Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max Kini Rasmi di Malaysia, Tampil Dengan Kamera Leica Dwi-200MP dan Skrin di Belakang

Xiaomi secara rasminya telah memperkenalkan Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max di Malaysia, sekali gus membawa kembali rangkaian flagship Pro Xiaomi ke pasaran tempatan.
Kedua-dua telefon pintar ini hadir dengan beberapa teknologi baharu termasuk sistem kamera Leica dengan dua sensor 200MP, paparan sekunder di bahagian belakang serta teknologi Xiaomi Privacy Display yang direka untuk melindungi privasi pengguna.
Dari segi paparan, Xiaomi 18 Pro dilengkapi skrin AMOLED (HyperRGB 2.0) bersaiz 6.4-inci dengan resolusi 2436 x 1120 piksel, manakala Xiaomi 18 Pro Max hadir dengan skrin LTPO AMOLED berukuran 6.9-inci dan resolusi 2624 x 1208 piksel.
Kedua-duanya menyokong kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz serta kecerahan puncak sehingga 4,000 nits.
Menariknya, kedua-dua model turut dilengkapi teknologi Xiaomi Privacy Display yang menggunakan penyelesaian pada peringkat perkakasan untuk mengehadkan sudut pandangan skrin. Ciri ini membantu menghalang individu di sekeliling daripada melihat kandungan pada telefon pengguna.
Selain itu, terdapat juga paparan sekunder pada bahagian belakang bersebelahan modul kamera. Xiaomi 18 Pro menggunakan skrin AMOLED 2.7 inci manakala Xiaomi 18 Pro Max menawarkan skrin lebih besar 2.9 inci.
Paparan kedua ini boleh digunakan untuk melihat notifikasi, maklumat penting, aplikasi, kandungan AI serta mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama.

Dari segi prestasi, Xiaomi 18 Pro menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 6 yang dibangunkan menggunakan teknologi fabrikasi 2nm.
Sementara itu, Xiaomi 18 Pro Max hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 yang lebih berkuasa, turut menggunakan proses fabrikasi 2nm.
Kedua-dua model dipadankan dengan RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.1 serta menjalankan sistem operasi Android 17 dengan antaramuka Xiaomi HyperOS 4.

Untuk fotografi, Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max dilengkapi sistem tiga kamera belakang yang dibangunkan bersama Leica.
Ia terdiri daripada:
- Kamera utama Leica 200MP dengan sensor 1/1.28 inci dan sokongan OIS.
- Kamera telefoto periskop Leica 200MP dengan zum optikal 3.2x dan OIS.
- Kamera ultra lebar 50MP dengan sudut pandangan 102 darjah.
Kedua-dua model turut dilengkapi kamera hadapan 50MP untuk swafoto dan panggilan video.
Sistem kamera ini turut menyokong rakaman video sehingga resolusi 8K, selain rakaman 4K Dolby Vision untuk menghasilkan kandungan video dengan kualiti lebih baik.
Bagi bateri, Xiaomi 18 Pro dilengkapi bateri silikon-karbon berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 90W dan pengecasan tanpa wayar 50W.
Xiaomi 18 Pro Max pula menawarkan bateri lebih besar 7,050mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 100W serta pengecasan tanpa wayar 50W.
Kedua-dua model turut dilengkapi sistem penyejukan Xiaomi 3D IceLoop untuk membantu mengekalkan prestasi peranti ketika menjalankan tugasan berat.
Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin, sambungan UWB, sokongan eSIM, pembesar suara stereo dan ketahanan terhadap air serta habuk.
Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Velvet Red, Cosmic Blue, Black dan White.
Xiaomi 18 Pro akan ditawarkan pada harga RM4,799 bagi varian 12GB RAM + 256GB storan dan RM5,299 bagi varian 12GB RAM + 512GB storan.
Sementara itu, Xiaomi 18 Pro Max dijual pada harga RM5,999 untuk varian 12GB + 256GB dan RM6,499 bagi varian 12GB + 512GB.

Pra-tempahan kini dibuka dari 18 hingga 26 November 2026, dengan pembeli berpeluang menikmati diskaun tambahan sehingga RM500 serta hadiah percuma bernilai sehingga RM4,598.
Tawaran ini turut merangkumi rebat RM300 untuk Xiaomi 18 Pro atau RM500 untuk Xiaomi 18 Pro Max, selain sebuah Xiaomi Watch S5 bernilai RM799 sebagai hadiah percuma.



