OnePlus 8T kini rasmi di Malaysia – harga dari RM 2,699 – OnePlus 8T Pop-Up Bundle turut akan ditawarkan pada harga RM 2,999
OnePlus secara rasminya telah memperkenalkan OnePlus 8T ke pasaran Malaysia dan ianya hadir dengan harga penjualan dari RM 2,699.
OnePlus 8T hadir dengan skrin paparan AMOLED 6.5-inci yang menawarkan pengguna kadar segar semula 120Hz namun ianya masih mengekalkan resolusi 1080p+ dan telefon pintar ini juga menjadi model pertama OnePlus untuk menawarkan ciri AlwaysOn dengan 11 antaramuka tersedia dalam peranti.
Selain itu, perubahan terbesar adalah dari teknologi pengecasan pantas Warp Charge 65W yang mampu mengecas bateri berkapasiti 4,500mAh yang dimiliki OnePlus 8T didalam masa 39 minit sahaja.
Selain itu, peranti ini juga menyokong pengecasan pantas USB Power Delivery pada kadar sehingga 45W yang bermaksud anda boleh menggunakan adapter lain ketika waktu kecemasan.
OnePlus 8T dikuasakan dengan pemproses Snapdragon 865 (bukan versi 865+) dan ianya disertakan dengan dua konfigurasi RAM dan storan dalaman iaitu 8/128GB dan 12/256GB.
Lebih-lebih lagi, jenis RAM yang digunakan pada OnePlus 8T adalah jenis LPDDR4X RAM manakala storan dalaman adalah dari jenis UFS 3.1 yang pantas.
Selain itu, OnePlus 8T juga dilengkapi sistem penyejukan Vapor Chamber yang 285% lebih lebar berbanding generasi sebelum ini.
OnePlus 8T juga telah mendapat penghormatan sebagai antara telefon pintar pertama untuk ditawarkan dengan Android 11 dari kotak pembelian.
OnePlus 8T dilengkapi dengan sensor kamera utama 48MP Sony IMX586, sensor ultrawide 16MP yang paling lebar pernah digunakan pada telefon pintar OnePlus (123°), sensor makro 5MP yang memberikan anda fotografi mikro pada jarak 3cm dan sensor depth 2MP.
OnePlus 8T akan ditawarkan didalam dua warna iaitu Aquamarine Green dan Lunar Silver.
Harga penjualan OnePlus 8T di Malaysia adalah seperti berikut :
OnePlus 8T 8/128GB (Lunar Silver) – RM 2,699
OnePlus 8T 12/256GB (Aquamarine Green) – RM 2,999
Penjualan pertama OnePlus 8T akan diadakan secara eksklusif di Lazada mulai 28 Oktober ini manakala penjualan secara offline akan bermula pada 31 Oktober di semua saluran penjualan rasmi OnePlus.
Selain itu, OnePlus juga telah mengesahkan akan menawarkan OnePlus 8T Pop-Up Bundle ke pasaran Malaysia namun ianya terhad kepada 250 unit sahaja.
OnePlus 8T Pop-Up Bundle ini akan ditawarkan secara eksklusif di Lazada pada 11 November (12 tengah malam) dengan harga penjualan RM 2,999.
OnePlus 8T Pop-Up Bundle menawarkan anda OnePlus 8T (12GB + 256GB) + OnePlus 8T Quantum Bumper Case + OnePlus Buds.