Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OnePlus Nord – Telefon Pintar Midrange Setaraf Flagship Namun Dengan Beberapa Kekurangan

OnePlus nord malaysia

Pengenalan

OnePlus syarikat yang tidak asing lagi didalam industri telefon pintar sejak penubuhanya kira-kira 7 tahun yang lalu.

Walaupun pada permulaan OnePlus lebih dikenali sebagai pengeluar telefon pintar flagship killer, setiap model yang dilancarkan selepas itu mula menampakkan peralihan OnePlus kepada pengeluar telefon pintar premium.

Kini OnePlus boleh dikatakan sebagai antara syarikat yang hanya mengeluarkan telefon pintar flagship premium dengan harga penjualan setaraf pengeluar telefon pintar utama lain dipasaran.

Menyedari isu ini, OnePlus telah menubuhkan satu siri telefon pintar baru yang dikenali sebagai siri Nord dengan tujuan untuk mengisi ruang sebagai telefon pintar kelas pertengahan premium daripada syarikat ini.

OnePlus Nord telah mula mendapat perhatian sejak dari awal syarikat ini mengumumkan pelancaran telefon pintar baru mereka dan selepas penantian hampir sebulan selepas pelancaran global, OnePlus Nord kini secara rasmi telah mula ditawarkan di Malaysia dengan harga penjualan dari RM 1,799.

Reka Bentuk

Walaupun pada mulanya OnePlus Nord dikatakan akan hadir dengan reka bentuk yang menyegarkan atau berlainan dari apa yang ditawarkan dipasaran, pelancaran rasmi OnePlus Nord ini mendedahkan bahawa syarikat ini memilih jalan selamat dengan memilih reka bentuk OnePlus Nord yang hampir sama dengan telefon pintar OnePlus yang lain.

OnePlus Nord menampilkan reka bentuk berasakan gelas pada bahagian hadapan dan belakang yang turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5.

Panel belakang OnePlus Nord ini sedikit melengkung pada sisi dan kemasan berasaskan gelas ini juga menjadikanya magnet capjari namun kesan capjari pada panel belakang ini tidak begitu ketara berbanding telefon pintar lain yang pernah kami lakukan ulasan (pasti ramai yang akan menggunakan case untuk melindungi panel belakang OnePlus Nord ini).

OnePlus Nord hadir didalam dua pilihan warna iaitu Nord Blue dan Oynx Gray seperti unit ulasan kami.

Sedikit mengecewakan disini adalah, OnePlus telah memilih untuk menggunakan chasis (rangka) yang berasaskan plastik dengan kemasan metalik seperti gelas dan ini mungkin antara langkah untuk menjimatkan kos.

Pada bahagian sisi kanan OnePlus juga hadir dengan butang kuasa dan butang notifikasi Alert Slider yang sinonim dengan telefon pintar OnePlus.

Pada bahagian sisi kanan OnePlus Nord terdapat butang pelaras bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, pembesar suara mono dan slot USB Type-C.

Pada bahagian hadapan, OnePlus Nord hadir dengan skrin paparan yang memiliki reka bentuk punch-hole bagi menempatkan kamera selfie dan bezel sekeliling skrin juga adalah kecil.

Lebih lanjut mengenai skrin dibahagian seterusnya.

Skrin Paparan

Tahun 2020 boleh dikatakan telah menyaksikan banyak syarikat pengeluar telefon pintar mula menawarkan panel skrin paparan 90Hz pada telefon pintar kelas pertengahan dan OnePlus juga tidak berkompromi didalam aspek skrin ini

OnePlus Nord menampilkan pengunaan skrin paparan Super AMOLED yang setidak-tidaknya boleh dikatakan setaraf OnePlus 8 walaupun panel ini bukanlah yang melengkung.

Skrin paparan yang rata ini juga dilihat sebagai satu kelebihan kerana skrin paparan melekung juga kurang digemari oleh rata-rata pengguna dipasaran.

Anda disajikan dengan skrin paparan Fluid AMOLED berukuran 6.44” yang menolak resolusi FHD+ (1080 x 2400 px) dengan kadar segar semula 90Hz selain kepadatan piksel skrin adalah lebih tinggi dari OnePlus 8 pada 408ppi.

Pengalaman skrin yang ditawarkan OnePlus Nord boleh dikatakan setaraf penawaran telefon pintar flagship dan animasi serta warna paparan juga sangat menyenangkan mata.

OnePlus Nord juga disertakan dengan sensor capjari terbina didalam skrin yang pantas dan terdapat juga sokongan Always On Display.

Sedikit mendukacitakan adalah OnePlus memilih untuk menawarkan kamera selfie punch-hole yang sedikit sebanyak mengganggu pengalaman skrin pengguna khususnya semasa menonton filem atau bermain permainan video.

Pemproses

Sebagai telefon pintar kelas pertengahan, ianya hampir pasti OnePlus tidak mampu menawarkan pemproses kelas flagship seperti pada OnePlus One.

OnePlus Nord hadir dengan pemproses Snapdragon 765G yang dibekalkan oleh Qualcomm dan ianya merupakan siri pemproses yang paling hampir dengan prestasi yang ditawarkan pada Snapdragon 865 atau Snapdragon 865+.

Penawaran Oxygen OS yang mempunyai ramai peminat semestinya memberikan OnePlus Nord kelebihan apabila dibandingkan dengan telefon pintar kelas pertengahan lain dipasaran.

OnePlus Nord memberikan pengguna satu eksositem UI yang sangat mesra pengguna dan peralihan dari peranti Android yang lain juga amat mudah dengan pengunaan aplikasi OnePlus Switch.

Jika anda beralih daripada iOS, OnePlus Switch juga membenarkan anda menyalin semula backup anda dari iCloud kepada peranti Android dengan lebih mudah.

Oxygen OS yang disertakan pada OnePlus Nord menawarkan anda pengalaman yang paling hampir kepada OS Android asli dan ini menjadikan Oxygen OS satu sistem operasi Android yang paling digemari.

Beralih kepada pemproses Snapdragon 765G ini, seperti yang kami perkatakan ianya adalah pemproses yang paling hampir dengan pemproses flagship dipasaran dan ianya mampu menawarkan prestasi purata keseluruhan mencukupi bagi rata-rata pengguna telefon pintar.

Pengunaan harian telefon pintar OnePlus Nord pastinya tidak memberikan anda perbezaan ketara apabila dibandingkan dengan telefon pintar flaghsip lain dipasaran namun apabila peranti mula dikerah untuk tugas yang lebih intensif, OnePlus Nord mula memberikan pengguna kesedaran bahawa ianya mempunyai limitasi dari segi pemprosesan.

Apa pun pengunaan OnePlus Nord untuk tugas yang kami lakukan seperti pelayaran laman sosial, menonton video, pengambilan gambar dan banyak lagi menampakkan kebolehan telefon pintar ini untuk kekal menawarkan prestasi yang baik kepada pengguna.

OnePlus Nord juga ditawarkan didalam dua pilihan ram iaitu 8GB atau 12GB dengan storan dalaman adalah 128GB atau 256GB jenis UFS 2.1.

5G adalah rangkaian masa depan yang masih belum ditawarkan di Malaysia namun anda pasti lega kerana OnePlus Nord hadir dengan sokongan 5G dan ianya boleh digunakan apabila syarikat telekomunikasi di Malaysia mula menawarkan rangkaian baru ini.

Kamera

OnePlus Nord dilengkapi dengan tetapan quad-kamera yang kini merupakan satu perkara biasa pada telefon pintar.

Walaubagaimanapun harus kita sedari bahawa kuantiti kamera yang digunakan tidak menjamin sesuatu telefon pintar itu mampu mengambil gambar dengan baik.

Sebelum menerjah terus kepada prestasi kamera ini, mari kita ulas dahulu spesfikasi kamera yang disertakan pada OnePlus Nord ini.

OnePlus Nord memiliki sensor utama 48MP Sony IMX586 yang dilengkapi OIS, satu sensor ultrawide angle 119° 8MP, satu sensor depth 5MP dan satu sensor makro 2MP.

Pada pendapat kami, hasil gambar yang diperoleh daripada pengunaan sensor utama dan sensor ultrawide adalah memuaskan walaupun tidak setaraf telefon pintar OnePlus premium dipasaran.

Gambar potret yang diambil menggunakan kamera utama dan sensor depth juga amat baik khsusunya kerana pengunaan kamera depth beresolusi 5MP yang menawarkan kualiti gambar dan maklumat latar belakang yang lebih baik.

Sedikit mengecewakan didalam bahagian kamera OnePlus Nord ini adalah unit kamera makro yang hanya mempunyai resolusi 2MP dan secara jujurnya, kamera ini disertakan hanya sebagai pelengkap quad kamera dengan kualiti dan fungsi yang amat terbatas.

Untuk gambar makro, adalah lebih baik anda mengambil gambar menggunakan sensor utama sebelum melakukan crop pada gambar tersebut untuk gambar makro dan kualitinya adalah lebih baik berbanding menggunakan sensor makro itu sendiri.

OnePlus juga hadir dengan mod malam Nightscape yang memberikan anda kebolehan fotografi yang baik pada waktu malam dan ternyata mod ini mampu melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik.

Bagi kamera selfie pula, OnePlus Nord disertakan dengan sensor dwi-kamera punch hole yang terdiri daripada sensor utama 32MP Sony IMX616 dan sensor ultrawide 105° 8MP.

Penutup

OnePlus Nord telah membuktikan bahawa syarikat ini masih mampu menawarkan telefon pintar setaraf premium pada harga yang lebih berpatutan.

OnePlus Nord dilihat sebagai model permulaan didalam siri Nord dan pelancaran model-model yang akan datang didalam siri Nord pastinya sesuatu yang amat dinantikan oleh kami.

OnePlus Nord kini ditawarkan di Malaysia pada dari RM 1,799 iaitu bagi versi 8/128GB manakala OnePlus Nord versi 12/256GB pula hanya ditawarkan didalam pakej Infinite Joy Bundle pada harga RM 2,399 dan anda akan turut menerima OnePlus Buds yang bernilai RM 399

Dapatkan OnePlus Nord di Shopee

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.