Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE – Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 1

TechLife Pad Mini LTE

TechLife merupakan sebuah jenama teknologi gaya hidup yang membawa pelbagai produk elektronik untuk kegunaan harian. Pendekatan TechLife lebih tertumpu kepada menyediakan peranti yang praktikal, mudah digunakan dan mampu dimiliki, tanpa terlalu mengejar ciri-ciri premium yang biasanya meningkatkan harga sesuatu produk.

Bercakap mengenai pasaran tablet di Malaysia, ianya dipenuhi dengan pelbagai pilihan model seperti model premium yang menawarkan prestasi tinggi sehinggalah tablet bajet yang lebih memfokuskan kepada penggunaan harian. Namun, satu kategori yang semakin jarang diberikan perhatian ialah tablet bersaiz kompak pada harga bajet.

TechLife cuba mengisi ruang tersebut dengan pelancaran TechLife Pad Mini LTE, sebuah tablet mini dengan skrin paparan 8-inci yang bukan sahaja mudah dibawa, Malah turut membawa sokongan 4G LTE untuk memberikan lebih banyak kebebasan kepada pengguna ketika berada di luar.

TechLife Pad Mini LTE ini ditawarkan pada harga RM499 dan ianya juga hadir dengan cip MediaTek Helio G80, 4GB RAM +4GB (Extended RAM) bersama 64GB storan, bateri 6,300mAh dan pengecasan 10W. Ia juga dilengkapi kamera belakang 8MP, kamera hadapan 5MP serta sistem dwi-pembesar suara.

Dengan pelancaran TechLife Pad Mini LTE ini, syarikat ini cuba menawarkan pengalaman tablet yang ringkas dan praktikal kepada pengguna yang mahukan peranti kedua untuk hiburan, pembelajaran anak-anak, membaca atau tugasan ringan.

Satu lagi kelebihan penting ialah sokongan 4G LTE melalui SIM. Ini bermakna pengguna tidak perlu sentiasa bergantung kepada Wi-Fi atau hotspot telefon apabila menggunakan tablet di luar rumah.

Dengan harga rasmi RM499, kombinasi saiz yang kompak, sokongan LTE dan bateri berkapasiti tinggi adalah antara tarikan utama Pad Mini LTE ini.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 2

Reka Bentuk

Salah satu perkara yang paling mudah dirasai ketika pertama kali menggunakan Pad Mini LTE ialah saiznya.

Dengan skrin 8-inci, tablet ini terasa jauh lebih mudah dikendalikan berbanding tablet yang menggunakan panel 10-inci atau 11-inci. Ia juga tidak terasa terlalu membebankan apabila digunakan untuk tempoh yang lama.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 3

Bagi pengguna yang biasa menggunakan telefon pintar, saiz ini memberikan jalan tengah yang menarik. Paparannya lebih besar daripada telefon, tetapi keseluruhan peranti masih cukup kompak untuk dibawa ke mana-mana.

Rekaan Pad Mini LTE juga lebih mengutamakan fungsi berbanding penampilan yang terlalu premium. Ini sebenarnya sepadan dengan kedudukan harganya.

TechLife menawarkan Pad Mini LTE dalam dua pilihan warna iaitu Champagne Gold dan Misty Blue.

Pada pandangan kami, saiz kompak merupakan kekuatan terbesar dari segi reka bentuk yang menjadikanya sesuai untuk mereka yang kerap bergerak dan tidak mahu membawa tablet bersaiz besar.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 4

Skrin Paparan

TechLife Pad Mini LTE hadir dengan skrin paparan LCD 8.0-inci dengan kadar segar semula 60Hz.

Untuk sebuah tablet pada harga RM499, konfigurasi ini sememangnya berada dalam kategori asas, namun ia cukup untuk memenuhi keperluan utama tablet jenis ini.

Selain itu, panel bersaiz 8-inci yang kompak ini memberikan ruang paparan yang lebih selesa berbanding telefon pintar, terutama ketika membaca laman web, artikel, dokumen atau menonton video.

Bagi penggunaan media sosial pula, saiz ini memberikan pengalaman yang lebih santai kerana kandungan dipaparkan dalam ruang yang lebih besar tanpa perlu memegang peranti yang lebih besar.

Selain itu, kadar segar semula 60Hz pula bermaksud kita tidak mendapat pengalaman visual yang sama seperti pada tablet atau telefon dengan panel 90Hz dan 120Hz. Tetapi untuk penggunaan seperti membaca, menonton video dan aplikasi harian, ia lebih dari yang mencukupi.

Untuk membaca e-book, melayari internet dan menonton YouTube, saiz 8-inci sebenarnya mempunyai daya tarikannya sendiri. Ia turut hadir dengan pensijilan Widevine L1, yang membolehkan tablet ini menyokong penstriman kandungan dalam kualiti HD pada platform yang serasi seperti Netflix dan banyak lagi.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 5

Pemproses dan OS

TechLife Pad Mini LTE hadir dengan cip MediaTek Helio G80 bersama Android 16 yang turut membawa beberapa ciri praktikal untuk pembelajaran serta penggunaan harian. Antaranya ialah Read Mode, yang melaraskan tona warna skrin bagi memberikan pengalaman membaca yang lebih selesa, terutama ketika membaca e-buku atau melayari web dalam tempoh lama.

Selain itu, tablet ini juga menyokong Circle to Search, membolehkan pengguna mencari maklumat pada skrin dengan hanya melingkari, mengetik atau menyerlahkan objek atau teks tertentu.

Untuk multitasking, Split-Screen membolehkan dua aplikasi dipaparkan serentak pada skrin. Sementara itu, Google Kids Space menyediakan ruang khusus untuk kanak-kanak dengan kandungan pembelajaran dan aplikasi yang sesuai, lengkap dengan kawalan ibu bapa melalui Google Family Link.

Dalam pada itu, Google Gemini turut tersedia sebagai pembantu AI untuk membantu pengguna mencari maklumat, belajar dan melaksanakan pelbagai tugasan terus pada tablet.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 6

Audio

Untuk melengkapkan pengalaman multimedia, TechLife Pad Mini LTE dilengkapi dengan dwi-pembesar suara.

Bagi tablet kompak, kewujudan pembesar suara stereo ini merupakan satu kelebihan kerana peranti sebegini sememangnya banyak digunakan untuk menonton video, mendengar muzik atau kandungan penstriman.

Menonton YouTube terasa lebih baik berbanding menggunakan telefon pintar, terutama apabila tablet diletakkan di atas meja atau digunakan dalam keadaan santai.

Pendekatan TechLife di sini lebih kepada memberikan pengalaman audio yang lengkap terus daripada tablet tanpa menjadikannya terlalu kompleks.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 7

Bateri

Satu daripada aspek paling menarik pada TechLife Pad Mini LTE ialah kapasiti baterinya.

Tablet ini membawa bateri berkapasiti 6,300mAh, satu angka yang agak besar untuk sebuah tablet kompak 8-inci.

Kapasiti bateri sebegini memberikan asas yang baik untuk penggunaan harian, terutama jika tablet digunakan untuk membaca, melayari internet, menonton video dan melakukan tugasan ringan.

Bagi pengguna yang sering berada di luar, bateri besar juga memberikan lebih keyakinan kerana tablet tidak perlu terlalu kerap disambungkan kepada pengecas.

Namun begitu, TechLife Pad Mini LTE hanya menyokong pengecasan 10W iaitu melalui USB Type-C. Walaupun kelajuan 10W bukanlah yang paling pantas dalam kelas tablet masa kini, ia masih memadai untuk pengecasan harian bagi tablet dengan kapasiti bateri seperti ini.

Menariknya, port USB Type-C pada tablet ini turut menyokong 5W reverse charging, membolehkan TechLife Pad Mini LTE digunakan sebagai sumber kuasa mudah alih untuk mengecas peranti lain yang serasi ketika diperlukan.

Dalam penggunaan sebenar, tempoh ketahanan bateri tentunya bergantung kepada cara tablet digunakan. Penggunaan LTE secara berterusan, tahap kecerahan skrin, penstriman video dan permainan akan memberikan kesan yang berbeza terhadap penggunaan bateri.

Tetapi secara keseluruhan, kombinasi bateri 6,300mAh dengan saiz 8-inci menjadikan aspek mobiliti antara kekuatan utama tablet ini.

ULASAN: TechLife Pad Mini LTE - Tablet Kompak 8 Inci dengan 4G LTE, Android 16 dan Bateri 6,300mAh 8

Penutup

TechLife Pad Mini LTE dibina berdasarkan satu konsep yang mudah iaitu sebuah tablet kecil yang praktikal, mudah dibawa dan boleh terus bersambung ke internet melalui LTE.

Pada harga RM499, pengguna akan menikmati sebuah tablet dengan skrin paparan 8-inci, cip MediaTek Helio G80, 4GB RAM, 64GB storan, sokongan 4G LTE, bateri 6,300mAh, pengecasan 10W, kamera 8MP + 5MP dan dwi-pembesar suara.

Sudah tentu terdapat kompromi pada tablet ini seperti skrin LCD 60Hz, pengecasan 10W yang bukanlah pantas dipasaran dan konfigurasi 4GB + 64GB juga lebih sesuai untuk penggunaan harian berbanding kerja berat.

Ketika tablet semakin besar, Pad Mini LTE mengingatkan kita bahawa masih ada pengguna yang mahukan tablet yang boleh dimasukkan ke dalam beg dengan mudah, digunakan dengan selesa dan tidak memerlukan ruang yang besar.

Jadi, jika anda sedang mencari sebuah tablet kompak untuk membaca, menonton video, pembelajaran, media sosial atau tugasan ringan, dan pada masa sama mahukan sambungan LTE tanpa perlu bergantung kepada hotspot telefon, TechLife Pad Mini LTE merupakan pilihan yang menarik dalam kelas harga bawah RM500.

TechLife Pad Mini akan mula dijual pada 15 Ogos ini secara eksklusif di atas talian melalui saluran jualan rasmi TechLife di TikTok, Shopee dan Lazada pada harga RRP RM499 namun kami promosi semasa pasti membolehkan anda memilikinya pada harga lebih rendah.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.