Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Honor 9X Lite – skrin FHD+, Kirin 710F dan GMS pada harga RM 699 sahaja

ULASAN : Honor 9X Lite – skrin FHD+, Kirin 710F dan GMS pada harga RM 699 sahaja
Honor 9X Lite Malaysia
Pengenalan

Siri telefon pintar Honor 9X merupakan siri telefon pintar yang sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna.

Buktinya adalah Honor telah mengesahkan bahawa penjualan global Siri Honor 9X kini telah mencapai angka 10 juta unit iaitu kurang daripada setahun selepas pelancaran model pertama didalam siri ini iaitu Honor 9X Pro pada bulan Julai 2019.

Selepas pelancaran Honor 9X Pro, Honor telah memperkenalkan Honor 9X dan kini Honor 9X Lite pula memasuki pasaran Malaysia dengan harga penjualan yang amat kompetitif iaitu pada harga RM 699 sahaja.

Berikut adalah ulasan Honor 9X Lite yang kini ditawarkan di Malaysia sebagai varian terbaru siri Honor 9X yang dijangka akan meningkatkan lagi penjualan siri telefon pintar ini.

Reka Bentuk

Pada pandangan pertama, pasti akan jatuh hati kepada reka bentuk Honor 9X Lite ini kerana reka bentuk yang diberikan ini tidak kena dengan harga penjualan telefon pintar ini.

Honor 9X Lite hadir dengan reka bentuk panel belakang berasaskan gelas yang hadir dengan kemasan warna gradiasi dan berkilat.

Apabila sesuatu telefon pintar hadir dengan kemasan berkilat, anda pasti tahu ianya merupakan panel yang pasti akan dicemari dengan capjari dan Honor 9X Lite juga tidak terkecuali.

Honor 9X Lite di Malaysia hadir didalam dua pilihan warna iaitu Midnight Black dan Emerald Green seperti unit ulasan kami.

Tahap premium Honor 9X Lite juga tidak dapat disangkal lagi kerana rangka yang digunakan pada telefon pintar bajet ini adalah aluminium yang meletakkanya setara dengan peranti yang lebih mahal.

Sedikit kekurangan panel belakang ini adalah modul kamera yang menempatkan dwi-kamera 48MP ini sedikit terbonjol keluar dan tidak lupa sensor capjari pada panel belakang.


Pada bahagian bawah, Honor 9X Lite menampilkan bicu audio 3.5mm, slot pengecasan microUSB (bukan Type-C) dan gril pembesar suara.

Skrin Paparan

Seperti siri telefon pintar Honor 9X yang lain, Honor 9X Lite juga menampilkan skrin paparan FHD+ iaitu panel IPS LCD berukuran 5.65-inci dengan kepadatan piksel 428ppi.

Penawaran skrin paparan dengan resolusi FHD+ adalah sesuatu yang tidak kita bayangkan sebelum ini namun Honor telah membuktikan bahawa penawaran panel FHD+ pada harga bajet adalah tidak mustahil.

Skrin paparan Honor 9X Lite ini juga telah mendapat pensijilan TÜV Rheinland dan disertakan dengan mod eye care dan mod malam.

Skrin paparan FullView Honor 9X Lite juga memiliki takukan dibahagian tengah yang menempatkan kamera selfie 8MP dan pembesar suara untuk panggilan.

Kualiti skrin yang ditawarkan pada Honor 9X Lite adalah baik dimana visual yang dipaparkan dan warna juga tepat.

Pemproses

Honor 9X Lite hadir dengan pemproses Kirin 710F yang turut disertakan dengan GPU Turbo 3.0

Lebih penting, Honor 9X Lite juga hadir sokongan Google Mobile Services yang bermaksud anda mempunyai akses kepada ekosistem Google yang kini tidak lagi ditawarkan pada telefon pintar Honor mahupun Huawei.

Honor 9X Lite hadir dengan EMUI 9.1 yang berasakan Android 9.0 iaitu sistem operasi yang sudah berusia hampir 2 tahun namun pengorbanan ini terpaksa dilakukan bagi membolehkan GMS ditawarkan pada telefon pintar ini.

Pengunaan harian Honor 9X Lite sepanjang kami menggunakan telefon pintar ini adalah lancar walaupun EMUI ini terasa sedikit ‘berat’ dengan pelbagai penambahan ciri dan animasi.

Honor 9X Lite juga disertakan dengan 4GB RAM selain storan dalaman 128GB yang merupakan sesuatu yang baik bagi telefon pintar bajet yang biasanya hanya kadir dengan kapasiti asas 32GB atau 64GB sahaja.

Kamera

Padan dengan harga, Honor 9X Lite hanya menampilkan tetapa dwi-kamera pada panel belakang namun sensor utama Honor 9X Lite ini adalah sensor 48MP yang mempunyai kebolehan fotografi yang mencukupi untuk digunakan setiap hari.

Bersama-sama sensor utama 48MP f/1.8 juga disertakan dengan satu sensor depth 2MP dengan aperture f/2.4 yang membantu didalam tugas fotografi potret.

Kamera belakang Honor 9X Lite juga disertakan dengan mod penggambaran malam SuperNight selain rakaman video gerak perlahan pada kadar 720p sahaja.

Tidak banyak yang boleh kami perkatakan pada bahagian kamera kerana tetapan ini adalah satu tetapan yang minima dengan hasil gambar yang memuaskan untuk pengunaan ringan.

Kamera selfie Honor 9X Lite adalah unit 8MP yang juga menawarkan Backlight Potrait Selfie dengan bantuan AI.

Berikut adalah hasil gambar dari kamera yang dimiliki oleh Honor 9X Lite :

Bateri

Honor 9X Lite juga disertakan dengan bateri berkapasiti 3,750mAh yang merupakan satu kapasiti baik bagi telefon pintar bajet Honor ini namun pengecasan masih dilakukan melalui microUSB dan tiada sebarang sokongan pengecasan pantas disertakan.

Walaubagaimanapun terdapat sistem pengurusan bateri pintar yang disertakan pada Honor 9X Lite ini dan ini dijangka sedikit sebanyak membantu meningkatkan jangka hayat bateri.

Pengecasan Honor 9X Lite akan mengambil masa sekitar 150 minit atau 2 jam 30 minit yang mana ianya adalah masa yang agak lama.

Penutup

Honor 9X Lite merupakan satu peranti bajet yang pastinya mampu memenuhi keperluan pengguna ringan atau pengguna pertama yang mula berjinak dengan telefon pintar Android yang baik.

Walaupun hadir dengan harga kelas entry-level, Honor 9X Lite hadir dengan spesifikasi yang mampu memberikan cabaran kepada telefon pintar kelas pertengahan lain dipasaran.

Honor 9X Lite kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 699 dan pembelian boleh dibuat melalui pelbagai saluran penjualan atas talian seperti Hihonor, Shopee atau melalui stor Honor Experience di seluruh negara.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.