Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Honor 10 Lite – telefon pintar bajet dengan Android Pie dan skrin dew drop

ULASAN : Honor 10 Lite – telefon pintar bajet dengan Android Pie dan skrin dew drop

Pengenalan

Honor telah memulakan langkah kanan dengan pelancaran Honor 10 Lite menjadi model pertama Honor yang dilancarkan bagi tahun 2019 di Malaysia.

Memasuki tahun ke-5 penubuhan, Honor juga telah memperkenalkan logo dan slogan baru iaitu ‘HONOR My World’ yang dilihat sebagai langkah yang baik untuk membawa syarikat ini ke peringkat global.

Honor 10 Lite merupakan telefon pintar mampu milik yang memiliki reka bentuk yang unik dan dengan harga penjualan yang bermula serendah RM 699 sahaja.

Berikut adalah ulasa Honor 10 Lite yang kini telah mula ditawarkan dipasaran Malaysia dan telah mendapat sambutan yang menggalakan.

Skrin Paparan

Honor 10 Lite merupakan telefon pintar pertama Honor untuk hadir dengan reka bentuk skrin dew-drop yang merupakan evolusi daripada skrin paparan yang mempunyai takukan.

Skrin paparan Honor 10 Lite adalah berukuran 6.21-inci dengan resolusi 2340 x 1080 dengan nisbah skrin 19:5:9.

Walaupun memiliki skrin paparan yang besar, rangka Honor 10 Lite ini adalah saiz bagi telefon pintar dengan skrin paparan 5.2-inci sahaja jika mengikut reka bentuk skrin tradisional.

Dengan itu, skrin paparan LTPS Honor 10 Lite ini meliputi hampir 90%+ permukaan hadapan dengan kepatan piksel yang ditawarkan juga tinggi iaitu 415ppi.

Jika aspek lain Honor 10 Lite mungkin tidak mencapai tahap yang baik, skrin paparan Honor 10 Lite adalah sesuatu yang terbaik pernah kami lihat pada kelas harga seperti ini.

Penghasilan warna pada skrin Honor 10 Lite adalah sempurna dengan kecerahan automatik sudah memadai untuk pengunaan harian.

Reka Bentuk

Honor 10 Lite hadir dengan reka bentuk panel belakang dan rangka plastik yang mempunyai kemasan berkilau seakan kaca.

Walaupun tidak hadir dengan rangka berasaskan keluli, reka bentuk Honor 10 Lite masih kelihatan premium dan kemasan ini lebih sempurna dengan lengkungan pada sisi panel belakang.

Panel belakang plastik Honor 10 Lite juga hadir didalam kemasan warna gradiasi iaitu didalam dua warna iaitu merah dan biru cair namun ianya hanya ditawarkan pada versi 3GB/64GB dan bukanya pada versi 3GB/32GB.

Panel belakang Honor 10 Lite juga mempunyai potongan khas untuk sensor dwi-kamera dan juga bagi sensor capjari.

Pada bahagian bawah , Honor 10 Lite hadir dengan bicu audio 3.5mm, gril pembesar suara dan slot microUSB manakala dibahagian atas terdapat slot dwi-SIM Nano yang turut menyokong kad microSD.

Menyentuh sedikit mengenai bahagian hadapan, reka bentuk skrin dew-drop menyaksikan pengunaan pembesar suara panggilan yang lebih kecil dan ini juga menyaksikan lampu notifikasi telefon pintar ini dipindahkan ke bahagian bawah.

Pemproses

Honor 10 Lite hadir dengan pemproses Kirin 710 yang diposisikan sebagai pemproses kedua terbaik Honor dibawah Kirin 970 atau ditempat ketiga jika mengambil kira pemproses flagship terbaru Kirin 980.

Pemproses Kirin 710 yang digunakan pada Honor 10 Lite ini dilihat mampu melepasi kegunaan biasa harian tanpa sebarang masalah dan penyertaan GPU Turbo juga memastikan pemprosesan grafik yang lebih baik dan pada masa yang sama lebih efisen.

Walaubagaimanapun, pemproses Kirin 710 ini dilihat tidak setaraf Kirin 970 atau Kirin 980 dan terdapat beberapa aplikasi permainan video yang mendedahkan kelemahan pemproses ini.

Honor 10 Lite dipasaran Malaysia hanya disertakan dengan satu kapasiti RAM iaitu 3GB dengan dua pilihan memori dalaman iaitu 32GB atau 64GB.

Selain itu, satu lagi kelebihan Honor 10 Lite adalah penawaran sistem operasi Android 9.0 Pie yang disertakan bersama-sama EMUI 9.0 yang telah membuat penampilan sulung pada telefon pintar siri Huawei Mate penghujung tahun lalu.

Kamera

Honor 10 Lite hadir dengan tetapan dwi-kamera 13MP + 2MP yang dihebohkan hadir sebagai kamera AI.

Penawaran sensor dwi-kamera pada telefon pintar bajet seperti Honor 10 Lite bukanlah sesuatu yang mengejutkan namun prestasi yang ditawarkan oleh kamera ini adalah penentu segalanya.

Pada pendapat kami, kamera belakang Honor 10 Lite ini adalah tidak konsisten dimana terdapat ketika yang membolehkan gambar diambil pada kualiti yang baik dan juga sebaliknya.

Terdapat beberapa sampel gambar yang kami ambil kelihatan sangat baik sehingga tidak dapat kami percaya ianya diambil menggunakan satu telefon pintar dibawah harga RM 700.

Kamera Honor Lite ini juga hadir dengan mod kamera AI dimana dengan menekan butang AI dibahagian atas, kamera anda akan menawarkan tetapan automatik bagi semua keadaan pengambaran yang optimum.

Secara peribadi, mod AI pada Honor 10 Lite ini tidak lah begitu berkesan dan kesan gambar seakan terlalu digubah menjadikan hasil gambar kurang realitistik.

Honor 10 Lite juga hadir dengan mod penggambaran waktu malam seperti mod Super Night yang ditawarkan pada telefon pintar kelas flaghsip Huawei selain mod manual yang memberikan anda lebih kebebasan untuk menukar fungsi-fungsi spesifik kamera ini.

Tarikan terbesar Honor 10 Lite adalah kamera selfie 24MP yang ditawarkan bersama-sama fungai AI dan fungsi pencantikkan bagi selfie yang anda ambil (dari tahap 1-10).

Bateri

Honor 10 Lite hadir dengan bateri berkapasiti 3,400mAh yang mana pengecasan masih dilakukan melalui slot MicroUSB pada tahun 2019!.

Honor dilihat masih belum bersedia untuk beralih kepada pengunaan slot USB-C bagi telefon pintar bajet keluaran syarikat ini.

Pengecasan penuh telefon pintar ini mengambil masa 150 minit iaitu 2 jam 30 minit dan ianya adalah tempoh yang sangat lama memandangkan tiada sebarang sokongan pengecasan pantas disertakan pada model ini.

Penutup

Honor 10 Lite mungkin bukan telefon pintar yang mampu membuat anda terpesona dengan kehebatan yang dimilikinya namun ianya adalah telefon pintar bajet yang efisien dan mampu menjalankan tugas tanpa sebarang masalah besar.

Honor 10 Lite hadir dengan harga penjualan RM 749 ( harga promosi RM 699) iaitu bagi versi 3GB/32GB manakala versi 3GB/64GB pula akan hadir dengan harga penjualan RM 799 dan penjualan akan bermula di roadshow Honor View 20 yang akan berlangsung penghujung minggu ini.

Honor 10 Lite versi 3GB/32GB juga boleh dibeli secara atas talian di Hihonor atau di Lazada.

Gambar-gambar yang diambil menggunakan Honor 10 Lite :

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.