Lazada Bekerjasama dengan Resorts World Genting sebagai Rakan eDagang Teras untuk Merangsang Semula Industri Pelancongan Domestik
Lazada Malaysia dan Resorts World Genting (RWG) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang memeterai kerjasama jangka panjang antara kedua-dua syarikat ini.
Kolaborasi tersebut merupakan usaha strategik bersama bagi membawakan pengalaman percutian, hiburan dan membeli-belah yang mengujakan di destinasi yang unik seperti Genting Highland di platform dalam talian Lazada.
Usaha tersebut pastinya mampu merangsang pertumbuhan dan memacu pemulihan industri pelancongan domestik di Malaysia.
RWG akan menawarkan pakej eksklusif dan tawaran pada harga yang berpatutan di Lazada, dan ianya boleh didapati dengan mudah menerusi capaian meluas yang dimungkinkan oleh platform eDagang.
Para pelanggan di Lazada boleh mendapatkan tiket taman tema dan pakej penginapan hotel, serta e-produk atau e-servis secara digital (digital goods) pada harga istimewa, seperti tiket konsert dan persembahan oleh artis tempatan dan antarabangsa, di samping baucar makanan dan minuman.
Selain itu, Lazada turut mengenalpasti RWG sebagai destinasi pilihan untuk acara korporat dan aktiviti team building.
Sempena Jualan 12.12 Lazada, kedai rasmi dalam talian Resorts World Genting di LazMall menawarkan pelbagai tawaran eksklusif pada harga istimewa, seperti pakej penginapan hotel yang merangkumi semua keperluan, tiket taman tema, tiket Awana Skyway dan banyak lagi.