ULASAN : Xiaomi Pad 8 Pro – Tablet Flagship yang Buat Kerja & Hiburan Lebih Mudah!

Pengenalan
Xiaomi Pad 8 Pro muncul sebagai antara tablet flagship Android terbaru yang cuba mengubah persepsi bahawa tablet hanyalah sekadar peranti hiburan. Dengan gabungan prestasi bertaraf tinggi, paparan premium serta fokus kepada produktiviti, Xiaomi meletakkan peranti ini sebagai alternatif serius kepada laptop ringan dan juga pesaing kepada iPad dalam kelasnya.
Xiaomi Pad 8 Pro dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite berasaskan teknologi 3nm, tablet ini menjanjikan lonjakan prestasi yang ketara untuk multitasking, gaming dan kerja berat seperti editing. Pada masa yang sama, skrin berukuran 11.2-inci dengan resolusi 3.2K bersama kadar segar semula 144Hz memberikan pengalaman visual yang tajam dan lancar, sama ada untuk hiburan atau kerja profesional.
Menariknya, Xiaomi turut menekankan konsep “PC-level productivity” melalui sokongan aksesori seperti stylus dan keyboard, menjadikan tablet ini lebih daripada sekadar peranti santai. Ditambah pula dengan bateri berkapasiti 9200mAh serta pengecasan pantas 67W, ia direka untuk kegunaan sepanjang hari tanpa gangguan.
Xiaomi Pad 8 Pro hadir sebagai tablet serba boleh yang menggabungkan kuasa, mobiliti dan produktiviti dalam satu pakej — tetapi sejauh mana ia benar-benar mampu menggantikan laptop? Itu yang akan kita lihat dalam ulasan penuh ini.
Reka Bentuk
Dari segi reka bentuk, Xiaomi Pad 8 Pro hadir dengan pendekatan minimalis premium dengan identiti tersendiri. Xiaomi menggunakan binaan full-metal unibody, memberikan rasa kukuh dan mewah sebaik sahaja dipegang.
Table ini memiliki ketebalan hanya sekitar 5.75mm dan berat kira-kira 485g, yang mana ianya sangat nipis dan ringan untuk kelasnya, menjadikannya selesa digunakan dalam jangka masa panjang sama ada untuk kerja atau hiburan.
Dari sudut visual, Xiaomi Pad 8 Pro menampilkan rekaan yang bersih dengan bezel yang sekata di sekeliling skrin. Nisbah skrin-ke-badan yang tinggi memberi pengalaman lebih immersive tanpa membuat tablet nampak terlalu bulky. Tambahan pula, Ianya ditawarkan didalam dua pilihan warna seperti Pine Green dan Gray yang memberikan sentuhan elegan yang sesuai untuk pengguna profesional mahupun kasual.
Satu lagi aspek menarik adalah bagaimana Xiaomi mengekalkan profil nipis tanpa mengorbankan praktikaliti. Walaupun nipis, tablet ini masih memuatkan bateri besar, menjadikannya bukan sekadar cantik tetapi juga functional dari segi penggunaan harian.
Seterusnya, rekaan modul kamera pula agak minimal, tidak terlalu menonjol, jadi ia tidak mengganggu apabila tablet diletakkan di atas permukaan rata. Pada masa yang sama, sokongan aksesori seperti keyboard dan stylus direka selari dengan konsep “PC-level productivity”, menjadikan keseluruhan ekosistem nampak kemas dan profesional.
Secara keseluruhan, reka bentuk Xiaomi Pad 8 Pro adalah sebuah tablet yang nipis, premium dan praktikal satu kombinasi yang menjadikannya sebagai antara tablet Android paling menarik dari segi estetika dan ergonomik ketika ini.
Skrin Paparan
Dalam segmen tablet premium, skrin memainkan peranan yang sangat penting kerana ia menjadi medium utama untuk hampir semua jenis penggunaan — daripada hiburan sehinggalah kepada produktiviti. Untuk Xiaomi Pad 8 Pro, Xiaomi jelas memberi penekanan serius pada aspek ini dengan menawarkan paparan yang bukan sahaja tajam, tetapi juga serba boleh.
Xiaomi Pad 8 Pro ini dilengkapi dengan skrin bersaiz 11.2-inci dengan resolusi 3.2K (3200 x 2136), memberikan tahap ketajaman yang tinggi untuk pelbagai kegunaan. Sama ada membaca artikel panjang, mengedit dokumen atau menonton video berkualiti tinggi, paparan ini mampu memberikan visual yang jelas dan terperinci. Teks kelihatan crisp, manakala imej pula dipaparkan dengan detail yang baik tanpa nampak pecah.
Seterusnya , Xiaomi Pad 8 Pro menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz. Ini menjadikan setiap pergerakan pada skrin terasa lebih lancar dan responsif.
Selain itu, paparan ini turut menyokong gamut warna DCI-P3 bersama 12-bit color yang mampu memaparkan sehingga 68 bilion warna. Sokongan Dolby Vision dan HDR10 juga menambah lagi kualiti tontonan, terutama ketika menonton kandungan dari platform penstriman yang menyokong format ini.
Satu aspek yang menarik adalah penggunaan nisbah skrin 3:2. Berbanding nisbah 16:9 yang lebih biasa digunakan untuk video, nisbah ini lebih sesuai untuk produktiviti kerana memberikan ruang paparan yang lebih luas secara menegak.
Dari sudut keselesaan mata pula, paparan ini hadir dengan pelbagai ciri seperti TÜV Rheinland Low Blue Light, Flicker-Free serta mod bacaan yang membantu mengurangkan keletihan mata, terutama apabila digunakan dalam tempoh yang lama atau pada waktu malam.
Selain paparan yang berkualiti tinggi, Xiaomi Pad 8 Pro turut melengkapkan pengalaman multimedia dengan sistem audio quad speaker dengan Dolby Atmos dan Xiaomi turut menawarkan sokongan 200% volume boost.
Secara keseluruhan, skrin Xiaomi Pad 8 Pro boleh dianggap sebagai salah satu kekuatan utama peranti ini. Ia menawarkan gabungan ketajaman tinggi, pergerakan lancar dan warna yang menarik dalam satu pakej.
Pemproses
Dalam sesebuah tablet flagship, kombinasi chipset + software adalah faktor utama yang menentukan sama ada ia sekadar peranti hiburan atau benar-benar mampu menggantikan laptop. Untuk Xiaomi Pad 8 Pro, Xiaomi jelas menyasarkan pengalaman “PC-level” melalui gabungan hardware dan perisian yang lebih matang.
Dari segi prestasi, tablet ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite, yang dibina menggunakan proses 3nm, cip ini hadir dengan CPU Oryon yang mampu mencapai kelajuan sehingga 4.32GHz, bersama GPU Adreno generasi terkini untuk prestasi grafik yang lebih tinggi.
Dalam penggunaan sebenar, prestasi yang ditawarkan memang berada pada tahap flagship. Sama ada untuk multitasking berat, editing video atau gaming, Xiaomi Pad 8 Pro mampu mengendalikan semuanya dengan lancar tanpa sebarang masalah besar. Xiaomi mendakwa peningkatan yang ditawarkan adalah sehingga 81% pada CPU dan 103% pada GPUberbanding generasi sebelumnya.
Namun, kuasa sahaja tidak cukup tanpa software yang dioptimumkan. Di sinilah Xiaomi Pad 8 Pro menggunakan Xiaomi HyperOS 3, iaitu sistem operasi berasaskan Android yang direka dengan fokus kepada ekosistem dan produktiviti.
HyperOS 3 membawa beberapa kelebihan utama:
• Multitasking lebih baik dengan split-screen dan floating window
• Workstation Mode untuk pengalaman seperti desktop
• Cross-device connectivity dengan peranti Xiaomi lain
• Integrasi AI (Xiaomi HyperAI) untuk fungsi pintar seluruh sistem
Dalam pada itu, Xiaomi Pad 8 Pro hadir dengan sokongan WPS Office versi PC, membolehkan pengguna menikmati pengalaman produktiviti serba lengkap terus dari tablet. Dengan keserasian penuh untuk Word, PowerPoint dan Excel, proses penyuntingan dokumen menjadi lebih lancar, efisien dan hampir setanding seperti pada komputer riba.
Seterusnya, Xiaomi Pad 8 Pro menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih fleksibel melalui ciri sambungan merentas ekosistem. Ia boleh dijadikan paparan kedua tanpa wayar untuk MacBook, sekaligus memudahkan multitasking dan meningkatkan aliran kerja. Selain itu, pemindahan fail antara peranti Xiaomi dan Apple juga boleh dilakukan dengan mudah, menjadikan perkongsian data lebih pantas dan tanpa kerumitan.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa kekangan dari segi ekosistem Android sendiri. Walaupun HyperOS cuba memberikan pengalaman seperti PC, sesetengah aplikasi masih belum dioptimumkan sepenuhnya untuk skrin besar. Ini bermaksud pengalaman “laptop replacement” itu masih belum 100% sempurna.
Gabungan Snapdragon 8 Elite dan HyperOS 3 menjadikan Xiaomi Pad 8 Pro sebagai antara tablet Android paling berkuasa di pasaran namun, seperti kebanyakan tablet Android lain, cabaran sebenar bukan pada hardware — tetapi pada sejauh mana software dan aplikasi mampu memanfaatkan kuasa tersebut sepenuhnya.
Bateri
Xiaomi Pad 8 Pro dilengkapi bateri berkapasiti besar 9200mAh yang mampu memberikan penggunaan sepanjang hari tanpa masalah. Sama ada untuk kerja produktiviti, penstriman video atau gaming, tablet ini direka untuk kekal bertahan lama tanpa perlu kerap dicas.
Untuk pengecasan pula, Xiaomi menyertakan sokongan 67W HyperCharge yang membolehkan bateri diisi semula dengan pantas. Ini sangat berguna bagi pengguna yang sentiasa bergerak, kerana masa pengecasan dapat dikurangkan dengan ketara berbanding tablet biasa.
Penutup
Secara keseluruhan, Xiaomi Pad 8 Pro tampil sebagai sebuah tablet yang lengkap dalam hampir semua aspek—daripada reka bentuk premium, skrin berkualiti tinggi, sistem audio yang padu, hinggalah prestasi mantap untuk produktiviti dan hiburan. Tambahan pula, sokongan aplikasi tahap PC serta keupayaan merentas ekosistem menjadikannya lebih versatil berbanding kebanyakan tablet dalam kelasnya.
Xiaomi Pad 8 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga yang bermula dari RM 2,399.
Dapatkan Xiaomi Pad 8 Pro di laman rasmi Xiaomi Malaysia










