Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Samsung umum peralihan Bixby sebagai conversational device agent

Samsung umum peralihan Bixby sebagai conversational device agent 1

Samsung umum peralihan Bixby sebagai conversational device agent 2

Samsung telah mengumumkan program beta untuk versi terbaharu Bixby yang telah dinaik taraf yang akan berfungsi sebagai agen peranti perbualan (conversational device agent).

Kemaskini ini menjadikan interaksi dengan peranti Galaxy lebih intuitif, kerana pengguna hanya perlu menyatakan keperluan mereka menggunakan bahasa semula jadi. Selain itu, ia turut memperluaskan akses kepada jawapan terkini daripada carian web terbuka.

“Sejak  memperkenalkan telefon AI pertama pada tahun 2024, Samsung komited untuk menjadikannya lebih mudah digunakan supaya lebih ramai dapat memanfaatkan AI — sebab itu kami memutuskan untuk mengintegrasikan agen peranti secara terus dalam pengalaman pengguna,” kata Won-Joon Choi, Ketua Pegawai Operasi, Mobile eXperience (MX) Business di Samsung Electronics. “Bagi menyokong perkara ini, kami mereka semula Bixby untuk membolehkan interaksi yang lebih semula jadi dan kawalan peranti yang lebih intuitif, sekali gus mengurangkan kesulitan dalam tugasan harian.”

Kawalan Peranti Lebih Intuitif Melalui Perbualan Semula Jadi

Bixby membolehkan pengguna mengawal dan menavigasi peranti Galaxy menggunakan bahasa semula jadi, tanpa perlu mengetahui nama tetapan atau arahan yang tepat. Pengguna tidak perlu memahami struktur menu peranti atau mengingati istilah tertentu untuk menyelesaikan sesuatu tugasan; mereka hanya perlu menerangkan apa yang diingini — atau bertanya mengapa sesuatu berlaku pada peranti mereka — dengan kata-kata sendiri. Bixby akan memahami niat tersebut dan mengambil tindakan yang sesuai, sekali gus menjimatkan masa dan usaha dalam mengurus tetapan serta ciri harian.

Sebagai contoh, pengguna boleh berkata, “Saya tak nak skrin padam selagi saya masih melihatnya.” Bixby akan memahami permintaan itu dan terus mengaktifkan tetapan ‘Keep Screen on While Viewing’ — tanpa pengguna perlu mencari dalam menu tetapan atau mengetahui nama ciri tersebut.

Selain memberikan arahan umum, Bixby juga boleh mengenal pasti tetapan semasa peranti dan mencadangkan beberapa penyelesaian yang sesuai. Ini mengurangkan percubaan berulang kali (trial and error), membantu pengguna menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat walaupun mereka kurang biasa dengan peranti atau cirinya.

Jika pengguna bertanya, “Kenapa skrin telefon saya sentiasa menyala bila dalam poket?” Bixby akan memahami konteks situasi tersebut dan memaparkan tetapan berkaitan seperti Accidental Touch Protection, serta membolehkan ia diaktifkan secara terus.

Keupayaan Carian Web Masa Nyata

Bixby kini turut menyokong keupayaan carian web masa nyata. Ia boleh mengakses maklumat langsung dan terkini, dengan hasil carian dipaparkan terus dalam antara muka Bixby sendiri. Ini membolehkan pengguna meneroka topik dan mendapatkan jawapan dalam satu pengalaman yang konsisten dan lancar, tanpa perlu dialihkan ke pelayar atau aplikasi berasingan.

Sebagai contoh, pengguna boleh berkata kepada Bixby, “Carikan saya hotel di Seoul yang ada kolam renang untuk kanak-kanak.” Bixby akan memproses permintaan tersebut dan memaparkan hasil carian web yang relevan terus dalam antara mukanya, membolehkan pengguna meneliti pilihan yang ada tanpa gangguan atau kelewatan.

Ketersediaan

Kemas kini terbaharu Bixby ini tersedia dalam One UI 8.5 di beberapa pasaran terpilih termasuk Jerman, India, Korea, Poland, UK dan AS, dengan pelan peluasan ke lebih banyak pasaran selepas ini. Untuk maklumat lanjut mengenai Bixby, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.

Samsung umum peralihan Bixby sebagai conversational device agent 3

Anda Dijemput ke Galaxy Unpacked Seterusnya!

Pada 26 Februari, sertai kami untuk menyaksikan pelancaran inovasi Galaxy terbaharu Samsung — menandakan fasa baharu dalam era AI apabila kecerdasan menjadi benar-benar peribadi dan adaptif. Acara ini akan disiarkan secara langsung di laman web rasmi Samsung Malaysia, Newsroom, YouTube, Instagram, Facebook dan LinkedIn bermula jam 2 pagi (Waktu Malaysia), 26 Februari 2026.

Dari 11 Februari hingga 25 Februari 2026, daftar minat anda di https://www.samsung.com/my/unpacked/ untuk menerima e-baucar RM150 bagi pembelian peranti Galaxy terpilih yang diumumkan semasa Unpacked 2026, serta berpeluang memenangi hadiah misteri bernilai sehingga jumlah keseluruhan RM68,000!

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.