HONOR Robot Phone kini rasmi dengan dua sensor 200MP bersama gimbal terbina

HONOR secara rasminya telah memperkenalkan HONOR Robot Phone, sebuah telefon pintar flagship yang tampil berbeza daripada kebanyakan peranti lain menerusi sistem kamera gimbal terbina dalam pada bahagian belakangnya.
Menurut Honor, pembangunan mekanisme gimbal ini melibatkan lebih 60 proses pembuatan serta lebih 100 komponen berketepatan tinggi. Sistem tersebut turut dilindungi lebih 100 paten dan dikatakan sebagai antara sistem gimbal 4D paling kecil dalam industri, dengan saiz sekitar 65% lebih kecil berbanding gimbal konvensional seperti yang digunakan pada peranti mudah alih.
Menariknya, motor gimbal diperbuat daripada titanium dan hanya seberat 2.6 gram dengan ketebalan kira-kira 6mm. Keseluruhan mekanisme pula berjaya dimuatkan ke dalam badan telefon setebal 9.6mm, walaupun berat keseluruhan peranti mencapai 248 gram.
Kamera utama gimbal ini adalah sensor 1/1.28-inci beresolusi 200MP dengan aperture f/1.6. Ia menyokong rakaman sehingga 4K dan dilengkapi cip pemprosesan imej H1 milik Honor.
Selain itu, kamera ini juga boleh dikawal menggunakan arahan suara, termasuk mengubah arah gimbal atau meminta kamera memberi fokus kepada subjek tertentu. Untuk kandungan seperti vlog, livestream dan panggilan video, sistem AI pula boleh mengekalkan subjek dalam bingkai secara automatik melalui fungsi penjejakan masa nyata.
Lebih menarik, mekanisme gimbal itu bukan sekadar digunakan untuk menghasilkan rakaman yang lebih stabil. Honor menjadikannya sebahagian daripada pengalaman AI telefon menerusi pembantu Yoyo. Kamera boleh bergerak, memerhati persekitaran dan memberikan reaksi tertentu.
Honor mendakwa terdapat lebih 100 jenis ekspresi dan pergerakan, termasuk mengangguk, menjenguk serta menari mengikut muzik.
Robot Phone turut menjadi produk pertama hasil kerjasama Honor dengan ARRI, jenama peralatan sinema terkenal dari Jerman.
Telefon ini menyokong rakaman Log-C3, LUT color grading yang boleh diproses terus pada peranti serta mod sinema khas yang cuba memberikan karakter visual seakan kamera sinema ARRI.
Selain kamera gimbal, sistem fotografi belakangnya turut merangkumi kamera telefoto periskop 200MP dengan sensor 1/1.4-inci dan zum optikal 2.7x. Kamera ultralebar 50MP pula boleh digunakan untuk fotografi makro.
Dalam pada itu, HONOR Robot Phone juga hadir dengan skrin LTPO OLED berukuran 6.3-inci dengan resolusi 2,640 × 1,216 piksel serta kadar penyegaran adaptif 1Hz hingga 120Hz. Tahap kecerahan mencecah 6,800 nits dan HONOR turut menggunakan lapisan AR anti-reflektif untuk mengurangkan pantulan cahaya.
Dari segi prestasi, ia dikuasakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama sehingga 16GB RAM dan storan 1TB. Peranti menjalankan MagicOS 10 berasaskan Android 16.
Ia turut memiliki bateri berkapasiti 7,060mAh dengan teknologi silikon-karbon (Si-C) bersama sokongan pengecasan pantas 120W dan pengecasan tanpa wayar 50W.
HONOR Robot Phone akan ditawarkan dalam pilihan warna iaitu Silver dan Gray. Di China, versi 12GB/512GB akan ditawarkan pada harga CNY 9,999 (sekitar RM6,059), manakala versi 16GB/1TB pula ditawarkan pada harga CNY 12,999 (sekitar RM7,877).
Jualan rasmi di China akan bermula pada 18 Ogos 2026. Buat masa ini, HONOR belum mengesahkan sama ada Robot Phone akan diperkenalkan ke pasaran antarabangsa.






