Celcom bakal memintas Maxis dan Digi sebagai syarikat telko #1 di Malaysia
Persaingan untuk dominasi arena telekomunikasi di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru dan ianya adalah persaingan yang melibatkan tiga syarikat telekomunikasi terkemuka negara iaitu Maxis, Celcom dan Digi.
Maxis yang dlihat telah lama ‘selesa’ dikedudukan teratas nampaknya semakin tergugat dan kita mungkin mendapat pendahulu pasaran yang baru pada 25 Mei iaitu pada hari Celcom yang dimiliki oleh Axiata Berhad akan mengumumkan prestasi dan kedudukan syarikat ini.
Setakat Mac 31, Digi dilaporkan memiliki 12.34 juta pelanggan iaitu 0.3 juta melebih Maxis yang berada di tangga kedua dengan 12.31 juta pelanggan.
Dalam pada itu, setakat 3 Disember 2015, Celcom mempunyai 12.25 juta pelanggan dan ini bermaksud syarikat ini mempunyai potensi untuk mengatasi kedua-dua syarikat ini apabila jumlah pelanggan yang terkini diumumkan tidak lama lagi.
Ini bermaksud, dengan tambahan 86,000 pelanggan pada suku pertama 2016, Celcom akan memintas Digi dan Maxis untuk mengambil kedudukan pertama di arena telekomunikasi negara.
Penganalisa pasaran juga yakin Celcom mampu menjadi syarikat telekomunikasi No.1 di Malaysia tidak lama lagi kerana Maxis telah kehilangan 384,000 pelanggan manakala Digi mencapai peningkatan sebanyak 211,000.
Penganalisa juga berkata bahawa Celcom adalah syarikat yang paling mendapat manfaat dengan kejatuhan Maxis dan pelan-pelan yang ditawarkan oleh Celcom dilihat lebih bernilai dan menawarkan purata harga kuota internet yang lebih rendah.
Persaingan tiga syarikat telekomunikasi ini mungkin akan berterusan untuk satu tempoh yang panjang dan dengan kemasukan syarikat baru seperti Webe, kita mungkin melihat lebih banyak promosi dan penawaran pelan yang lebih murah sekaligus menguntungkan pelanggan.