Bagaimana AI Companion Mengubah Cara Kita Belajar dan Bekerja Pada Samsung Galaxy Tab S12+

Kecerdasan buatan (AI) kini semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, termasuk cara kita mendapatkan maklumat, belajar dan menyelesaikan tugasan kerja. Jika sebelum ini AI lebih banyak digunakan sebagai platform untuk mencari jawapan atau mendapatkan idea, perkembangan teknologi ini membolehkan ia menjadi pembantu digital yang boleh digunakan secara langsung dalam pelbagai aktiviti harian.
Melalui Samsung Galaxy Tab S12+, Samsung mahu membawa pengalaman ini ke tahap seterusnya dengan menjadikan AI Companion sebahagian daripada pengalaman penggunaan tablet. Ia bukan sekadar menawarkan akses kepada fungsi AI, sebaliknya memudahkan pengguna mendapatkan maklumat, melakukan penyelidikan dan mengurus tugasan tanpa perlu terlalu kerap bertukar antara aplikasi.
Pendekatan ini menjadikan Galaxy Tab S12+ sebuah peranti yang sesuai untuk pelajar, tenaga kerja profesional dan pencipta kandungan yang memerlukan pengalaman lebih fleksibel ketika belajar mahupun bekerja.
Tetapkan AI Companion Mengikut Keperluan
Salah satu perkara menarik pada Galaxy Tab S12+ ialah pengguna tidak terikat kepada satu pembantu AI sahaja. Samsung memperkenalkan Dynamic AI Agents yang membolehkan pengguna memilih antara Gemini, Perplexity atau Bixby mengikut kesesuaian tugasan.
Setiap pembantu AI mempunyai pendekatan tersendiri. Gemini boleh membantu pengguna mendapatkan idea, menyusun maklumat dan mengurus tugasan melalui arahan berbentuk perbualan. Perplexity pula boleh digunakan untuk penyelidikan dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, manakala Bixby menawarkan bantuan untuk mengawal fungsi dan perkhidmatan dalam ekosistem Samsung.
Apa yang lebih memudahkan, pengguna boleh mengakses AI Companion melalui tiga kaedah berbeza. Pertama, dengan menekan dan menahan Side Button pada tablet. Kedua, menggunakan arahan suara seperti “Hey Google” atau “Hey Perplexity”. Ketiga, menekan Galaxy AI Key pada papan kekunci yang serasi.
Ini bermakna pengguna tidak perlu membuka aplikasi AI secara manual setiap kali mahu mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang sedang menyiapkan tugasan boleh terus meminta AI menerangkan sesuatu topik, mencari idea tambahan atau membantu menyusun maklumat tanpa mengganggu aliran kerja yang sedang dilakukan.
Bagi mereka yang bekerja pula, AI Companion boleh membantu menyediakan draf e-mel, menyusun idea untuk pembentangan, merancang projek dan mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan lebih pantas. Pengguna juga boleh memilih pembantu AI yang dirasakan paling sesuai untuk sesuatu tugasan.
Belajar dan Membuat Penyelidikan Tanpa Kerap Bertukar Aplikasi
Pengalaman menggunakan AI bukan sekadar tentang mendapatkan jawapan, tetapi bagaimana ia dapat membantu pengguna menyelesaikan sesuatu tugasan dengan lebih lancar.
Galaxy Tab S12+ menawarkan beberapa ciri Galaxy AI yang direka untuk memudahkan proses tersebut. Antaranya ialah Note Assist dalam Samsung Notes yang boleh meringkaskan nota panjang kepada maklumat lebih padat. Pengguna boleh memilih ringkasan Standard atau Detailed, sebelum menyemak hasilnya dalam paparan split-screen bersama nota asal.
Ciri ini amat berguna kepada pelajar yang perlu mengurus nota kuliah, membaca bahan rujukan atau membuat persediaan sebelum peperiksaan. Daripada membaca semula keseluruhan nota yang panjang, mereka boleh menggunakan ringkasan sebagai panduan untuk mengenal pasti isi penting.
Dalam masa yang sama, fungsi Ask anything pada Samsung Browser turut diperkenalkan untuk membantu pengguna memahami kandungan laman web dan tab yang sedang dibuka. Ia membolehkan pengguna mendapatkan jawapan, meringkaskan halaman dan mencari maklumat berkaitan berdasarkan konteks pelayaran.
Bagi tugasan yang lebih kompleks, Automated App Action pula membolehkan AI membantu melaksanakan beberapa langkah merentasi aplikasi yang disokong melalui satu arahan. Ini berpotensi mengurangkan kerja berulang dan menjadikan pengurusan tugasan lebih mudah.
Apa yang penting, pengguna boleh mendapatkan bantuan AI ketika melakukan penyelidikan tanpa perlu sentiasa keluar daripada aplikasi yang sedang digunakan. Ini menjadikan pengalaman belajar dan bekerja lebih tersusun, khususnya apabila perlu mengendalikan banyak maklumat dalam satu masa.

Satu Ekosistem, Pelbagai Peranti dan Lebih Mudah Diakses
Pengalaman AI yang baik juga perlu disokong oleh ekosistem peranti yang memudahkan pengguna meneruskan kerja dari satu peranti ke peranti lain. Dalam aspek ini, Samsung turut memberikan perhatian kepada pengalaman penggunaan merentas peranti menerusi One Connected Experience.
Bagi pengguna yang sudah berada dalam Galaxy Ecosystem, ciri Storage Share membolehkan mereka mengakses fail daripada peranti Galaxy yang serasi tanpa perlu memindahkannya secara manual terlebih dahulu. Ini memudahkan pengguna membuka dokumen, gambar atau bahan kerja yang disimpan pada peranti lain apabila diperlukan.
Sementara itu, Quick Share pula membantu memudahkan perkongsian gambar, video dan dokumen dengan peranti lain yang serasi, termasuk merentas sistem operasi yang disokong. Pengguna tidak semestinya perlu menggunakan peranti Samsung sepenuhnya untuk menikmati kemudahan perkongsian fail ini.
Sebagai contoh, seseorang yang mengambil gambar menggunakan telefon pintar boleh memindahkannya ke Galaxy Tab S12+ untuk proses penyuntingan, sebelum meneruskan kerja pada komputer. Ini memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna yang menggunakan gabungan peranti Android, iOS, macOS dan Windows dalam rutin harian mereka.
Dengan sokongan ini, Galaxy Tab S12+ bukan sekadar menjadi peranti tambahan, tetapi boleh berfungsi sebagai sebahagian daripada ruang kerja digital yang lebih menyeluruh.
Lebih Daripada AI: Aplikasi untuk Belajar, Berkarya dan Bekerja
Selain ciri AI, Samsung turut memberikan penekanan kepada pengalaman penggunaan melalui sokongan aplikasi produktiviti dan kreativiti. Ini penting kerana AI sahaja tidak mencukupi sekiranya pengguna tidak mempunyai aplikasi yang sesuai untuk melaksanakan idea dan tugasan mereka.
Antara yang menarik ialah tawaran empat bulan langganan percuma Adobe Photoshop Premium untuk pengguna Galaxy Tab S12+. Lebih menarik, Galaxy Tab S12 Series merupakan tablet Android pertama yang menyokong pengalaman Adobe Photoshop dengan fungsi penyuntingan berbilang lapisan.
Pengguna boleh melakukan Multi-Image Compositing untuk menggabungkan beberapa imej dalam satu hasil kreatif, selain Single Image Transformation untuk mengubah suai sesuatu imej mengikut kreativiti masing-masing. Sokongan ciri AI generatif turut memberikan lebih banyak ruang untuk menghasilkan kandungan visual tanpa perlu bergantung kepada komputer.
Bagi pelajar, aplikasi seperti Notability dan Goodnotes pula membantu mengurus nota kuliah, menandakan dokumen PDF dan menyimpan bahan pembelajaran dalam satu tempat. Notion boleh digunakan untuk menyusun jadual, tugasan dan projek, manakala Clip Studio Paint sesuai untuk mereka yang berminat dengan ilustrasi digital.
Untuk pencipta kandungan dan pengguna yang banyak menghasilkan video, LumaFusion turut menyediakan platform penyuntingan video terus pada tablet.
Selain itu, pengguna Galaxy Tab S12+ juga layak menikmati enam bulan Google AI Pro yang menawarkan akses lebih luas kepada Gemini serta storan awan sebanyak 5TB. Ruang storan ini juga boleh dikongsi bersama sehingga lima ahli keluarga melalui perkongsian keluarga Google yang disokong.
Ini memberikan nilai tambahan kepada pengguna yang memerlukan ruang untuk menyimpan dokumen, gambar, video dan bahan pembelajaran, selain memanfaatkan keupayaan AI untuk membantu tugasan harian.
Dengan gabungan aplikasi ini, Galaxy Tab S12+ boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, daripada mencatat nota dan membuat penyelidikan sehinggalah menyunting gambar, menghasilkan ilustrasi dan menyiapkan video.
Tawaran Khas untuk Pelajar
Samsung turut menyediakan tawaran khas menerusi Samsung Student & Teacher Program yang menjadikan Galaxy Tab S12+ lebih mudah dimiliki oleh golongan pelajar yang memerlukan peranti untuk pembelajaran dan tugasan harian.
Menerusi program ini, pelajar yang layak boleh menikmati diskaun 20% daripada harga runcit yang disyorkan (RRP), selain tambahan diskaun 5% untuk pembelian pertama tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan tawaran rasmi Samsung Malaysia, harga Galaxy Tab S12+ Wi-Fi yang asalnya RM4,999 ditawarkan pada RM3,999.20 menerusi program tersebut. Versi 5G yang mempunhai harga RRP RM5,649 akan ditawarkan pada harga RM4,519.20.
Pelajar juga boleh mendapatkan tawaran ini melalui Samsung Experience Stores yang mengambil bahagian atau pembelian secara dalam talian di Samsung.com dan aplikasi Samsung Shop. Pengesahan kelayakan boleh dilakukan menggunakan alamat e-mel pendidikan yang sah.
Tawaran ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan tablet dengan sokongan AI, aplikasi produktiviti dan aksesori yang sesuai untuk kegunaan pembelajaran.
Kesimpulan
Apa yang cuba diketengahkan Samsung menerusi Galaxy Tab S12+ ialah bagaimana sebuah tablet boleh berkembang menjadi lebih daripada sekadar peranti untuk membaca, menonton video atau mencatat nota.
Gabungan Dynamic AI Agents, Galaxy AI, aplikasi produktiviti dan sokongan ekosistem peranti memberikan pengguna lebih banyak pilihan untuk menyelesaikan tugasan harian. Pelajar boleh memanfaatkannya untuk memahami topik yang sukar, membuat penyelidikan dan mengurus nota, manakala golongan profesional boleh menggunakannya untuk merancang kerja, menyediakan dokumen serta menghasilkan kandungan kreatif.
Paling penting, pengguna tidak perlu mengubah keseluruhan cara kerja mereka untuk menggunakan tablet ini. Sebaliknya, Galaxy Tab S12+ direka untuk melengkapkan rutin sedia ada dengan bantuan AI dan pengalaman peranti yang lebih terhubung.
Akhirnya, AI Companion bukan sekadar tentang teknologi yang boleh menjawab soalan, tetapi bagaimana teknologi tersebut membantu kita menggunakan masa dengan lebih baik, bekerja dengan lebih teratur dan belajar dengan lebih berkesan.
Baca : ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan?





