realme GT Neo2 kini rasmi di Malaysia – harga promosi hanya RM 1,999
realme secara rasminya telah melancarkan realme GT Neo2 ke pasaran Malaysia dan ianya akan ditawarkan di Malaysia mulai 11 November ini pada harga dari RM 2,099
realme GT Neo2 hadir dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.6-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Panel AMOLED daripada Samsung ini juga mempunyai kecerahan maksima 1,300nits dan kadar pensampelan 600Hz.
Dari segi prestasi, realme GT Neo2 dilengkapi dengan pemproses Snapdragon 870 yang merupakan satu-satunya cipset dipasaran yang mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 3.2GHz dan ianya dipadankan dengan 12 GB RAM dan storan dalaman 256 GB jenis UFS 3.1.
Pada bahagian kamera, realme GT Neo2 mempunyai sensor utama 64MP, sensor ultrawide 8MP dan sensor makro 2MP.
Menyedari cipset Snapdragon 870 sahaja tidak mampu menyaingi telefon pintar gaming lain dipasaran, realme GT Neo2 juga telah dilengkapi dengan teknologi penyejukan gel yang mengandungi partikel berlian dan terdapat juga lapisan graphene gred industri aeroangkasa dan ruang penyejukan wap berukuran 4,129 mm persegi.
Ini membolehkan suhu operasi telefon pintar ini diturunkan sebanyak 18° yang juga bermaksud prestasi realme GT Neo2 adalah 20% lebih baik berbanding realme GT Neo.
Selain itu, realme GT Neo2 juga mempunyai mod gaming GT Mode 2.0 dan realme UI 2.0 yang berasaskan Android 11.
Beralih kepada bateri, realme GT Neo2 hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang dilengkapi pengecasan pantas 65W (0-100% dalam masa 36 minit).
realme GT Neo2 akan ditawarkan didalam dua warna iaitu Green Mint dan Blue Neo dengan harga jualan runcit rasmi RM 2,099.
Dalam pada itu, realme GT Neo2 akan ditawarkan mulai tengah malam 11 November ini di Lazada dan Shopee pada harga RM 1,999 sahaja.