Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 – Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy?

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 1

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 2
                   ULASAN : Samsung Galaxy Watch Ultra2

Pengenalan

Dua tahun selepas pelancaran Galaxy Watch Ultra generasi pertama, Samsung secara rasminya memperkenalkan Galaxy Watch Ultra2. Jarak masa dua tahun antara kedua-dua generasi ini memberi ruang kepada Samsung untuk membawa beberapa peningkatan yang lebih ketara, khususnya dari segi perkakasan dan keupayaan jam tangan pintar ini.

Galaxy Watch Ultra2 hadir dengan reka bentuk yang lebih nipis tetapi masih mengekalkan binaan yang kukuh. Samsung turut meningkatkan saiz dan kecerahan skrin, selain menggunakan cip pemprosesan yang lebih baharu. Kapasiti baterinya juga telah meningkat sebanyak 35%, manakala beberapa fungsi berkaitan kesihatan dan kecergasan juga diperluaskan.

Antara ciri baharu yang menarik ialah fungsi arahan suara raise-to-speak, yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan Gemini dengan mudah. Dalam masa yang sama, Samsung masih mengekalkan fokus terhadap pengguna aktiviti lasak menerusi ciri seperti Trail Run dan fungsi menyelam yang dipertingkatkan.

Dari aspek prestasi, Galaxy Watch Ultra2 merupakan peranti terawal yang menggunakan cip Snapdragon Wear Elite daripada Qualcomm. Ini menawarkan peningkatan prestasi yang ketara berbanding Watch Ultra generasi pertama yang menggunakan cip Exynos.

Cip Snapdragon ini bukan sahaja menawarkan prestasi lebih tinggi, malah direka untuk memberikan kecekapan tenaga yang lebih baik serta membantu meningkatkan ketepatan penjejakan GPS.

Dengan spesifikasi dan ciri yang ditawarkan, Galaxy Watch Ultra2 sememangnya berada dalam kategori jam tangan pintar premium yang cukup lengkap namun adalah ianya satu pelaburan yang berbaloi?, Ini adalah ulasan kami mengenai jam tangan pintar flagship Samsung.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 3

Reka Bentuk

Dari segi rekaan, Samsung Galaxy Watch Ultra2 hadir dalam dua pilihan warna iaitu Titanium Silver dan Titanium Gray. Unit yang kami terima untuk ulasan ini adalah versi Titanium Silver.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 4

Samsung turut melakukan sedikit penambahbaikan pada tali Marine Band dimana ianya dikatakan lebih lembut dan 25% lebih ringan berbanding generasi sebelumnya, selain menggunakan buckle titanium. Namun dalam penggunaan semasa ulasan , tali ini terasa sedikit kasar dan agak ketat walaupun sudah dilonggarkan yang menyebabkan kami lebih menggemari tali silikon pada model terdahulu.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 5

Selain itu, sistem pemasangan tali juga berbeza. Galaxy Watch Ultra2 menggunakan mekanisme Dynamic Lug tersendiri yang membuatkan tali kelihatan lebih kemas apabila dipasang pada badan jam. Ia boleh ditanggalkan dengan menekan butang kecil pada bahagian sambungan.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 6

Satu lagi perkara yang mungkin dirasai kehilanganya oleh pengguna Galaxy Watch Classic ialah rotating bezel . Samsung menggantikannya dengan fungsi touch bezel yang membolehkan penggina mengawal paparan dengan meleret jari di sekeliling tepi skrin. Ia memberikan respons yang  baik, namun tidak sama seperti bezel fizikal.

Sebagai alternatif kepada bezel, Samsung juga masih mengekalkan Quick Button yang diperkenalkan pada Galaxy Watch Ultra sebelum ini. Butang ini memudahkan pengguna memulakan senaman atau melakukan tindakan tertentu dengan pantas tanpa perlu menyentuh skrin.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 7

Dari segi ketahanan, Galaxy Watch Ultra2 hadir dengan IP69K dan 10 ATM water resistance, dengan ketahanan air sehingga 100 meter mengikut standard ISO 22810. Ia turut memenuhi standard MIL-STD-810H, yang menguji ketahanan peranti terhadap pelbagai keadaan persekitaran seperti suhu ekstrem, hentakan, getaran dan kelembapan.

Untuk aktiviti air yang lebih serius, Ultra2 juga merupakan Galaxy Watch pertama yang memperoleh pensijilan EN13319 untuk instrumen selam, dengan sokongan aktiviti diving sehingga 40 meter serta pemantauan masa menyelam, kedalaman dan suhu air secara masa nyata.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 8

Skrin

Samsung Galaxy Watch Ultra2 hadir dengan panel OLED berukuran 1.52-inci dengan resolusi 498 × 498 piksel, ianya adalah lebih besar dan tajam berbanding generasi sebelumnya.

Menariknya, Galaxy Watch Ultra2 menjadi jam tangan pintar dengan tahap kecerahan tertinggi didunia dengan kecerahan maksima sehingga 5,000 nits Dalam penggunaan sebenar, skrin masih sangat jelas walaupun di bawah cahaya matahari terang.

Dalam pada itu, skrin ini juga direka untuk kekal boleh dibaca ketika digunakan pada kedalaman sehingga 40 meter, selari dengan tahap ketahanan air jam tersebut.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 9

Prestasi

Galaxy Watch Ultra2 menjadi model pertama dalam siri ini yang menggunakan cip Qualcomm. Ia dikuasakan Snapdragon Wear Elite yang menawarkan peningkatan prestasi CPU sekitar 32% dan GPU sehingga 19%.

Dalam penggunaan harian, prestasinya memang terasa pantas dan responsif. Navigasi menu, membuka aplikasi dan menukar paparan semuanya berjalan lancar.

Untuk memori pula, Samsung hanya menawarkan satu konfigurasi iaitu 2GB RAM dengan storan dalaman 64GB. Kapasiti storan adalah dua kali ganda berbanding hanya 32GB pada model generasi pertama yang cukup berguna, terutama untuk menyimpan muzik, aplikasi dan kandungan offline tanpa perlu bergantung kepada telefon.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 10

Sensor

Dari segi sensor, Galaxy Watch Ultra2 masih menawarkan set lengkap untuk pemantauan aktiviti dan kesihatan. Tiada perubahan besar berbanding generasi sebelumnya.

Antara sensor yang tersedia ialah:

– Accelerometer
– Barometer
– Gyro Sensor
– Geomagnetic Sensor
– Temperature Sensor
– Light Sensor

Ia turut dilengkapi sensor BioActive Samsung yang menggabungkan pemantauan komposisi badan melalui BIA, ECG serta sensor kadar denyutan jantung optikal.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 11

Wear OS 7 + One UI Watch 9

Galaxy Watch Ultra2 menggunakan Wear OS 7 dengan antaramuka One UI Watch 9. Dari segi rupa dan navigasi, ia masih mengekalkan konsep yang sama seperti versi sebelumnya, jadi pengguna Galaxy Watch tidak memerlukan masa yang lama untuk membiasakan diri.

Samsung turut menjanjikan sokongan kemas kini utama selama lima tahun, yang merupakan satu kelebihan besar untuk sebuah smartwatch.

Fungsi Gemini juga boleh digunakan terus pada jam untuk melakukan tugasan mudah seperti menetapkan timer, menambah janji temu atau mendapatkan arah. One UI Watch 9 memperkenalkan fungsi raise-to-talk, membolehkan pengguna hanya mengangkat pergelangan tangan sebelum memberikan arahan kepada Gemini.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 12

Samsung Health dan kecergasan

Samsung semakin memberi tumpuan kepada pemantauan kesihatan secara lebih menyeluruh. One UI Watch 9 menggabungkan data daripada pelbagai sensor untuk mengenal pasti perubahan yang ketara daripada keadaan biasa pengguna dan memberikan peringatan apabila diperlukan.

Antara ciri baharu ialah Heart Health, yang menghasilkan skor berdasarkan beberapa faktor seperti purata tidur tujuh hari, aktiviti fizikal, BMI dan vascular load.

Terdapat juga Fitness Index yang mengambil kira data daripada aktiviti berjalan atau berlari serta komposisi badan. Namun begitu, bacaan komposisi badan melalui BIA masih lebih sesuai dijadikan sebagai rujukan kerana keputusan boleh berubah mengikut keadaan badan, termasuk tahap hidrasi dan makanan yang diambil.

Galaxy Watch Ultra2 turut menyediakan bacaan VO2 Max, walaupun ketepatannya mungkin tidak setanding ujian menggunakan peralatan khusus.

Untuk pelari trail, Samsung menambah data seperti trail impact dan cadangan pace. Fungsi pemantauan kehilangan peluh pula boleh memberikan panduan tentang keperluan air dan nutrisi sepanjang aktiviti berdasarkan jumlah peluh yang hilang.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 13

Ciri menyelam

Samsung turut menjadikan Ultra2 lebih serius untuk aktiviti menyelam melalui kerjasama dengan Mares. Fungsi Auto Dive boleh mengesan apabila jam mula berada di dalam air dan memaparkan maklumat seperti kedalaman serta suhu air.

Ia juga boleh menunjukkan kadar kenaikan dan had masa menyelam yang selamat secara masa nyata. Bagaimanapun, fungsi ini tidak tersedia ketika pelancaran dan dijangka diperkenalkan kemudian. Sesetengah ciri menyelam juga memerlukan langganan bulanan.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 14

Bateri

Salah satu peningkatan paling besar pada Gakaxy Ultra2 ialah kapasiti baterinya. Samsung kini menggunakan bateri 800mAh, berbanding 590mAh pada Galaxy Watch Ultra generasi pertama.

Dalam penggunaan sebenar, ketahanan baterinya memang mengagumkan untuk sebuah jam tangan yang dikuasakan Wear OS.

Menariknya, Samsung mendakwa jangka hayat bateri Watch Ultra2 adalah sehingga 80 jam tanpa Always-On Display dan 60 jam dengan fungsi tersebut diaktifkan.

Dengan ketahanan seperti ini, Galaxy Watch Ultra2 boleh digunakan untuk aktiviti panjang seperti kayuhan jarak jauh atau larian ultra tanpa terlalu risau tentang bateri, terutama apabila GPS sentiasa aktif.

Dari segi pengecasan, Galaxy Watch Ultra2 mengambil masa antara 1.5 hingga 2 jam untuk mencapai penuh

Jadi, walaupun Ultra2 menawarkan ketahanan bateri yang sangat baik, kelajuan pengecasannya masih menjadi salah satu aspek yang boleh diperbaiki Samsung pada generasi akan datang.

ULASAN: Samsung Galaxy Watch Ultra2 - Masih Pilihan Terbaik Untuk Pengguna Galaxy? 6

Penutup

Secara keseluruhan, Galaxy Watch Ultra2 bukan sekadar sebuah Galaxy Watch Ultra dengan kemaskini yang kecil. Ianya hadir dengan bateri 800mAh, cip Snapdragon Wear Elite baharu, storan 64GB, paparan yang lebih terang serta ciri kesihatan dan kecergasan yang semakin lengkap.

Pada harga RM3,399, Samsung Galaxy Watch Ultra2 berada pada kategori premium flagship . Namun, untuk pengguna yang mahukan jam premium dengan bateri tahan lama, binaan lasak, GPS, ciri kesihatan yang lengkap serta sokongan Wear OS jangka panjang, Galaxy Watch Ultra2 memang antara pilihan yang paling lengkap dalam ekosistem Samsung.

Bagi pemilik Galaxy Watch Ultra generasi pertama, peningkatannya mungkin tidak cukup besar untuk anda upgrade. Tetapi jika beralih dari model lama atau baru pertama kali mahu mendapatkan smartwatch kelas premium Samsung, Galaxy Watch Ultra2 adalah pilihan terbaik.

Dapatkan Samsung Galaxy Watch Ultra2 di Samsung Online Store atau Samsung Experience Store berhampiran anda.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.