Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Xiaomi MIX Fold 2 – Telefon Pintar Foldable Xiaomi yang patut dilancarkan di pasaran antarabangsa

Xiaomi MIX Fold 2 telah dilancarkan minggu lalu dan ianya adalah telefon pintar foldable kedua daripada syarikat ini.

Xiaomi MIX Fold 2 merupakan telefon pintar foldable ternipis dipasaran iaitu dengan ukuran 5.4mm apabila dibuka dan 11.2mm apabila dilipat dan ini berjaya dicapai dengan penggunaan engsel Micro Waterdrop yang lebih nipis dan ringan dengan hanya 87 komponen digunakan.

Xiaomi MIX Fold 2 tampil dengan dua skrin paparan AMOLED iaitu skrin paparan luaran Samsung E5 berukuran 6.56-inci dengan resolusi 2520×1080, kadar segar semula 120Hz, kecerahan maksima 1,000nits dan nisbah 21:9. Terdapat juga kamera selfie 20MP dan dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus.

Seterusnya, skrin paparan utama Xiaomi MIX Fold 2 adalah panel LTPO 2.0 Samsung Eco² OLED berukuran 8.08-inci dengan resolusi 2160×1914, kadar segar semula 1-120Hz AdaptiveSync Pro dan kecerahan 1,000nits.

Dari segi dalaman, Xiaomi MIX Fold 2 memiliki cip Snapdragon 8+ Gen 1, 12GB RAM dan sehingga 1TB storan dalaman.

Bercakap mengenai kamera, Xiaomi MIX Fold 2 hadir dengan sensor utama 50MP IMX766 yang memiliki OIS dan optik Leica, sensor ultrawide 13MP dan sensor telefoto 8MP dengan 2x zoom optik. Xiaomi MIX Fold 2 adalah telefon pintar kedua syarikat ini untuk tampil dengan fotografi Leica.

Beralih kepada bateri, Xiaomi MIX Fold 2 memiliki bateri berkapasiti 4,500mAh dengan pengecasan pantas 67W dan sistem operasi MIUI Fold 13 yang berasaskan Android 12.

Xiaomi MIX Fold 2 akan ditawarkan didalam warna Gold dan Black pada harga CNY 8,999 (RM 5,933) bagi versi 12/256GB dan CNY 11,999 (RM 7,911) bagi versi 12/1TB.

Walaupun Xiaomi tidak memberikan sebarang kepastian untuk menyaksikan Xiaomi MIX Fold 2 ke pasaran antarabangsa, ianya dilihat sebagai taruhan terbaik untuk Xiaomi memasuki pasaran global telefon pintar foldable.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.