Nothing Phone (4b) kini rasmi – pelancaran di Malaysia tidak lama lagi

Nothing secara rasminya telah memperkenalkan Nothing Phone (4b), telefon pintar pertama di bawah siri (b) yang direka sebagai pilihan lebih mampu milik dalam ekosistem Nothing. Meneruskan identiti jenama tersebut, Phone (4b) menggabungkan reka bentuk telus ikonik, prestasi yang dipertingkatkan, perisian Nothing OS serta pelbagai ciri AI untuk kegunaan harian.
Dari segi rekaan, Nothing Phone (4b) menggabungkan Glyph Bar bersama rekaan unibody yang menjadi identiti siri Phone (4a). Peranti ini menggunakan binaan eco-polycarbonate dengan kemasan tahan cap jari, hadir dalam pilihan warna Black, White dan Blue, serta menawarkan penarafan IP64 bagi ketahanan terhadap habuk dan percikan air.
Di bahagian hadapan, telefon ini dilengkapi paparan Super AMOLED 6.77 inci dengan kadar segar semula adaptif 120Hz, sokongan HDR10+, kecerahan puncak sehingga 2,000 nits dan kadar pensampelan sentuhan segera 1,000Hz untuk pengalaman yang lebih lancar ketika melayari kandungan mahupun bermain permainan.
Menguasakan Nothing Phone (4b) ialah cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 4 yang dibina menggunakan proses 4nm, menawarkan prestasi yang dikatakan hampir setanding dengan Nothing Phone (4a) serta mencatat skor AnTuTu melebihi satu juta mata. Walau bagaimanapun, Nothing masih belum mengumumkan konfigurasi RAM dan storan bagi model ini.
Dari segi fotografi, Nothing Phone (4b) hadir dengan kamera utama 50MP yang menyokong OIS dan EIS, dipadankan bersama kamera ultra lebar 119 darjah. Telefon ini turut menyokong rakaman video 4K pada 30fps, fungsi Dual Video Capture yang membolehkan rakaman menggunakan kamera hadapan dan belakang secara serentak, selain diperkasa enjin pemprosesan imej TrueLens Engine 4 dengan teknologi Ultra XDR bagi menghasilkan imej yang lebih terang dan realistik.
Dari segi ketahanan bateri, Nothing Phone (4b) hadir dengan bateri berkapasiti 5,200mAh, yang merupakan bateri terbesar pernah digunakan pada telefon pintar Nothing. Ia turut menyokong pengecasan pantas berwayar 33W, dengan pengecasan sehingga 50% dalam masa kurang 30 minit.
Antara tarikan utama Phone (4b) ialah Glyph Bar yang menggunakan 45 lampu mini-LED untuk memaparkan notifikasi, status pengecasan dan pelbagai maklumat penting tanpa perlu menghidupkan skrin. Telefon ini juga dilengkapi sistem penyejukan 4,400mm² vapour chamber, pembesar suara stereo, serta menjalankan Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16. Nothing turut menjanjikan 3 tahun kemas kini Android dan 6 tahun kemas kini keselamatan, selain menyertakan pelbagai ciri AI termasuk Essential Space, Essential Search, Essential Voice, integrasi ChatGPT, Google Gemini dan Circle to Search.
Nothing mengesahkan Nothing Phone (4b) akan ditawarkan dalam pilihan warna Black, White dan Blue. Harga serta tarikh pelancarannya di Malaysia akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.






