Telefon pintar gaming Razer Phone 2 akan hadir dengan pemproses Snapdragon 855
Pengeluar telefon gaming pertama didunia iaitu Razer dilihat sudah mula memulakan pembangunan generasi kedua Razer Phone.
Razer dilihat optimistik dengan kebolehan Razer Phone dan laporan kewangan Razer bagi pertengahan pertama tahun 2018 menunjukkan jumlah pendapatan yang diperoleh dari Razer Phone adalah $16.5 juta (RM 68 juta).
Ini memberikan kita anggaran kasar bahawa sebanyak 23,000 unit Razer Phone berjaya dijual pada 6 bulan pertama tahun ini.
Selain Razer Phone, Razer dilihat akan memfokuskan penawaran perisian komputer kepada telefon pintar yang membolehkan syarikat ini menawarkan pengalaman gaming yang lebih menyeluruh.
Sebagai telefon pintar gaming pertama di pasaran, Razer Phone telah meletakkan penanda aras yang tinggi dan Razer harus mengekalkan momentum ini pada generasi kedua Razer Phone.
Razer Phone 2 dijangka akan mengekalkan penggunaan cip pemprosesan Snapdragon dengan versi yang akan digunakan masih menjadi tanda tanya.
Jika Razer Phone dilancarkan pada suku ke-4 tahun ini, kita mungkin menyaksikan Razer Phone 2 hadir ke pasaran dengan pemproses Snapdragon 855 sekaligus menjadikanya telefon pintar pertama dipasaran untuk menggunakan pemproses ini.