Samsung bakal melancarkan jam pintar kecergasan yang murah – MobileFokus
Samsung telah dilaporkan akan melancarkan satu jam pintar kecergasan dan perekod aktiviti harian yang baru dan jam pintar ini mempunyai nombor model SM-R150 dengan kod nama Thriathlon.
Beberapa gambar jam pintar SM-R150 ini telah tersebar dan nampaknya Samsung akan mengekalkan reka bentuk jam pintar Gear S2 yang mendapat pujian pada model terbaru ini.
Gambar-gambar ini telah didedahkan oleh Tizen Cafe melalui akaun twitter mereka dan ianya juga hadir dengan reka bentuk skrin bulat selain ‘bezel’ yang boleh berputar seperti pada Gear S2 dan kami pasti anda akan menghadapai masalah untuk membezakanya dengan versi sport Gear S2.
Selain itu, antara ciri penting yang akan dimiliki oleh jam pintar ini adalah sensor degupan jantung dan satu aksesori yang dilekapkan pada dada untuk mengukur degupan jantung dengan lebih tepat.
Jam pintar ini juga akan hadir dengan pengukur kadar lemak didalam badan, jumlah pengambilan air dan jumlah aktviti kecergasan yang dilakukan.
Jam pintar baru ini mungkin tidak memiliki kesemua fungsi yang ditawarkan pada Gear S2 dan tujuan utama Samsung melakukanya adalah untuk menawarkan model ini pada harga penjualan yang lebih murah.
Selain itu, seperti Gear S2, jam pintar ini juga dijangka akan boleh digunakan oleh kesemua peranti Android dan terdapat juga kemungkinan sokongan kepada peranti iOS ditawarkan.
Jika Samsung berjaya mengekalkan harga penjualan model ini pada kadar yang sangat berpatutan kami pasti ramai pengguna akan tertarik untuk membeli peranti kecergasan ini.