Pandang Pertama OnePlus 10T 5G – Semuanya Pantas
OnePlus 10T 5G telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global dan syarikat ini juga telah mengesahkan ianya akan dilancarkan di Malaysia pada 1 September ini.
OnePlus 10T 5G adalah sebuah telefon pintar kelas premium syarikat ini namun ianya tidak dilihat sebagai pengganti kepada OnePlus 10 Pro namun lebih layak diklasifikasikan sebagai OnePlus 10 jika ianya dilancarkan bersama OnePlus 10 Pro beberapa bulan lalu.
Ini adalah kerana OnePlus 10T 5G adalah telefon pintar yang lebih mementingkan kepada prestasi khususnya dengan penggunaan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan teknologi pengecasan pantas 150W SUPERVOOC Endurance Edition yang merupakan teknologi pengecasan terpantas pernah ditawarkan oleh syarikat ini.
Sesuai dengan slogan Evolve Beyond Speed, OnePlus 10T 5G pasti menjadi telefon pintar flagship yang popular dikalangan peminat OnePlus di Malaysia.
OnePlus Malaysia telah menghantar kami satu unit ulasan OnePlus 10T 5G dan berikut adalah pandang pertama kami tentang telefon pintar ini.
Buka Kotak
OnePlus 10T 5G tampil didalam kotak berwarna merah yang semakin mengecil namun OnePlus masih menyertakan adapter pengecasan, pin slot SIM, filem perlindungan skrin yang siap dipasang pada peranti dan kabel USB-C ke USB-C berwarna merah.
Reka Bentuk
Sekilas pandang, OnePlus 10T 5G mempunyai reka bentuk yang hampir sama seperti OnePlus 10 Pro namun jika dilihat dengan teliti, modul kamera pada OnePlus 10T 5G adalah terbina bersama panel belakang yang dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 manakala pada OnePlus 10 menampilkan modul kamera yang diperbuat daripada seramik.
Selain itu, modul kamera OnePlus 10T 5G mempunyai 4 gelung yang menempatkan 3 sensor kamera bersama satu flash.
Dalam pada itu, rangka OnePlus 10T 5G ini diperbuat daripada plastik yang mempunyai warna yang sama seperti panel belakang dan telefon pintar ini ditawarkan didalam dua warna iaitu Jade Green dan Moonstone Black.
Unit yang kami terima adalah didalam warna Jade Green yang tampil dengan kemasan berkilat yang mudah mengumpul kesan capjari namun dilihat mudah untuk dibersihkan.
Akhir sekali, OnePlus 10T 5G tidak mempunyai Alert Silder yang biasa ada pada peranti OnePlus dan sebab penyingkiran ini adalah untuk memuatkan bateri yang lebih besar, sistem pengecasan lebih pantas dan isyarat antena yang lebih baik.
Telefon pintar pertama OnePlus dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1
OnePlus 10T 5G menjadi telefon pintar syarikat ini untuk dijana dengan cip pemprosesan flagship terbaru daripada Qualcomm iaitu cip 4nm Snapdragon 8+ Gen 1.
Cip ini bukan hanya menjanjikan prestasi yang cemerlang, malah ianya juga lebih efisien dan turut disertakan dengan kapasiti RAM sehingga 16GB jenis LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB jenis UFS 3.1
Dalam pada itu, untuk memastikan cip ini mampu mengekalkan pretasi terbaik sepanjang masa, OnePlus 10T 5G juga tampil dengan sistem penyejukan terbaik pernah ditawarkan oleh syarikat ini.
Pengecasan Pantas 150W SUPERVOOC Endurance Edition
OnePlus 10T juga dilengkapi teknologi pengecasan terbaik yang pernah ditawarkan oleh syarikat ini iaitu 150W SUPERVOOC Endurance Edition dan anda juga akan menerima adapter pengecasan (160W) yang kini semakin jarang ditawarkan bersama pembelian telefon pintar.
Ini membolehkan sel bateri 4,800mAh yang dimiliki OnePlus 10T 5G dicaj penuh didalam masa 19 minit sahaja dan ianya juga dilengkapi ciri Battery Health Engine yang memastikan kadar degradasi bateri adalah dua kali ganda lebih baik berbanding kebanyakkan telefon pintar dipasaran.
Bila sampai di Malaysia?
Ini adalah satu persoalan yang pasti bermain di minda peminat OnePlus namun anda tidak perlu menanti lama kerana syarikat ini telah mengesahkan OnePlus 10T akan memasuki pasaran Malaysia pada 1 September namun lebih penting adalah harga jualan yang akan diumumkan pada 18 Ogos ini.