kamera hadapan pula, realme 7 Pro menampilkan sensor kamera 32MP yang merupakan sensor selfie dengan resolusi paling tinggi daripada syarikat ini.

realme 7 Pro menawarkan kamera selfie yang memberikan anda hasil gambar selfie yang sempurna walaupun pada waktu malam dengan adanya mod super Nightscape yang turut boleh digunakan pada sensor hadapan untuk mengambil gambar selfie.

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan realme 7 Pro :


Bateri

4,500mAh + 65W SuperDart Charge

Pada realme 7 Pro, realme telah membawa pengecasan pantas ke satu tahap yang lebih tinggi dengan teknologi 65W SuperDart Charge yang menawarkan anda pengalaman pengecasan yang tiada bandinganya.

Hasil mekanisma pengecasan berefisen tinggi, teknologi 65W SuperDart Charge mampu mengecas penuh bateri berkapasiti 4,500mAh dalam masa yang amat singkat pada masa yang sama memastikan peranti berada di dalam keadaan suhu yang optimum.

Bateri 4,500mAh yang disertakan pada realme 7 Pro boleh dicaj ke tahap 100% hanya dalam masa 34 minit sahaja manakala 10 minit pengecasan memberikan anda 42% jangka hayat bateri.

Anda juga tidak perlu risau akan pengecasan ketika gaming kerana teknologi 65W SuperDart Charge juga sangat efisen ketika anda sedang sibuk bermain game di mana dalam masa 30 minit, pengecasan akan mencapai tahap 43%.

Dengan 3 minit pengecasan, realme 7 Pro mampu menawarkan pengguna 3 pusingan permainan PUBG (1.22 jam), 2 jam pelayaran Instagram, 150 minit tontonan YouTube dan 4 hari waktu standby.

Selain itu, teknologi pengecasan realme 7 Pro tidak hanya terbatas kepada sokongan teknologi 65W SuperDart Charge ini, ianya juga disertakan dengan sokongan pengecasan 18W PD/QC charge yang menjadikannya sebagai satu peranti yang lebih versatil.

Penutup

realme 7 Pro yang dilancarkan 6 bulan selepas realme 6 Pro ternyata ditawarkan tanpa perubahan yang amat drastik khususnya dari segi pemproses dalaman.

realme 7 Pro boleh dikatakan sebagai satu peranti yang lengkap namun jika anda merupakan pemilik kepada telefon pintar realme 6 Pro dan ke atas, anda mungkin masih boleh kekal menggunakan telefon pintar lama anda.

realme 7 Pro ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,499 dan dengan pasaran mid-range yang amat kompetitif, realme 7 Pro dijangka mempunyai cabaran yang sengit untuk menambat hati pengguna yang mencari telefon pintar pada harga bajet.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.