Nothing Phone (1) akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,399
Nothing Phone (1) telah disahkan akan dilancarkan di Malaysia pada 20 Julai ini dan harga telefon pintar ini di Malaysia telah disahkan pada harga RM 2,399.
Harga ini adalah bagi varian 8/256GB dan ianya juga dilihat sebagai satu-satunya varian yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan buat masa ini.
Mengulas sedikit spesifikasi Nothing Phone (1), ianya hadir dengan skrin paparan OLED berukuran 6.55-inci yang merupakan panel 10-bit yang mampu memaparkan 1 bilion warna dan ianya juga mempunyai kadar segar semula 120Hz. Nothing menggunakan panel OLED fleksibel untuk mencapai saiz bezel simetri pada semua sudut dan paparan flat ini turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5.
Selain itu, Nothing Phone (1) juga tampil dengan cip Snapdragon 778G+, 8GB RAM dan kombinasi storan dalaman 256GB jenis UFS 3.1.
Beralih kepada kamera pula, Nothing Phone (1) memiliki dua unit kamera dibelakang iaitu satu sensor utama 50MP Sony IMX766 (OIS + EIS) dan satu sensor ultrawide 114⁰ 50MP JN1. Kamera selfie adalah 16MP Sony IMX471.
Ke bahagian bateri, Nothing Phone tampil dengan bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W, pengecasan tanpa wayar 15W dan pengecasan reverse charging 5W. Harus juga kami maklumkan bahawa didalam kotak pembelian tiada adapter pengecasan disertakan.
Selain itu, Nothing Phone (1) akan hadir dengan antaramuka Nothing OS (1) yang berasaskan Android 12, sistem LED Glyph pada panel belakang lutsinar.
Akhir sekali, Nothing Phone (1) akan ditawarkan didalam dua warna iaitu hitam dan putih.