ULASAN : Google Pixel 9a – Entry Point termurah ke ekosistem Google

Pengenalan
Google Pixel A Series adalah siri telefon pintar paling mampu milik daripada syarikat ini dan iterasi kali ini menyaksikan pelancaran Google Pixel 9a yang kini ditawarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM 2,699.
Sebagai telefon pintar paling berpatutan, Pixel 9a tidak membawakan perubahan yang ketara berbanding generasi sebelum ini namun masih banyak yang boleh diperkatakan mengenainya.
Selain itu, Pixel 9a kini memiliki reka bentuk lebih rata dan lebih serias dengan model Google Pixel 9 yang lain. Paparan yang digunakan kini lebih besar iaitu 6.3-inci dengan kecerahan puncak lebih tinggi namun Google dimensi telefon pintar ini adalah hampir seperti generasi sebelum ini.
Dalam pada itu, perkara amat mengagumkan adalah Google Pixel 9a mempunyai bateri terbesar yang pernah ditawarkan pada peranti Pixel setakat ini pada 5,100 mAh.
Kagum dengan Pixel 9a ini? , jom sambung baca ulasan Google Pixel 9 kami.
Reka Bentuk
Google Pixel 9a meneruskan tradisi syarikat ini untuk mewarisi rekaan telefon pintar flagship Pixel namun rekaan modul kamera Pixel 9a adalah berbeza.
Jika Pixel 9 Series menampilkan modul kamera ikonik Pixel yang telah dirampingkan, Pixel 9a membuang terus modul kamera ini dan ini memberikan kemasan modul kamera yang sangat rata dan ianya kelihatan sedikit pelik selepas sudah biasa melihat telefon pintar dengan bongol kamera.
Selain itu, panel skrin Pixel 9a kini adalah rata sepenuhnya manakala kerangka aluminium juga tampil dengan kemasan yang sangat uniform untuk menghasilkan sambungan yang sempurna dengan panel hadapan dan belakang.
Seterusnya, satu lagi perubahan adalah kedudukan pembesar suara yang kini pada bahagian kanan (bawah) dan bukanya kiri seperti pada kesemua telefon pintar Pixel.
Dalam pada itu, satu lagi yang mungkin mengambil masa untuk anda menyesuaikan diri jika anda beralih dari Android atau iPhone adalah kedudukan butang kuasa dan bunyi yang terbalik. Hampir setiap kali kami tersilap tekan butang kuasa ketika mahu meningkatkan kekuatan bunyi pembesar suara.
Beralih kepada warna, Google Pixel 9a ditawarkan didalam 4 pilihan warna iaitu Obsidian, Porcelain, Iris dan Peony. Kesemua telefon pintar ini menampilkan panel belakang yang matte namun perbezaan warna juga mempengaruhi samada kesan capjari kelihatan dengan ketara atau tidak.
Tidak lupa juga, Pixel 9a kini memiliki penarafan kalis air dan debu IP68, satu tahap lebih baik berbanding penarafan IP67 pada Pixel 8a.
Skrin Paparan
Google Pixel 9a hadir dengan skrin paparan pOLED berukuran 6.3-inci dengan resolusi FHD+ dan kepadatan piksel 422ppi. Ianya juga memiliki sokongan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan maksima sehingga 2,700nits. Ianya turut dilapisi gelas keselamatan Gorilla Glass 3 untuk perlindungan panel hadapan yang lebih menyeluruh.
Selain itu, seperti Google Pixel 9, Pixel 9a juga menawarkan kadar segar semula maksima sehingga 120Hz dan pada bahagian tetapan hanya terdapat pilihan untuk mengaktifkan mod Smooth yang memberikan pengguna tetapan automatik dimana sistem telefon pintar akan memilih kadar bingkai yang semula. Jika tidak diaktifkan, ianya akan beroperasi pada kadar 60Hz sepenuhnya.
Berdasarkan penggunaan kami, Pixel 9a mampu memberikan kadar bingkai 120fps pada kebanyakkan aplikasi dan UI namun pada gaming, hampir kesemuanya beroperasi pada kadar dibawah 60fps sahaja.
Dalam pada itu, Google Pixel 9a juga menawarkan sokongan HDR namun syarikat ini tidak mendedahkan apakah jenis yang disokong dan tiada juga sokongan Dolby Atmos.
Pemproses
Pixel 9a dikuasakan oleh cip Tensor G4 yang sama yang seperti pada semha Pixel 9 Series. Ia disertakan dengan 8GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 128GB atau 256GB jenis UFS 3.1. Bagi pasaran Malaysia, Pixel 9a ditawarkan didalam dua versi 128GB dan 256GB.
Pixel 9a didatangkan sistem operasi Android 15 dan sebagai peranti keluaran Google, ia adalah antara yang pertama untuk menerima kemaskini Android.
Salah satu faedah yang menonjol untuk memiliki Pixel ialah kemaskini dilancarkan secara serentak pada kesemua model tidak seperti jenama Android lain yang mana model bajet sering dipinggirkan. Ini bermakna Pixel 9a akan menerima kemas kini yang sama pada masa yang sama dengan Pixel 9 Series yang lain. Selain itu, Google telah komited untuk menawarkan sehingga tujuh tahun kemaskini perisian bagi Pixel 9a.
Seterusnya, Pengalaman Android pada Pixel 9a adalah seperti yang anda harapkan daripada telefon Google. Ia menawarkan antaramuka yang ‘bersih’ dan minimalis yang sinonim dengan gelaran “Stock Android .”
Lebih lanjut, Gemini menjadi tumpuan utama dalam siri Pixel 9, menawarkan bantuan berkuasa yang jauh melangkaui bantuan asas. Anda boleh membuat perbualan penuh dengan Gemini-sama ada anda sedang bercadang untuk temu duga, menjana topik esei atau hanya mencari idea makan malam berdasarkan foto kandungan peti sejuk anda. Ia pintar, responsif dan sangat membantu.
Sementara itu, Magic Editor pula berfungsi untuk mempertingkatkan foto anda dengan menghilangkan subjek atau objek yang tidak diingin atau mengubah latar belakang.
Tidak lupa juga ciri, Circle to Search yang boleh diaktifkan dengan menekan bar navigasi dan bulatkan apa sahaja di skrin untuk membuat carian serta-merta perkara yang anda cari-tanpa perlu mengambil screenshot atau membuka aplikasi lain.
Kamera
Google Pixel 9a memiliki dua sensor kamera dibahagian belakang dan ianya bukanlah sesuatu yang berada pada gred flagship dari segi perkakasan, namun diketahui umum bahawa kehebatan Google terletak pada perisian fotografi .
Google Pixel 9a memiliki satu sensor utama 48MP bersama sensor ultrawide fokus tetap 13MP. Di bahagian hadapan, terdapat swafoto 13MP. sensor utama yang digunakan adalah sensor baharu tahun ini, namun sensor ultrawide dan sensor selfie telah diwarisi daripada Pixel 8a .
Agak mengecewakan, Pixel 9a tidak mempunyai beberapa ciri kamera yang ditawarkan pada model Pixel yang lebih premium. Ianya tidak memiliki mod Pro, dan kawalan manual agak terhad, walaupun tangkapan imej RAW masih tersedia. Anehnya, sokongan untuk warna Paparan P3 dan rakaman video HDR telah digugurkan walaupun ianya tersedia pada Pixel 8a namun sokongan Ultra HDR untuk foto masih disertakan.
Bercakap mengenai kualiti gambar, sensor utama pada Pixel 9a dilihat mampu memberikan kualiti imej yang mengagumkan, dimana gambar yang terhasil adalah teliti dengan warna semula jadi walaupun pada keadaan pencahayaan yang berbeza. Ianya terbukti mampu memberikan hasil gambar yang boleh cukup baik secara konsisten.
Satu lagi aspek positif pada Pixel 9a ini adalah kemampuan fotografi dimana ianya menggunakan sensor utama 48MP dan hasil makro yang diperoleh ternyata sangat baik.
Dalam pada itu, sensor ultrawide juga mampu memberikan hasil yang kukuh dalam pencahayaan yang baik. Perincian dan warna kekal konsisten dengan sensor utama, tidak semua jenama lain mampu melakukanya. Walaubagaimanapun, kualiti imej yang terhasil adalah sedikit menurun terutamanya pada keadaan cahaya malap.
Lihat hasil gambar dari kamera Google Pixel 9a di sini :
Bateri
Google Pixel 9a memiliki kapasiti bateri terbesar pada Google Pixel Series iaitu 5,100mAh dan sensor T4 dilhat tidak begitu dahagakan kuasa.
Selain itu, Pixel 9a juga membawakan pengecasan pantas 23W USB-PD Charging dan pengecasan tanpa wayar 7.5W. Ianya mengambil masa sekitar 90 minit untuk mencapai pengecasan penuh.
Dalam pada itu, Pixel 9a juga membawakan beberapa ciri perlindungan bateri dibawah tetapan Charging Optimisation dimana tetapan Adaptive memastikan bateri hanya dicaj penuh sebelum anda mencabut kable pengecasan namun terdapat juga had pengecasan 80% yang memastikan bateri kekal pada tahap baik untuk tempoh lebih lama.
Penutup
Google Pixel 9a adalah model pertama Google Pixel A Series yang ditawarkan di Malaysia dan ianya tampil pada harga yang lebih kurang setaraf dengan kebanyakkan telefon pintar kelas midrange lain dipasaran.
Memandangkan pasaran midrange adalah pasaran yang sangat kompetitif, Google Pixel 9a berdepan cabaran yang sengit daripada pengeluar Android yang lain. Jika anda ingin mencuba ekosistem Google, Pixel 9a mungkin adalah pilihan terbaik namun anda terpaksa mengorbankan pelbagai aspek lain yang ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif seperti sistem kamera lebih berkemampuan dan rekaan lebih premium.
Google Pixel 9a kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 2,699.