Asus ROG Phone 3 kini rasmi dengan skrin 144Hz, Snapdragon 865+ – tiba di Malaysia bulan September dengan harga seperti ROG Phone 2
Asus secara rasminya telah melancarkan telefon pintar gaming ROG Phone 3 yang mana ianya turut disertakan dengan pelancaran satu lagi varian iaitu ROG Phone 3 Strix Edition (edisi ini hadir dengan pemproses Snapdragon 865).
Terus ke spesifikasi, ROG Phone 3 hadir dengan skrin paparan AMOLED FHD+ berukuran 6.49-inci yang mempunyai kadar segar semula 144Hz.
Skrin ini juga hadir dengan kadar latensi terendah di industri iaitu 25ms dan panel ini juga menawarkan sokongan HDR10+ selain lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 6.
Seperti yang disahkan sebelum ini, ROG Phone 3 disertakan dengan pemproses Snapdragon 865+ yang menawarkan kelajuan pemproses sehingga 3.1GHz dengan kapasiti RAM jenis LPDDR5 adalah 12 atau 16GB manakala storan dalaman jenis UFS3.1 adalah 512GB ( tiada varian 1TB pada ROG Phone 3).
Ini bermaksud ROG Phone 3 ini menawarkan sokongan 5G dan WiFi 6 juga menjanjikan sambungan internet yang pantas dan terdapat juga teknologi ROG HyperFusion yang membolehkan sambungan pada WiFi dan rangkaian 5G secara serentak.
ROG Phone 3 juga disertakan dengan sistem penyejukan GameCool 3 yang lebih efektif didalam aspek penyejukan peranti, bateri 6,000mAh dengan pengecasan pantas HyperCharge 30W.
Sebagai telefon pintar gaming, Asus ROG Phone 3 juga memiliki fungsi dan reka bentuk yang amat ergonomik kepada gamers.
Antara fungsi yang boleh kami berikan adalah AirTrigger 3, slot USB-C pada bahagian sisi untuk pengunaan aksesori, AeroActive Cooler 3, pembesar suara stereo dan tidak lupa slot bicu audio 3.5mm yang apabila terdapat aksesori AeroActive Cooler 3.
Seperti biasa, Asus juga telah memperkenalkan beberapa aksesori baru bagi telefon pintar gaming ini ROG Kunai 3 Gamepad, TwinView Dock 3 dan Mobile Desktop Dock.
Bercakap mengenai kamera pula, ROG Phone 3 ditawarkan dengan tetapan tri-kamera dengan sensor utama 64MP Sony IMX686, sensor ultrawide 13MP 125° dan sensor makro 5MP manakala kamera selfie adalah unit 24MP.
Asus Malaysia telah mengesahkan bahawa ROG Phone 3 dan ROG Phone 3 Strix Edition akan memasuki pasaran Malaysia pada pertengahan bulan September dengan harga penjualan yang lebih kurang sama seperti ROG Phone 2.
Ini mungkin bermaksud harga penjualan ROG Phone 3 adalah antara RM 3,499 – RM 4,499 manakala ROG Phone 3 Strix Edition pula sekitar RM 2,499.