Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR Magic6 Pro – Magic terbaru HONOR yang patut diberi perhatian

Honor Magic6 Pro Malaysia

Pengenalan

Tahun 2024 telah menyaksikan kebanyakkan pengeluar telefon pintar terkemuka memperkenalkan model telefon pintar flagship mereka lebih awal dan setakat ini kita telah menyaksikan pelancaran Samsung Galaxy S24 Series, Xiaomi 14 Series, Vivo X100 Series dan banyak lagi.

Walaubagaimanapun, HONOR boleh dikatakan telah mengekalkan corak pelancaran telefon pintar flagship mereka seperti tahun lalu dengan pelancaran global di Mobile World Congress 2024 baru-baru ini.

Model flagship HONOR yang kami perkatakan ini adalah HONOR Magic6 Series namun ianya boleh dispesifikan sebagai Magic6 Pro kerana buat masa ini masih belum ada sebarang tanda-tanda Magic6 akan dilancarkan untuk pengguna antarabangsa.

Tahun ini, HONOR Magic6 Pro mempertaruhkan beberapa ciri baharu yang didakwa akan menyingkirkan ‘pain point’ pengguna telefon pintar dari segi skrin, bateri, kamera dan antaramuka. Ini membolehkan HONOR Magic6 Pro menjadi telefon pintar pertama dipasaran untuk menerima 5 DxOMark Gold Label.

Memandangkan anda sudah membaca artikel ini, pasti anda maklum bahawa ini adalah ulasan HONOR Magic6 Pro dan telefon pintar ini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Mac dengan harga jualan RM 4,499.

Reka Bentuk

Memandangkan ini bukan kali pertama kami membuat ulasan telefon pintar flagship HONOR, terdapat banyak persamaan apabila membandingkan HONOR Magic6 Pro dengan Magic5 Pro.

Modul kamera HONOR Magic Series boleh dikatakan biasanya tampil dengan rekaan modul kamera yang sangat ‘besar’ dan Magic6 Pro juga tidak terkecuali.

Walaubagaimanapun, modul kamera Magic6 Pro kini tampil dengan gelung keluli didalam kemasan rose gold yang berbeza dengan tema warna Epi Green pada unit ulasan kami.

Dalam pada itu, kemasan pada potongan sekililing sensor juga tampil unik dengan corak bergaris yang memantulkan cahaya menambahkan lagi nilai premium telefon pintar ini.

Seterusnya, HONOR juga telah menggunakan kemasan kulit faux yang sangat lembut untuk disentuh dan ianya juga mempunyai sifat anti-capjari. Magic6 Pro mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar apabila dibandingkan dengan Magic5 Pro iaitu ketebalan 8.9mm dengan berat 225 gram yang mana ianya adalah peningkatan sebanyak 6 gram berbanding model sebelum ini namun anda perlu melihat kapasiti bateri yang ditawarkan sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada bahagian sisi kanan, HONOR Magic6 Pro mempunyai butang kuasa dan butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C, satu mikrofon dan gril pembesar suara yang mana ianya sama seperti pada Magic5 Pro.

Seterusnya, pada bahagian atas terdapat gril pembesar suara, satu mikrofon dan IR blaster.

Bercakap mengenai panel hadapan, ianya tampil dengan reka bentuk skrin quad curved yang melengkung pada  sisi tepi dengan bezel yang sangat nipis dan terdapat potongan berbentuk pil  dibahagian tengah untuk  kamera selfie dan sensor 3D Depth yang memberikan pengguna sistem keselamatan biometrik wajah yang lebih selamat.

Dalam pada itu, HONOR Magic6 Pro juga mempunyai pensijilan kalis air dan habuk IP68 yang meletakkanya setaraf dengan pengeluar telefon pintar flagship lain dipasaran.

Lebih lanjut tentang skrin paparan HONOR Magic6 Pro ini di bahagian seterusnya yang kini tampil dengan lapisan gelas keselamatan yang 10x ganda lebih rintangan jatuh berbanding generasi sebelum ini.

Skrin Paparan

HONOR Magic6 Pro tampil dengan skrin paparan LTPO AMOLED berukuran 6.8-inci dan ianya merupakan panel skrin yang menyokong lebih dari 1.07 bilion warna dan kadar segar semula 120Hz.

Walaupun kebanyakkan pengeluar telefon pintar telah beralih kepada paparan flat, HONOR dilihat masih mahu mengekalkan penggunaan panel yang melengkung pada sisi yang dikenali sebagai Quad-Curved Floating Screen.

Selain itu, Panel skrin Magic6 Pro ini juga masih kekal pada resolusi FHD+ yang mana bagi  ianya mungkin dilihat sebagai satu kekurangan kerana kebanyakkan peranti flagship Android tampil dengan paparan yang menyokong resolusi yang lebih tinggi QHD+.

Walaubagaimanapun, panel skrin Magic6 Pro ini juga menyokong kadar segar semula Adaptive sehingga 120Hz, penarafan Dolby Vision, HDR Vivid dan kepadatan piksel 453ppi.

Paling mencuri tumpuan pada generasi kali ini adalah pengunaan lapisan gelas keselamatan HONOR NanoCyrstal Shield.

HONOR NanoCyrstal Shield

Kaca tahan lasak ini diperbuat daripada teknologi terkini dimana ketumpatan kristalnya adalah 50% lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya, dan rintangan jatuhnya adalah 10 kali lebih tinggi berbanding kaca biasa.

Seterusnya, NanoCrystal Shield yang digunakan pada Magic6 Pro juga telah menerima penarafan 5 bintang  SGS Glass Drop Resistance Ability selepas melalui pelbagai senario ujian yang menguji ketahanan kaca ini.

Selain kaca NanoCrystal Shield, paparan HONOR Magic6 Pro juga memiliki kadar PWM Dimming 4320Hz yang memberikan perlindungan maksima daripada cahaya biru dan kelesuan mata serta kecerahan maksima sehingga 5,000nits pada kandungan HDR.

Lebih lanjut, satu lagi ciri biometrik yang ditawarkan pada HONOR Magic6 Pro ini adalah face unlock yang menggunakan kamera 3D ToF yang bermaksud ianya lebih selamat berbanding penggunaan sensor kamera sahaja dan ianya turut berfungsi walaupun pada keadaan gelap gelita.

Bercakap mengenai kadar segar semula, HONOR Magic6 Pro menawarkan beberapa tetapan seperti Dynamic yang menawarkan kadar segar semula sehingga 120Hz mengikut kandungan, Standard yang menawarkan kadar segar semula 60Hz dan High yang menawarkan tetapan bingkai yang lebih agresif (sehingga 120Hz) untuk menawarkan visual yang lebih ‘smooth’.

Pemproses

HONOR Magic6 Pro dikuasakan cip flagship daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 3 seperti kebanyakkan telefon pintar premium Android dipasaran. Ianya adalah cip 4nm yang turut disertakan bersama GPU Adreno 750.

Bagi pasaran Malaysia, HONOR Magic6 Pro akan ditawarkan didalam versi 12/512GB yang mana ianya turut disertakan bersama ciri RAM Turbo yang menawarkan tambahan 8GB RAM maya untuk multitasking yang lebih lancar.

Memandangkan cipset kebanyakkan telefon pintar flagship dipasaran adalah sama, UI atau antaramuka adalah satu ciri dimana pengeluar boleh menawarkan ciri yang boleh menarik perhatian pengguna.

Magic Capsule pada Magic6 Pro

HONOR Magic6 Pro hadir dengan MagicOS 8.0 yang berasaskan Android 14 dan tampil dengan beberapa ciri baharu seperti Magic Capsule yang memaparkan notifikasi bagi muzik dan video yang dimainkan di sekeliling kamera selfie seperti Dynamic Island pada iPhone.

Hanya dengan menyentuh pada banner pemberitahuan di bahagian atas skrin akan membesarkan Magic Capsule, seterusnya memaparkan maklumat tambahan dan pilihan berkaitan. Ciri ini membolehkan pengguna mengakses maklumat penting tanpa perlu melayari beberapa aplikasi, sekaligus meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Satu lagi ciri menarik MagicOS 8.0 adalah Magic Portal yang merupakan ciri yang dikuasakan oleh AI bagi memahami mesej dan tingkah laku pengguna. Ciri ini mengubah tugas kompleks menjadi ringkas dengan hanya satu langkah.

Magic Portal membolehkan ada meleretkan apa sahaja imej atau teks yang dipaparkan pada skrin ke dalam portal ini dan gunakanya pada aplikasi yang dipra-tetap. Jika imej tersebut tidak boleh dipilih anda boleh lakukan screenshot.

Sebagai contoh, AI Magic Portal segera mengecam alamat dalam mesej teks dan membawa pengguna terus ke Google Maps untuk navigasi mudah. Bagi media sosial seperti TikTok dan Facebook, Magic Portal juga memudahkan akses dan perkongsian maklumat.

Dalam pada itu, Smart Folder pula membolehkan anda mencipta pintasan pantas ke aplikasi yang lebih spesifik tanpa perlu membuka aplikasi tersebut terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Magic6 Pro juga menjadi telefon pintar pertama untuk menawarkan fungsi always-on display ‘full screen’ namun terdapat juga pilihan untuk ‘partial screen’

Secara keseluruhan, HONOR Magic6 Pro menawarkan pengalaman lebih peribadi dan intuitif kepada pengguna dengan ciri seperti Magic Capsule dan Magic Portal yang membuktikan kuasa AI kini memainkan peranan lebih besar didalam semua aspek kehidupan.

Kamera

HONOR Magic6 Pro menampilkan kombinasi Tele-Falcon Camera yang sama namun telah ditambah baik secara keseluruhanya dari semua aspek dan telah merampas kedudukan pertama ujian kamera DxOMark dengan 158 mata.

Sensor utama Magic6 Pro ini adalah sensor utama 50MP yang memiliki aperture boleh ubah f/1.4 sehingga f/2.0 dan ianya turut memiliki OIS.

Bercakap mengenai imej yang terhasil, sensor utama Magic6 Pro memberikan  foto siang hari yang kelihatan cantik dan teliti, seperti pada model sebelumnya, tetapi dengan beberapa perbezaan seperti tahap ketajaman dan perincian.

Kelebihan sensor utama Magic6 Pro ini adalah kebolehan untuk memilih aperture yang anda mahu khususnya gambar jarak dekat namun pemilihan aperture hanya boleh dibuat melalui Pro mode pada aplikasi kamera.

Beralih kepada sensor yang paling mencuri tumpuan sejak pelancaran global Magic6 Pro ini iaitu sensor 180MP yang menawarkan pengguna 5x zoom optikal yang lebih jelas dan penuh kualiti. ciri ini adalah idaman jurugambar profesional bagi merakam gambar yang memberi impak pada acara sukan seperti bola sepak dengan ciri Motion Sensing Capture yang mengambil gambar secara automatik

Selain itu, sensor telefoto ini juga boleh digunakan untuk mengambil gambar makro iaitu pada jarak 2.5x zoom dan 5x zoom.

Berikut adalah contoh gambar pada kadar zoom 2.5x sehingga 10x zoom optikal :

______________________________________________

Dalam pada itu, HONOR Magic6 Pro juga memiliki sensor ultrawide 50MP yang menawarkan hasil gambar setaraf sensor utama yang mempunyai jarak FoV yang lebih lebar namun kualiti imej yang diambil adalah sangat baik tanpa terlalu banyak kekaburan pada bahagian tepi gambar.

Akhir sekali, kamera selfie HONOR Magic6 Pro ini adalah sensor 50MP yang mampu memberikan anda hasil selfie yang cukup memuaskan.

Tidak lupa, kesemua sensor ini juga menawarkan prestasi pengimejan yang baik pada waktu malam namun ianya sedikit kurang pada sensor ultrawide. Gambar malam dari sensor utama dan sensor telefoto adalah sangat memuaskan bagi kami.

Berikut adalah hasil gambar dari HONOR Magic6 Pro :

Bateri

HONOR Magic6 Pro dilengkapi bateri berkapasiti 5,600mAh yang mana ianya adalah peningkatan baik berbanding bateri 5,100mAh pada Magic5 Pro namun lebih mustahak adalah telefon pintar ini memiliki bateri yang paling besar didalam kelas nya mengatasi semua pencaba terdekat.

HONOR Magic6 Pro ini adalah bateri Karbon Silikon generasi kedua yang mampu menahan suhu rendah yang melampau dan berketumpatan tinggi. Bateri ini juga membolehkan penggunaan lebih lama tanpa perlu kerap mengecas peranti.

Selain itu, Ianya turut menyokong pengecasan pantas berwayar HONOR Wired SuperCharge 80W dan pengecasan HONOR Wireless SuperCharge 66W untuk mencapai pengecasan 100% dalam masa lebih kurang 40 minit sahaja.

Dalam pada itu, HONOR juga menyertakan cip E1 iaitu cipset khas pengurusan bateri untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

Selain itu, bateri Karbon Silikon yang digunakan pada Magic6 Pro ini juga masih boleh beroperasi walaupun pada suhu -20 °C,  malah ianya masih boleh merakam video selama 11 minit dengan hanya 10% hayat bateri.

Bercakap mengenai jangka hayat bateri, Magic6 Pro menawarkan jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding generasi sebelum ini dan ini adalah kombinasi kapasiti bateri yang lebih besar selain cipset yang lebih efisien.

Penutup

HONOR Magic6 Pro adalah sebuah telefon pintar flagship yang patut diberikan perhatian serius sepanjang tahun 2024.

Magic6 Pro menyelesaikan pelbagai ‘pain point’ pengguna dengan teknologi baharu seperti HONOR skrin  NanoCrystal Shield, bateri silikon karbon yang lebih besar berbanding pencabar terdekat, sensor kamera yang bukan hanya besar di atas kertas malah memberikan hasil yang baik dan ciri Face Unlock yang memiliki modul khas yang tidak ditawarkan pada mana-mana model flagship Android.

Dengan segala ciri di atas, HONOR Magic6 Pro adalah sebuah telefon pintar flagship yang boleh diberikan pertimbangan serius jika anda mencari sebuah peranti premium Android pada tahun ini.

HONOR Magic6 Pro kini rasmi di Malaysia pada harga RM 4,499 dan pra-tempahan telefon pintar ini kini telah dibuka.

Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percum bernilai RM 1,960 yang termasuk Honor Watch 4, Honor Earbuds X7, 365 hari penukaran panel hadapan dan belakang percuma dan 1 tahun lanjutan waranti.

Maklumat lanjut mengenai HONOR Magic6 Pro di SINI

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.