Spesifikasi LG G5 telah didedahkan di medan ujian GeekBench
LG akan melancarkan telefon pintar utama mereka iaitu LG G5 di MWC pada 21 Februari ini dan nampaknya spesifikasi yang akan dimiliki telefon pintar ini kini semakin jelas.
Semalam, LG telah mengeluarkan satu ‘teaser’ yang mengesahkan telefon pintar ini akan hadir dengan satu skrin tambahan yang sentiasa menyala.
Laporan terbaru mengatakan model prototaip LG G5 telah diuji di Geekbench sekaligus mendedahkan beberapa spesifikasi penting telefon pintar ini.
LG G5 disahkan akan hadir dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 820 yang disertakan dengan 4GB RAM dan akan hadir dengan sistem operasi Android 6.0.1 Marshmallow.
Maklumat speisifikasi ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan hampir kesemua telefon pintar kelas atasan Android tahun 2016 akan hadir dengan spesifikasi seperti LG G5 ini. Telefon pintar yang diuji ini adalah LG F700S yang mana ‘S’ merujuk kepada syarikat telekomunikasi di Korea iaitu SK Telecom.
Model F700 dijangka adalah model LG G5 kerana LG telah menggunakan nombor F600 pada LG V10 manakala model utama LG bagi tahun 2015 iaitu G4 hadir dengan nombor model F400.
Selain itu, LG G5 juga dijangka akan hadir dengan reka bentuk yang lebih premium dengan berasaskan keluli sepenuhnya. Selain itu, LG G5 juga dijangka akan hadir dengan skirn paparan QHD berukuran 5.6-inci, kamera utama 20MP dan kamera selfie 8MP.
LG G5 akan dilancarkan secara rasmi di Barcelona, Sepanyol pada 21 Februari ini iaitu pada hari sama Samsung Galaxy S7 dilancarkan.