Xiaomi Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite akan tiba di Malaysia esok dengan harga dari RM 999
![Xiaomi Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite akan tiba di Malaysia esok dengan harga dari RM 999 1 Xiaomi Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite akan tiba di Malaysia esok dengan harga dari RM 999 1](https://mobilefokus.com/wp-content/uploads/2018/11/5E741387-C7F5-46A2-B7D2-BAF8211C0025.jpeg)
Pada bulan September yang lalu, Xiaomi telah memperkenalkan dua model baru yang akan menjadi sebahagian dari keluarga peranti flagship Mi 8 iaitu Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite.
Berita baik bagi kita di Malaysia adalah, kedua-dua model baru Mi 8 ini akan mula ditawarkan di Malaysia mulai esok 10 November dengan harga penjualan dari RM 999 sahaja.
Bercakap mengenai Mi 8 Pro, ianya mewarisi kesemua spesifikasi Mi 8 Explorer Edition dengan sensor capjari terbina pada skrin selain IR Face Unlock menggantikan 3D Structure Face unlock yang disertakan pada Mi 8 Explorer Edition.
Xiaomi Mi 8 Pro ini hadir dengan skrin paparan AMOLED FHD+ berukuran 6.21-inci, pemproses Snapdragon 845, 8GB RAM, 128GB memori simpanan dalaman dan bateri 3,000mAh.
Selain itu, Mi 8 Pro juga memiliki teknologi dwi-kamera 12MP f/1.8 + 12MP f/2.4 dan kamera selfie 20MP.
Bercakap mengenai Mi 8 Lite pula, ianya hadir dengan skrin paparan LCD berukuran 6.26-inci, dwi-kamera 12MP + 5MP, kamera selfie 24MP dan bateri berkapasiti 3,350mAh.
Mi 8 Lite hadir dengan sensor capjari pada panel belakang dan ditawarkan didalam 4 warna iaitu biru,ungu, oren dan kuning.
Harga penjualan Xiaomi Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite adalah seperti berikut :
Xiaomi Mi 8 Pro 8GB/128GB – RM 2,399
Xiaomi Mi 8 Lite 4GB/64GB – RM 999
Xiaomi Mi 8 Lite 6GB/128GB – RM 1,299.
Xiaomi Mi 8 Pro akan ditawarkan didalam warna titanium lutsinar dan boleh dibeli di Mi Stor Malaysia mulai esok.
Xiaomi Mi 8 Lite versi 4GB/64GB akan ditawarkan di stor rasmi Mi di Shopee pada 10 November sebelum ditawarkan di stor rasmi Mi di Lazada mulai 11 November.
Bagi Mi 8 Lite versi 6GB/128GB pula, ianya akan ditawarkan secara eksklusif di stor Mi.
Kedua-dua versi Mi 8 Lite ini akan ditawarkan didalam dua pilihan warna iaitu biru aurora dan hitam.
Selain itu, Xiaomi akan turut mengadakan penjualan khas pertama Mi 8 Lite di Mi Stor Pavilion Kuala Lumpur, Mi Stor IMAGO Sabah dan Mi Stor Kuantan City Mall (pembeli terawal akan menerima hadiah eksklusif bernilai RM 138).