ULASAN : TechLife Pad Plus 2 – tablet bajet yang sesuai untuk hiburan dan kerja ringan
Pengenalan
TechLife merupakan sebuah syarikat teknologi gaya hidup yang berdedikasi untuk membantu semua orang menjalani kehidupan yang lebih pintar. Daripada gajet peribadi dan peranti mudah alih kepada peralatan rumah pintar serta produk audio, TechLife menawarkan pelbagai jenis peranti yang saling berhubung, direka untuk memudahkan kehidupan seharian dengan menekankan aspek inovasi, kegunaan dan kemampuan milik.
Berpegang kepada idea bahawa teknologi seharusnya mempertingkatkan kehidupan, bukannya menjadikannya lebih rumit, TechLife menghasilkan produk yang menggabungkan reka bentuk moden, fungsi yang boleh dipercayai serta antara muka pengguna yang mudah digunakan.
Terbaru, TechLife telah melancarkan produk baharu yang direka untuk meningkatkan pengalaman digital harian pengguna iaitu TechLife Pad Plus 2 bersama-sama TechLife Smart Watch L2 dan TechLife Wireless Earbuds+ 2.
Tablet memiliki populariti yang sangat tinggi kerana ianya dilihat lebih mudah berbanding komputer riba samada untuk hiburan atau kerja pejabat ringan yang boleh diselesaikan didalam perjalanan.
Sehubungan dengan itu, pelancaran tablet TechLife Pad Plus 2 LTE bagi pasaran tempatan dilihat memberikan satu lagi alternatif kepada pengguna dan ini adalah ulasan tablet yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 899 sahaja.
Reka Bentuk
TechLife Pad Plus 2 LTE hadir dengan rekaan yang ringkas tetapi nampak lebih premium berbanding kebanyakan tablet bajet. Fokus utama tablet ini ialah memberikan pengalaman skrin besar dalam profil yang masih selesa dibawa untuk kegunaan harian.
Selain itu, tablet ini tampil dengan kemasan yang berasaskan logam yang lebih kukuh apabila dipegang. Walaupun mempunyai skrin bersaiz 12-inci, ianya masih nipis dengan ketebalan sekitar 7.6mm, menjadikannya tidak terlalu besar atau berat untuk kategori tablet bersaiz besar.
Bahagian belakang tampil dengan gaya minimalis dengan kemasan anti cap jari yang menjadikanya sentiasa kelihatan premium dan sesuai digunakan dalam pelbagai situasi sama ada untuk kerja, pembelajaran atau hiburan.
Dari segi pilihan warna TechLife Pad Plus 2 LTE hadir dengan dua pilihan warna iaitu Storm Grey, dan Moonlight Silver .
Salah satu tarikan utama pada bahagian reka bentuk ialah penggunaan skrin 12.0-inci dengan bezel yang agak kemas, memberikan ruang paparan luas untuk menonton video, membaca dokumen atau melakukan tugasan ringan. Saiz ini membuatkan pengalaman penggunaan lebih hampir kepada komputer mini berbanding tablet kecil biasa.
Secara keseluruhan, reka bentuk TechLife Pad Plus 2 lebih menonjolkan konsep tablet yang praktikal bukan sekadar nampak cantik, namun direka untuk pengguna yang mahukan skrin luas, binaan solid dan kemudahan LTE dalam satu peranti.
Skrin Paparan
SoTechLife Pad Plus 2 hadir dengan panel IPS TFT berukuran 12.0-inci yang menawarkan resolusi 2000 x 1200 piksel (FHD+), menjadikan paparan lebih tajam ketika menonton video, membaca dokumen, melayari web atau melakukan tugasan berbilang aplikasi.
Penggunaan panel IPS TFT turut memberikan kelebihan dari segi sudut pandangan yang lebih baik. Saiznya yang besar dengan nisbah aspek 5:3 juga lebih praktikal untuk kerja harian kerana memberikan kawasan paparan yang lebih tinggi berbanding tablet biasa, sesuai untuk membaca, membuat nota atau melihat beberapa kandungan dalam satu masa.
Selain itu, TechLife Pad Plus 2 turut menyokong kadar segar semula 90Hz yang membantu memberikan pengalaman visual yang lebih lancar. Pergerakan ketika menatal laman web, bertukar aplikasi dan animasi antaramuka kelihatan lebih responsif berbanding panel standard 60Hz .
Dari segi kecerahan pula, panel ini mampu mencapai kecerahan maksimum 450 nits, yang memadai untuk penggunaan dalam rumah seperti menonton Netflix, membaca atau bekerja, namun apabila digunakan di bawah cahaya matahari terus, paparan mungkin tidak cukup terang.
Secara keseluruhan, skrin TechLife Pad Plus 2 lebih memfokuskan kepada pengalaman penggunaan yang selesa untuk hiburan dan produktiviti. Gabungan panel IPS TFT, saiz 12 inci, resolusi 2K serta refresh rate 90Hz menjadikannya satu pilihan menarik bagi pengguna yang mahukan tablet dengan paparan yang premium.
Untuk memberikan anda pengalaman yang lebih imersif, TechLife Pad Plus 2 juga memiliki sistem quad speaker untuk pengalaman audio yang luar biasa.
Pemproses
TechLife Pad Plus 2 hadir dengan cip MediaTek Helio G100, sebuah cip yang menawarkan prestasi seimbang untuk kegunaan harian, hiburan dan tugasan produktiviti.
Berdasarkan ujian prestasi, cip ini mencatatkan skor AnTuTu sekitar 520,397 mata, menunjukkan keupayaannya dalam mengendalikan pelbagai tugasan dengan lebih responsif, termasuk penggunaan aplikasi harian, penstriman video, pelayaran web serta permainan mudah alih.
Dalam pada itu, tablet ini juga dilengkapi dengan 4GB RAM fizikal bersama 4GB RAM Extension, yang membantu meningkatkan keupayaan multitugas apabila pengguna menjalankan beberapa aplikasi pada masa yang sama.
Seterusnya, TechLife Pad Plus 2 juga tampil demgan 128GB storan dalaman, memberikan ruang yang mencukupi bagi menyimpan aplikasi, fail kerja, gambar, video serta bahan pembelajaran. Kapasiti ini menjadikannya lebih praktikal untuk pengguna yang menggunakan tablet sebagai peranti utama untuk aktiviti harian.
Bukan sekadar menawarkan kuasa pemprosesan, tablet ini turut dilengkapi ciri pintar yang memaksimumkan pengalaman penggunaan skrin besar. Fungsi Split-Screen membolehkan dua aplikasi digunakan secara serentak, seperti membuat nota sambil menonton video rujukan.
Selain itu, sokongan Picture-in-Picture (PiP) membolehkan video terus dimainkan dalam tetingkap kecil ketika pengguna melakukan tugasan lain. Fungsi Screen Cast juga memberikan kemudahan untuk berkongsi paparan tablet ke skrin lebih besar, sesuai untuk pembentangan, pembelajaran atau menikmati kandungan multimedia.
Tidak lupa juga, TechLife Pad Plus 2 juga hadir dengan sokongan 4G LTE walaupun berada dalam kategori tablet mampu milik dan ini membolehkan pengguna tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada WiFi untuk kekal berhubung. Dengan memasukkan kad SIM, tablet ini boleh digunakan untuk mengakses internet ketika berada di luar rumah, memudahkan kerja, pembelajaran atas talian, navigasi atau hiburan ketika dalam perjalanan.
Bateri
TechLife Pad Plus 2 dilengkapi bateri berkapasiti 9000mAh yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang banyak menggunakan tablet untuk hiburan, pembelajaran dan produktiviti harian.
Dengan bateri sebesar ini, TechLife Pad Plus 2 mampu menyokong sehingga sekitar 13 jam penstriman video, sehingga 52 hari dalam keadaan standby, serta penggunaan campuran sehingga sekitar 17 jam.
Ia juga melengkapkan kelebihan skrin 12.0-inci 2K dan sistem pembesar suara stereo quad, kerana pengguna boleh menikmati kandungan multimedia lebih lama tanpa gangguan.
Dari segi pengecasan, TechLife Pad Plus 2 menyokong 18W Fast Charging yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan tempoh menunggu apabila pengguna perlu mengecas peranti . Ia turut hadir dengan 5W Reverse Charging, membolehkan TechLife Pad Plus 2 berkongsi kuasa kepada peranti lain seperti fon telinga atau telefon pintar ketika diperlukan.
Penutup
Secara keseluruhan, TechLife Pad Plus 2 merupakan sebuah tablet yang menawarkan gabungan ciri menarik pada kelas harganya.
Walaupun ia bukan tablet yang menyasarkan prestasi ekstrem untuk pengguna profesional atau permainan bergrafik tinggi , TechLife Pad Plus 2 tampil dengan pakej yang seimbang dengan kelebihan pada skrin besar, bateri tahan lama, ciri multitugas dan pengalaman multimedia. Ia sesuai untuk pelajar, pekerja, pencipta kandungan ringan serta pengguna yang mahukan tablet serba boleh dengan nilai yang berbaloi.
Dapatkan TechLife Pad Plus 2 pada harga RM 899 (RRP) sahaja.








