realme GT Neo3 dengan Dimensity 8100 dan pengecasan 150W UltraDart akan dilancarkan di China bulan ini
realme baru-baru ini telah mengesahkan realme GT Neo3 akan memasuki pasaran global pada pertengahan kedua tahun ini namun seperti biasa, pasaran China akan menerima telefon pintar ini terlebih dahulu.
Naib Presiden realme China, Xu Qi Chase telah mengesahkan bahawa realme GT Neo3 akan dilancarkan di China pada bulan ini.
Apa yang menarik pada realme GT Neo3 ini adalah ianya akan menjadi telefon pintar untuk menggunakan teknologi pengecasan UltraDart baharu yang mampu menawarkan pengecasan pada kadar antara 100W hingga 200W.
realme GT Neo3 telah disahkan akan dilengkapi teknologi pengecasan UltraDart 150W yang mampu mengecas bateri berkapasiti 4,500mAh ke tahap 50% didalam masa 5 minit sahaja.
Selain itu, realme juga telah mengesahkan secara rasmi bahawa GT Neo3 akan menjadi antara telefon pintar pertama dipasaran untuk hadir dengan cip 5nm MediaTek Dimensity 8100.
Dalam pada itu, realme GT Neo3 juga dijangka akan memiliki skrin paparan AMOLED berukuran 6.7-inci dan sensor kamera utama 50MP.