Google melancarkan Pixel C – tablet Android terbaik
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pelancaran produk Nexus daripada Google tidak hanya terbatas kepada telefon pintar dan turut termasuk tablet dan sebagai mengekalkan portfolio produk tablet, Google secara rasminya telah melancarkan tablet yang dikenali sebagai Google Pixel C bersama-sama Nexus 5X dan Nexus 6P
Google Pixel C ini adalah tablet yang 100 peratus dikeluarkan oleh Google sendiri. Google Pixel C ini telah direka bentuk dan dikeluarkan oleh kumpulan pekerja yang bertanggungjawab mengeluarkan komputer riba Chromebook Pixel.
Google Pixel C ini boleh dikatakan akan menjadi antara tablet paling berkuasa tinggi di pasaran Android dan ianya hadir dengan skrin paparan 10.2-inci yang menawarkan resolusi 2560x 1800 dengan kepadatan piksel 308ppi. Selain itu, dari segi dalaman, Pixel C hadir dengan pemproses Tegra X1 daripada Nvidia dan GPU daripada Maxwell selain 3GB RAM.
Seperti Nexus 5X dan Nexus 6P, Google Pixel C juga hadir dengan slot USB Type-C yang akan menjadi antara ciri utama pada kesemua produk Google.
Selain itu, sebagai menawarkan kemudahan untuk melakukan kerja dan aktiviti harian, Google Pixel C juga hadir dengan satu papan kekunci mudah alih dan dengan penutupan pad kekunci ini, pengecasan tanpa wayar juga akan diaktifkan.
Google Pixel akan ditawarkan dengan sistem operasi Android Marshmallow yang asli dan akan hadir dengan dua kapasiti memori simpanan dalaman iaitu 32GB dan 64GB.
Selain itu, Google Pixel C juga akan hadir dengan satu unit kamera di belakang yang buat masa ini masih tidak diketahui resolusinya.
Google Pixel C akan mula ditawarkan sebelum penghujung tahun ini dengan harga penjualan $499.99 (RM2,217) bagi versi 32GB dan $599.99 (RM2,661)bagi versi 64GB. Sedikit mengecewakan disini adalah, jika anda mahu papan kekunci mudah alih anda perlu membelinya secara berasinga pada $149 (RM660).