Samsung Galaxy Watch4 akan hadir dengan One UI Watch yang berasaskan Google Wear OS
Samsung nampaknya telah membuat keputusan untuk beralih daripada menggunakan Tizen OS pada jam Galaxy Watch kepada sistem operasi One UI Watch yang berasaskan Google Wear OS.
Samsung telah mengesahkan perkara ini dan Galaxy Watch4 akan menjadi jam pintar pertama untuk hadir dengan One UI Watch yang berasaskan Wear OS.
Antara kelebihan One UI Watch ini adalah ianya akan mempunyai integrasi Android yang lebih mendalam berbanding Tizen OS.
Sebagai contoh, jika anda memuaturun aplikasi di Google Play Store yang juga mempunyai aplikasi untuk jam, ianya akan dimuatturun kepada jam pintar anda secara automatik.
Selain itu, penggunaan One UI Watch juga menawarkan pengguna Galaxy Watch4 akses kepada lebih banyak aplikasi seperti Strava, Adidas Running, Calm, Spotify, YouTube Music dan Google Maps.
Dalam pada itu, Samsung juga mendakwa bahawa generasi Galaxy Watch selepas ini akan menikmati jangka hayat bateri yang lebih baik, prestasi lebih pantas dan akses kepada aplikasi yang lebih meluas.
Samsung Galaxy Watch4 dijangka akan dilancarkan pada bulan Ogos sebagai peranti pertama Samsung dengan One UI Watch yang berasaskan Google Wear OS.