Xiaomi Perkenal Barisan Peralatan Rumah Pintar Mijia Baharu, Harga Bermula RM319

Xiaomi memperkenalkan rangkaian peralatan rumah pintar Mijia baharu untuk pasaran Malaysia, merangkumi mesin basuh dan pengering, peti sejuk serta beberapa model vakum yang direka untuk memudahkan urusan harian.
Antara produk yang diperkenalkan ialah Mijia Tri-Drum Washer Dryer Pro 14.5kg, Mijia Refrigerator Pro Multi-Door 560L, Mijia Car Vacuum Cleaner, Mijia Wireless Wet Dry Vacuum 5 Pro dan Mijia Vacuum Cleaner 4 Max.
Rangkaian ini memanfaatkan teknologi pintar dan sambungan IoT Xiaomi, dengan sokongan aplikasi Xiaomi Home untuk membolehkan pengguna mengawal serta memantau peranti yang serasi menerusi telefon pintar.
Mijia Tri-Drum Washer Dryer Pro 14.5kg
Mijia Tri-Drum Washer Dryer Pro 14.5kg merupakan mesin basuh dan pengering tiga dram pertama Xiaomi untuk pasaran global. Ia membolehkan pakaian berlainan dicuci dan dikeringkan secara berasingan menerusi tiga dram yang beroperasi secara bebas.
Penggunaan ketiga-tiga dram secara serentak juga dikatakan mampu menjimatkan sehingga 48% air, 49% tenaga elektrik dan 68% masa berbanding tiga kitaran basuhan berasingan.
Ia turut dilengkapi teknologi Xiaomi Oxygen Care untuk menanggalkan sehingga 20 jenis kotoran degil, program penjagaan alahan serta fungsi pengeringan pintar.
Mijia Refrigerator Pro Multi-Door 560L
Peti sejuk ini menawarkan kapasiti bersih 560 liter dengan sistem pembuatan ais automatik yang boleh menyimpan sehingga 140 ketul ais.
Ia turut dilengkapi teknologi Ion Hygiene⁺ untuk membantu mengurangkan bau, sistem Dual Cooling Fresh bagi mengawal suhu ruang peti sejuk dan sejuk beku secara berasingan serta Dual Humidity Boxes untuk mengekalkan kelembapan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pengguna juga boleh mengawal suhu dan memantau penyimpanan makanan menerusi aplikasi Xiaomi Home.
Mijia Vacuum Cleaner 4 Max
Mijia Vacuum Cleaner 4 Max menawarkan kuasa sedutan sehingga 280AW serta teknologi Blue Light 180 darjah yang membantu mengesan habuk halus dengan pembesaran sehingga 30 kali ganda.
Ia didatangkan dengan tujuh aksesori pembersihan, bateri boleh tanggal dan masa operasi sehingga 90 minit dalam mod Eco.
Turut disertakan stesen 4-dalam-1 yang menyokong pengecasan, penyimpanan aksesori dan pengosongan habuk automatik. Proses pengosongan mengambil masa sekitar 11 saat, manakala beg habuk 3 liter boleh bertahan sehingga 100 hari berdasarkan keadaan ujian.
Direka untuk pembersihan kereta dan kediaman, vakum kompak ini menawarkan kuasa sedutan sehingga 23,000Pa dengan kuasa maksimum 60AW.
Ia menggunakan sistem penapisan lima peringkat dengan kecekapan melebihi 99.5% untuk menapis zarah habuk sekecil 0.3μm.
Turut disertakan beberapa aksesori pembersihan dan muncung blower. Dengan lima bateri 2,500mAh, ia menawarkan masa operasi sehingga 45 minit dalam mod Low Suction serta menyokong pengecasan USB Type-C 60W.
Mijia Wireless Wet Dry Vacuum 5 Pro
Model ini menggabungkan fungsi vakum basah dan kering dengan teknologi pembersihan wap bersuhu sehingga 160°C bagi membantu menanggalkan kotoran degil.
Ia menawarkan kuasa sedutan 26,000Pa, berus penggelek berkelajuan sehingga 400RPM dan sistem anti-kusut empat peringkat.
Menariknya, sistem pembersihan kendiri menggunakan air panas 100°C turut disediakan, bersama fungsi pengeringan bersuhu tinggi untuk memastikan berus penggelek kekal bersih.
Vakum ini menawarkan empat mod pembersihan iaitu Standard, Steam, Water Absorbing dan Strong, dengan masa operasi sehingga 40 minit.
Harga dan Ketersediaan di Malaysia
Berikut senarai harga produk Mijia yang diperkenalkan:
- Mijia Car Vacuum Cleaner
- Harga asal: RM499
- Harga promosi: RM319
- Kini boleh didapati.
- Mijia Wireless Wet Dry Vacuum 5 Pro
- Harga asal: RM2,099
- Harga promosi: RM1,919
- Mula dijual pada 24 November 2026.
- Mijia Tri-Drum Washer Dryer Pro 14.5kg – tiba pada Disember 2026.
- Mijia Refrigerator Pro Multi-Door 560L – tiba pada Disember 2026.
- Mijia Vacuum Cleaner 4 Max – tiba pada Disember 2026.
- Mijia Air Conditioner Eco 4-Star Inverter 2.0HP – tiba pada Disember 2026.
- Xiaomi Robot Vacuum S60 – tiba pada Disember 2026.
- Xiaomi Robot Vacuum S60+ – tiba pada Disember 2026.
Mijia Car Vacuum Cleaner boleh didapati di Xiaomi Store seluruh negara, mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Maklumat lanjut mengenai ketersediaan produk lain akan diumumkan kelak.





