Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan?

Samsung Galaxy Tab S12+ Malaysia

Samsung Galaxy Tab S12+ Malaysia

Pengenalan

Dalam pasaran tablet yang semakin menumpukan kepada produktiviti dan ciri AI, Samsung Galaxy Tab S12+ hadir sebagai pilihan untuk pengguna yang mahukan peranti premium berkuasa dalam reka bentuk yang nipis dan mudah dibawa ke mana-mana.

Samsung Galaxy Tab S12+ memiliki skrin paparan Dynamic AMOLED 2X berukuran 12.6-inci dengan kadar segar semula 120Hz yang luas dan lancar untuk pelbagai kegunaan, daripada menikmati kandungan hiburan dan membaca nota hinggalah melakukan tugasan kerja serta penyuntingan kreatif.

Di sebalik reka bentuk yang nipis iaitu hanya 5.3mm dan berat sekitar 553g bagi model Wi-Fi, Samsunh Galaxy Tab S12+ juga dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9500 yang berasaskan proses 3nm, bersama sokongan Galaxy AI dan Keyboard + S Pen yang disertakan dalam kotak.

Selain itu, Galaxy Tab S12+ turut dilengkapi bateri berkapasiti 10,600mAh yang menyokong sehingga 21 jam main balik video, selain pensijilan IP68 untuk ketahanan terhadap air dan habuk.

Dengan gabungan perkakasan berprestasi tinggi, paparan premium dan ciri produktiviti pintar, persoalannya, sejauh manakah Samsung Galaxy Tab S12+ mampu memenuhi keperluan pengguna yang mahukan sebuah tablet untuk bekerja, belajar dan berhibur? Kami telah menggunakannya untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan oleh tablet terbaharu Samsung ini.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy Tab S12+ yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 4,999.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 1
Reka Bentuk

Dari segi rekaan Samsung Galaxy Tab S12+ menampilkan penampilan yang nipis, ringan dan premium, sesuai untuk pengguna yang mahukan tablet dengan skrin besar namun tidak terlalu berat. Tablet ini mempunyai ketebalan sekitar 5.3mm dengan berat sekitar 553g bagi model Wi-Fi, menjadikannya mudah dibawa ke pejabat, kelas atau digunakan ketika berada di luar rumah.

Jika dibandingkan dengan Galaxy Tab S12 Ultra, Galaxy Tab S12+ adalah 0.2mm lebih tebal namun hampir 150 gram lebih ringan berbanding model Ultra yang tampil dengan skrin 14.6-inci itu.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 2

Selain itu, panel belakang Galaxy Tab S12+ ini tampil dengan kemasan yang minimalis dengan logo Samsung serta satu sensor utama 13MP  dengan camera ring yang sama warna seperti tablet (tiada camera island seperti pada Galaxy S Series).

Perincian ini memberikan penampilan yang premium dan elegan, manakala profilnya yang nipis menjadikan Galaxy Tab S12+ kelihatan profesional.

Bercakap mengenai pilihan warna, Samsung Galaxy Tab S12+ hadir didalam dua pilihan warna iaitu Grey dan Silver. Untuk unit ulasan yang  kami terima adalah warna Grey, yang memberikan penampilan lebih neutral dan profesional. Warna ini sesuai untuk pengguna yang menggemari gaya ringkas serta mudah dipadankan dengan aksesori seperti Book Cover Keyboard Slim.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 3

Dari segi ketahanan, Samsung Galaxy Tab S12+ mempunyai pensijilan IP68, yang memberikan perlindungan terhadap habuk dan air. Ini bermaksud, tablet ini boleh bertahan apabila direndam dalam air tawar sedalam sehingga 1.5 meter selama maksimum 30 minit.

Untuk kedudukan butang, Galaxy Tab S12+ mengekalkan susun atur yang ringkas pada bingkai sisi yang nipis. Butang kuasa dan kawalan kelantangan diletakkan pada bahagian sisi tablet, manakala port USB-C terletak di bahagian bawah untuk pengecasan dan pemindahan data.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 4

Bagi audio pula, Galaxy Tab S12+ dilengkapi sistem empat pembesar suara (quad speakers) dengan sokongan 4-channel Spatial Audio. Sistem ini direka untuk menghasilkan bunyi yang lebih menyeluruh dan imersif.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 5

Untuk pengetahuan, apabila dipadankan dengan Book Cover Keyboard Slim dan S Pen, berat keseluruhan Galaxy Tab S12+ meningkat kepada sekitar 917g namun kombinasi ini menawarkan setup yang lebih praktikal untuk menaip dokumen, menyiapkan tugasan dan melakukan kerja produktiviti ketika berada di luar pejabat.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 6
Skrin Paparan

Samsung Galaxy Tab S12+ hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 12.6-inci dengan resolusi WQXGA+ (2,800 × 1,752 piksel) dan kadar segar semula 120Hz. Ianya merupakan panel AMOLED paling cerah yang pernah digunakan oleh Samsung.

Saiz skrin 12.6-inci boleh dikatakan sebagai saiz  ideal yang memberikan ruang untuk pengguna melakukan pelbagai kerja tanpa mengorbankan aspek ergonomik yang termasuk menguruskan dokumen, membuka lebih dari satu aplikasi dalam mod multi window, mencatat nota dengan S Pen, menyunting gambar dan menonton kandungan video.

Selain itu, panel Dynamic AMOLED 2X yang digunakan juga membantu menghasilkan warna hitam yang lebih pekat dan kontras yang tinggi, sekali gus menjadikan kandungan multimedia kelihatan lebih menarik. Bagi pengguna yang gemar melakukan multitasking, paparan besar ini turut memudahkan penggunaan dua aplikasi secara serentak tanpa setiap tetingkap terasa terlalu sempit.

Dari segi kecerahan, skrin ini menyokong kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, manakala mod High Brightness Mode (HBM) menawarkan sehingga 1,000 nits. Samsung turut menyertakan ciri Seamless Vision Booster yang melaraskan kecerahan dan kontras mengikut keadaan pencahayaan persekitaran. Ciri ini membantu memastikan kandungan pada skrin kekal jelas apabila tablet digunakan di tempat yang terang, termasuk ketika bekerja berhampiran tingkap atau di luar bangunan.

Satu lagi aspek yang perlu disebut adalah saiz bezel yang mengelilingi skrin. Saiz bezel yang dimiliki Galaxy Tab S12+ mempunyai ukuran 7.9mm, sedikit lebih nipis berbanding 8.1mm pada Galaxy Tab S10+(memandangkan tiada model Galaxy Tab S11+). Pengurangan saiz bezel ini juga hadir dengan peningkatan saiz paparan dari 12.4-inci kepada 12.6-inci, memberikan bahagian hadapan yang lebih luas tanpa mengurangkan aspek ergonomik tablet tablet ini.

Secara keseluruhannya, skrin paparan AMOLED Samsung Galaxy Tab S12+ merupakan antara tarikan utama tablet ini. Gabungan resolusi yang tinggi, kadar segar semula 120Hz dan kadar kecerahan tertinggi yang pernah ditawarkan menjadikannya sesuai untuk hiburan serta produktiviti. Sama ada digunakan untuk menonton filem, membaca, menyunting kandungan atau bekerja dengan beberapa aplikasi, paparan ini menawarkan pengalaman visual yang menarik dan praktikal untuk kegunaan harian.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 7
Screenshot

Pemproses

Samsung Galaxy Tab S12+ dikuasakan oleh pemproses flagship MediaTek Dimensity 9500 yang dibina menggunakan proses fabrikasi 3nm. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.0 berkapasiti 256GB bagi memberikan prestasi pantas untuk tugasan harian, multitasking dan kerja kreatif.

Berbanding generasi sebelumnya, pemproses ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 67% pada CPU, 48% pada GPU dan 141% pada NPU. Peningkatan tersebut membantu mempercepatkan pemprosesan aplikasi, meningkatkan keupayaan grafik serta menyokong pelbagai tugasan berasaskan AI dengan lebih cekap.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 8

Dari segi produktiviti, Galaxy Tab S12+ menjalankan Android 17 dengan antaramuka One UI 9 yang dioptimumkan untuk penggunaan tablet. Pengguna boleh menjalankan beberapa aplikasi secara serentak melalui Multi Window, split-screen dan pop-up windows. Samsung DeX turut membolehkan tablet ini menawarkan pengalaman kerja seperti desktop, dengan aplikasi yang boleh dibuka dalam tetingkap berasingan dan disusun mengikut keperluan.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 9

 

Antara tarikan utama tablet ini ialah integrasi Galaxy AI yang menawarkan pelbagai fungsi untuk memudahkan kerja harian. Antaranya ialah Circle to Search, yang membolehkan pengguna mencari maklumat tentang teks atau objek pada skrin hanya dengan melingkar atau menandakan kandungan berkenaan tanpa perlu meninggalkan aplikasi yang sedang digunakan.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 10

Bagi urusan penulisan dan pencatatan, Note Assist pada Samsung Notes membantu meningkatkan produktiviti kerja dengan menyusun dan menambah baik nota anda.

Ianya boleh menstruktur semula nota anda dengan melakukan :

  • Autoformat nota dengan pengepala, titik tumpu dan perenggan.
  • Ringkaskan nota
  • Menyalin dan meringkaskan rakaman suara.
  • Auto jana penutup berdasarkan kandungan nota.
  • Ejaan dan tatabahasa yang betul.
  • Terjemah teks dalam nota anda.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 11

Sementara itu, Writing Assist membantu pengguna memperbaiki penulisan melalui cadangan gaya bahasa serta pembetulan teks, menjadikannya berguna untuk menyediakan dokumen, tugasan atau kandungan kerja.

Untuk mesej dan aplikasi berkaitan, Writing Assist juga menawarkan tiga ciri menarik yang boleh digunakan pada aplikasi permesejan, emel dan banyak lagi.

  • Writing Style – membantu menyempurnakan nada perbualan untuk memastikan komunikasi kedengaran seperti yang diinginkan: seperti sapaan sopan kepada rakan sekerja ataupun frasa pendek yang menarik untuk kapsyen media sosial.
  • Spelling Grammar – Galaxy AI akan menyemak ejaan setiap perkataan yang di taip dan membetulkanya jika anda perubahan.
  • Composer – membolehkan anda menggubal ayat sempurna dengan hanya memberikan beberapa kata kunci. Ianya boleh digunakan pada aplikasi Message, Mail dan media sosial. Anda boleh memilih tona dan gaya teks yang dicadangkan.

Anda juga boleh membuat ringkasan penulisan yang panjang kepada ‘bullet points’ atau jadual yang memudahkan pengguna.

Beralih kepada ciri Now Brief yang memaparkan ringkasan maklumat peribadi berdasarkan sumber dan kandungan yang dipilih pengguna. Dengan sokongan Custom Cards, pengguna boleh menyesuaikan maklumat yang ingin dipaparkan, termasuk kandungan berkaitan cuaca, kesihatan dan video, supaya lebih relevan dengan rutin harian mereka.

Satu lagi ciri yang menarik ialah Now Nudge, yang memberikan cadangan tindakan berdasarkan konteks penggunaan. Sebagai contoh, apabila pengguna mahu menambah acara ke dalam kalendar, ciri ini boleh membantu memudahkan proses tersebut dengan membuka Calendar dalam paparan split-screen. Ini membolehkan pengguna meneruskan tugasan tanpa perlu berulang kali bertukar antara aplikasi.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 12

Untuk tugasan kreatif pula, Creative Studio membolehkan pengguna menukar lakaran ringkas atau arahan teks kepada karya grafik berdasarkan gaya yang dikehendaki. Ciri ini sesuai untuk menghasilkan ilustrasi, idea visual dan bahan kreatif tanpa perlu memulakan semuanya dari kosong.

Pengguna juga boleh mengakses pelbagai pintasan S Pen seperti Drawing Assist, AI Select, Create Note dan Screen Write untuk memudahkan proses mencatat, memilih kandungan serta membuat anotasi pada skrin.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 13
Lebih lanjut, Samsung Galaxy Tab S12+ turut menjadi antara tablet Android pertama yang hadir dengan
Adobe Photoshop yang diprapasang, sekali gus memberikan kelebihan kepada pengguna yang sering melakukan kerja kreatif. Aplikasi ini dioptimumkan untuk paparan tablet dan menyokong penggunaan S Pen bagi memudahkan penyuntingan gambar, penghasilan rekaan grafik serta kerja yang memerlukan ketepatan lebih tinggi. Setiap pembelian Galaxy Tab S12+ juga layak menikmati langganan Adobe Photoshop Premium untuk empat bulan secara percuma

Selain Galaxy AI, Galaxy Tab S12+ turut menyokong Google Gemini yang boleh digunakan untuk menjawab pertanyaan, membantu penulisan, menjana imej dan meneroka idea baharu. Integrasi ini memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu memanfaatkan AI untuk pembelajaran, penyelidikan atau kerja kreatif.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 14

Pembelian tablet flagship Galaxy Tab S12 Series ini juga turut disertakan dengan percubaan Google AI Pro selama enam bulan, yang menawarkan akses diperluas kepada Gemini Notebook. Pengguna boleh memuat naik bahan rujukan seperti PDF, pembentangan, laman web, imej dan rakaman suara sebelum mengajukan soalan berdasarkan sumber tersebut. Bahan berkenaan juga boleh ditukarkan kepada Audio Overviews, Slide Decks, Flashcards, Video Overviews dan Quizzes dalam beberapa langkah, menjadikannya berguna untuk mengulang kaji pelajaran atau menyusun maklumat bagi sesuatu projek.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 15

One Connected Experience

Samsung Galaxy Tab S12+ turut menawarkan ciri One Connected Experience yang membolehkan tablet ini berhubung dengan lebih lancar bersama peranti lain dalam ekosistem Samsung Galaxy seperti telefon pintar, Galaxy Buds dan Galaxy Watch.

Melalui ciri seperti Multi Control, pengguna boleh mengawal tablet dan telefon pintar Galaxy yang serasi menggunakan satu papan kekunci dan tetikus. Selain itu, Quick Share memudahkan perkongsian gambar, video dan dokumen antara peranti, manakala fungsi Second Screen membolehkan Galaxy Tab S12+ digunakan sebagai skrin tambahan untuk komputer Windows yang serasi.

Kesemua ciri ini menjadikan Galaxy Tab S12+ lebih praktikal, khususnya bagi pengguna yang sudah memiliki beberapa peranti Samsung Galaxy kerana mereka boleh bertukar antara peranti dengan lebih mudah tanpa mengganggu aliran kerja.

Selain itu, ciri Auto Hotspot membolehkan tablet menggunakan sambungan internet daripada telefon Galaxy yang serasi dengan lebih mudah, manakala Samsung Notes menyokong penyegerakan nota antara peranti.

Dalam pada itu, bagi membantu mengekalkan prestasi ketika menjalankan tugasan berat, Samsung melengkapkan Galaxy Tab S12+ dengan sistem penyejukan 3D Vapor Chamber yang dinaik taraf. Sistem ini direka untuk melesapkan haba dengan lebih efektif ketika pengguna melakukan tugas yang memerlukan peranti mengerah prestasi maksima dari cipset seperti menyunting video beresolusi tinggi, mengendalikan aplikasi yang intensif atau bermain permainan dalam tempoh panjang.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 16

Dalam pada itu, Samsung Galaxy Tab S12+ turut hadir dengan sokongan sehingga 7 generasi OS upgradeserta 7 tahun Security update, memastikan tablet ini menerima kemas kini sistem operasi dan perlindungan keselamatan untuk tempoh yang panjang.

Secara keseluruhannya, gabungan cip Dimensity 9500, RAM 12GB, storan UFS 4.0 dan Galaxy AI menjadikan Galaxy Tab S12+ lebih daripada sekadar tablet untuk hiburan. Keupayaan multitasking, sokongan S Pen, Samsung DeX dan pelbagai fungsi AI memberikan fleksibiliti untuk bekerja, belajar serta menghasilkan kandungan dalam satu peranti. Prestasi sebenar bagi setiap ciri AI mungkin berbeza mengikut aplikasi, sambungan internet, bahasa dan ketersediaan ciri di pasaran.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 17

Bateri

Samsung Galaxy Tab S12+ hadir dengan bateri berkapasiti 10,600mAh yang mampu memberikan anda lebih banyak masa untuk melakukan pelbagai aktiviti, termasuk melayari web, menonton video, membaca dokumen serta melakukan tugasan produktiviti tanpa perlu terlalu kerap melakukan pengecasan.

Dengan kombinasi cipset yang sangat cekap tenaga, Samsung Galaxy Tab S12+ mampu menawarkan sehingga 21 jam main balik video dalam satu pengecasan.

Dalam pada itu, tablet premium Galaxy Tab ini juga menyokong 45W Super Fast Charging, dengan masa pengecasan dari 0% hingga 100% dianggarkan sekitar 95 minit menggunakan adapter yang sesuai namun adapter 45W tersebut dijual secara berasingan.

Secara keseluruhannya, kapasiti bateri yang besar dan sokongan pengecasan pantas menjadikan Galaxy Tab S12+ sesuai untuk pengguna yang memerlukan tablet bagi kerja, pembelajaran dan hiburan sepanjang hari.

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 18

Penutup

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Tab S12+ merupakan sebuah tablet premium yang menawarkan keseimbangan antara reka bentuk, prestasi dan produktiviti. Dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 12.6-inci, reka bentuk yang nipis serta S Pen dan Smart Keyboard percuma , tablet ini bukan sahaja sesuai untuk tujuan hiburan, malah mampu menjadi peranti kerja harian yang praktikal.

Selain itu, penawaran Galaxy AI, sokongan Samsung DeX dan aplikasi Adobe Photoshop turut memberikan nilai tambah, khususnya kepada pengguna yang kerap melakukan tugasan multitasking, menyunting gambar atau menghasilkan kandungan kreatif. Ditambah pula dengan bateri berkapasiti 10,600mAh, Galaxy Tab S12+ menawarkan pakej yang cukup lengkap untuk kegunaan seharian.

Walaupun harganya berada dalam kategori premium, Samsung Galaxy Tab S12+ boleh menjadi pilihan menarik buat pengguna yang mahukan sebuah tablet Android dengan skrin terbaik, prestasi berkuasa dan ciri produktiviti yang menyeluruh tanpa perlu memilih model Ultra yang lebih besar.

Samsung Galaxy Tab S12+ telah mula dijual secara rasmi di Malaysia pada 7 Oktober 2026 dengan dua pilihan warna iaitu Gray dan Silver. Harga rasmi bagi konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB adalah seperti berikut:

Samsung Galaxy Tab S12+ Wi-Fi: RM4,999

Samsung Galaxy Tab S12+ 5G: RM5,649

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S12+ – Pilihan Ideal Untuk Kerja dan Hiburan? 19

Sempena promosi pelancaran yang berlangsung sehingga 8 November 2026, Samsung turut menawarkan pelbagai ganjaran dan rebat terpilih kepada pembeli yang layak.

Dapatkan Samsung Galaxy Tab S12+ di Samsung Malaysia Online Store atau Samsung Experince Store berhampiran anda.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.