ULASAN : vivo X200 FE – flagship mini dengan sensor periskop dan bateri 6,500mAh
Pengenalan
Selepas memperkenalkan vivo X200 Pro beberapa bulan lalu, pasti ramai yang terkejut dengan pengumuman bahawa satu lagi model flagship daripada vivo bakal memasuki pasaran Malaysia.
Apa yang lebih menarik adalah model ini bukan hanya tampil sebagai sebuah telefon pintar flagsip, ianya adalah model flagship yang lebih kompak yang merupakan model flagship mini flat screen pertama daripada vivo.
Idea vivo dengan vivo X200 FE ini adalah untuk menawarkan kesemua pengalaman flagship pada ‘form factor’ yang lebih selesa untuk penggunaan sebelah tangan yang bermaksud secara terus bersaing dengan telefon pintar seperti iPhone 16e.
vivo X200 FE kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,399 dan ini adalah ulasan telefon pintar flagship mini terbaru syarikat ini.
Reka Bentuk
vivo X200 FE menampilkan rekaan yang premium dan tahan lasak dimana panel belakang telefon pintar ini memiliki rekaan panel Metallic Sand AG.
Metallic Sand AG merupakan peningkatan kepada proses AG tradisional. Bagi mencapai tekstur yang lebih lembut dan premium, pelarasan formula kimia membolehkan kristal yang lebih halus dan bentukan sfera pada permukaan kaca.
Hasilnya, kemasan matte dipertingkatkan kira-kira 40% berbanding AG tradisional, menghasilkan sentuhan yang lebih halus dan penampilan yang lebih canggih. Ini juga bermaksud panel belakang vivo X200 FE ini adalah lebih tahan calar, anti capjari dan kesan minyak.
Selanjutnya, vivo X200 FE ini direka dengan memfokuskan kepada pengunaan sebelah tangan dan telefon pintar ini mempunyai ketebalan sekitar 7.99mm dengan berat hanya 186 gram.
Dalam pada itu, telefon pintar flagship compact terbaru vivo ini juga hadir dengan kerangka aluminium yang tampil didalam kemasan matte bersama bucu yang membulat. Pada sisi kanan butang kuasa dan butang kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat pula slot USB-C, slot SIM dan gril pembesar suara.
Menutup bahagian dengan reka bentuk adalah dengan pengesahan bahawa telefon pintar vivo X200 FE ini juga hadir dengan pensijilan Triple Protection, military grade drop resistance dan kalis air dan habuk IP68 & IP69.
Skrin Paparan
Sebagai telefon pintar flagship kompak, vivo X200 FE harus memaksimakan setiap inci ruang yang ada pada bahagian hadapan dan tanggungjawab ini telah berjaya dilaksanakan dengan sempurna.
vivo X200 FE tampil dengan paparan AMOLED LTPO berukuran 6.31-inci dengan resolusi 2.5K bersama kadar segar semula 120Hz dan kecerahan maksima sehingga 5,000nits. Bezel sisi skrin ini juga amat nipis namun kami tidak mempunyai ukuran nya.
Dalam pada itu, panel skrin vivo X200 FE ini juga hadir dengan Gorillas Shield Glass yang melindungi paparan peranti daripada kejutan dalam kehidupan harian seperti jatuhan yang tidak disengajakan dan calar.
Beralih kepada sokongan kadar segar semula yang ditawarkan, anda boleh mempunyai tiga pilihan tetapan kadar segar semula iaitu Smart Switch, Standard dan High.
Selain itu, panel skrin vivo X200 FE ini juga mempunyai sensor capjari dalam skrin yang mana ianya adalah jenis optikal dan terdapat juga beberapa ciri perlindungan mata yang boleh diaktifkan seperti PWM Dimming dan Anti-Fatigue Brightness.
Pemproses
vivo X200 XE meneruskan lagi penggunaan cip flagship daripada MediaTek seperti pada generasi sebelum ini dan model terbaru ini dilengkapi dengan cip pemprosesan Dimensity 9300+ yang merupakan cip 4nm terbaru daripada syarikat ini.
Ianya merupakan cipset yang dibangunkan melalui kerjasama antara vivo dan MediaTek merentasi lapan bidang utama, memberikan kejayaan dalam prestasi, kawalan haba dan kecekapan kuasa.
Sementara itu, GPU Immortalis-G720 pula menawarkan pretasi grafik setaraf flagship ,prestasi ray-tracing dan kecekapan dan ianya turut hadir dengan sokongan RAM LPDDR5X pada kadar 12GB manakala storan dalaman adalah 512GB jenis UFS 3.1
Dari segi antara muka, vivo X200 FE hadir dengan sistem operasi FunTouch OS 15 yang berasaskan Android 15 dengan pelbagai ciri yang dikuasakan AI seperti Note Assist, AI Transcript Assist, vivo Live Call Translation dan Circle to Search with Google.
Kebanyakkan ciri ini telah mula ditawarkan pada pelbagai model telefon pintar Android lain dipasaran namun setiap pengeluar mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu.
Ciri AI Creation yang ditawarkan pada aplikasi Notes
Dalam pada itu, vivo X200 FE juga hadir dengan ciri Heterogeneous Space Computing 2.0 memindah tugas ringan ke ‘teras kecil’ untuk jangka hayat bateri yang lebih baik.
Bagi memastikan vivo X200 FE sentiasa berada pada suhu operasi yang optimum, ianya disertakan dengan ruang penyejukan wap 3800 mm² yang menawarkan pelesapan haba 44% lebih baik berbanding penyejukan berasaskan grafit, memastikan prestasi yang stabil dan tahan lama dalam permainan video dan penciptaan kandungan.
Seterusnya, Lightweight OS 2.0 pula akan memastikan OS akan menghentikan proses latar belakang bagi pembaziran tenaga bateri.
Kamera
vivo X200 FE hadir dengan sensor utama ZEISS 50MP yang merupakan sensor IMX921 VSC Bionic Sensor dengan OIS, sensor ZEISS Super Telephoto 50MP dan sensor ultawide 8MP.
Sensor utama 50MP yang dimiliki vivo X200 FE memberikan anda teknologi pengimejan yang cukup baik dan ianya turut menyokong pelbagai mod fotografi yang terhasil dengan kerjasama ZEISS.
Seterusnya, sensor telefoto periskop 50MP yang digunakan pada vivo X200 FE adalah prisma trapezoid yang mempunyai rekaaan laluan optik berbentuk M, menjadikannya lebih padat daripada versi biasa berbentuk L, mengimbangi prestasi tinggi dengan profil yang lebih langsing.
Seterusnya, kamera selfie yang dibawakan oleh vivo pada X200 FE ini adalah sensor 50MP yang mempunyai kebolehan tinggi.
Anda boleh lihat sendiri hasil gambar vivo X200 FE dibawah :
Bateri
vivo X200 FE memiliki bateri setaraf flagship walaupun pada profil rekaan yang kecil dan nipis. Ianya memiliki bateri BlueVolt berkapasiti 6,500mAh yang merupakan bateri silikon anod generasi ketiga.
Selain itu, bersama bateri ini, X200 FE juga menyokong pengecasan pantas 90W FlashCharge yang mana 10 minit pengecasan mampu memberikan sehingga 3 jam waktu penstriman video. Ianya juga didakwa mampu memberikan sehingga 25.44 jam waktu tontonan YouTube dan sehingga 9.55 jam waktu permainan video.
Penutup
Secara keseluruhan vivo X200 FE telah membuktikan bahawa telefon pintar yang kompak tidak lagi mempunyai keperluan untuk diposisikan dibawah peranti flagship.
vivo X200 FE juga disertakan dengan bateri berkapasiti 6,500mAh yang wajar diberikan pujian kerana teknologi silikon anod generasi ketiga ini telah berjaya disumbat kedalam peranti yang mempunyai ukuran 150.83 × 71.76 × 7.99 mm dan berat 186 gram sahaja.
Jika anda mahu menikmati pengalaman setaraf flagship pada profil yang lebih kompak, vivo X200 FE adalah jawapanya.


























