Nothing OS 5.0 Kini Mula Ditawarkan, Lebih 80 Penambahbaikan Berasaskan Android 17

Nothing secara rasminya telah memulakan penawaran kemaskini umum Nothing OS 5.0, kemaskini perisian terbesarnya setakat ini. Berasaskan Android 17, kemaskini ini hadir dengan lebih 80 penambahbaikan yang merangkumi aspek reka bentuk, personalisasi, prestasi dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, Nothing Phone (3) menjadi model pertama yang menerima Nothing OS 5.0 dan ianya akan diteruskan secara berperingkat kepada lebih banyak telefon pintar Nothing dan CMF dalam beberapa bulan akan datang.
Bagi versi umum ini, Nothing turut memperkenalkan beberapa ciri baharu selain penambahbaikan yang telah tersedia sepanjang fasa Open Beta.
Home Screen dengan Reka Bentuk Baharu
Home Screen kini tampil dengan elemen lutsinar pada widget dan bar carian. Sistem warna adaptif turut diperkenalkan bagi menyesuaikan warna antara muka dengan wallpaper yang digunakan, sekali gus memberikan penampilan yang lebih seragam dan diperibadikan.
Paparan Jam Micrographics pada Lock Screen
Nothing turut menambah pilihan paparan jam baharu yang diinspirasikan oleh reka bentuk perkakasan. Paparan Micrographics ini menggabungkan maklumat tarikh, waktu, cuaca dan mesyuarat akan datang supaya pengguna boleh melihat maklumat penting dengan pantas.
Essential Space Dipertingkatkan
Essential Space juga menerima penambahbaikan tambahan yang akan diedarkan melalui Google Play, selari dengan pelancaran Nothing OS 5.0 versi umum.
Penambahbaikan Lain dalam Nothing OS 5.0
Sebelum pelancaran umum ini, Nothing telah memperkenalkan beberapa perubahan menerusi fasa Open Beta. Antaranya termasuk:
Antara Muka Lebih Segar dan Konsisten
Ikon, jarak antara elemen dan animasi pada bar status, Settings, Camera serta Gallery telah diperhalusi. Kemas kini ini turut menggunakan jenis tulisan Geist dan menyelaraskan elemen visual bagi memberikan pengalaman yang lebih konsisten di seluruh sistem.
Pilihan Personalisasi yang Lebih Meluas
Pengguna kini boleh memanfaatkan widget Collector untuk menyusun koleksi visual objek kegemaran, manakala Away Time membantu menjejaki tempoh tanpa penggunaan skrin. Fungsi penyuntingan Skrin Utama juga dipertingkatkan, membolehkan beberapa aplikasi dan widget dipindahkan dalam satu masa.
Prestasi Sistem Lebih Lancar
Nothing OS 5.0 membawa peningkatan terhadap respons sentuhan, pengurusan sumber sistem dan keupayaan mengekalkan aplikasi aktif di latar belakang. Animasi ketika membuka aplikasi, menggunakan folder dan widget serta melakukan multitasking turut diperhalusi untuk pengalaman yang lebih lancar.
Ciri Essential AI yang Dipertingkatkan
Essential Voice kini menawarkan transkripsi yang lebih pantas dan kemas, sementara Essential Space mendapat ciri Smart Collections untuk membantu mengurus kandungan. Essential Apps Builder pula membolehkan pengguna membina dan menggunakan aplikasi berasaskan AI terus daripada telefon hanya dengan menerangkan idea mereka, tanpa memerlukan kemahiran pengekodan.
Pengalaman Android 17 yang Lebih Lengkap
Sebagai sistem operasi asasnya, Android 17 membawakan beberapa perubahan termasuk panel Notifications dan Quick Settings yang diasingkan, Quick Share dengan sokongan perkongsian merentas platform, kawalan privasi yang dipertingkatkan serta paparan Recents yang direka semula.
Dengan pelbagai penambahbaikan ini, Nothing OS 5.0 menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih diperibadikan, lancar dan praktikal, sambil memperluaskan penggunaan ciri AI dalam peranti Nothing dan CMF yang disokong.

Kemaskini Nothing OS 5.0 akan diteruskan secara berperingkat kepada lebih banyak telefon pintar Nothing dan CMF dalam beberapa bulan akan datang.


