Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : CMF Buds Pro – Earbuds Mampu Milik dengan ANC dan bateri luar biasa

Anak syarikat Nothing iaitu CMF telah memperkenalkan tiga produk pertama mereka baru-baru ini dan Buds Pro adalah salah satu daripada produk yang dilancarkan.

CMF adalah singkatan kepada color, material, dan finish yang merupakan elemen asas didalam rekaan sesebuah produk.

CMF Buds Pro adalah sebuah earbuds mampu milik namun masih menawarkan kualiti dan rekaan yang premium pada harga RM 239 di Malaysia.

Kotak Kadbod

CMF Buds Pro tampil didalam kotak yang minimalis namun berbeza daripada kotak yang digunakan jenama lain. kadbod ini menempatkan kable pengecasan USB-C, earplug tambahan berlainan saiz, kad waranti dan manual penggunaan serta Buds Pro ini.

Reka Bentuk

CMF Buds Pro ini ditawarkan didalam tiga warna iaitu Orange, White Grey dan Dark Grey seperti unit ulasan kami yang mana ianya tampil didalam rekaan bulat dengan kemasan matte sepenuhnya pada bahagian luaran.

Selain itu, engsel ini mempunyai kemasan berkilat seperti krom manakala pada bahagian hadapan terdapat lampu indikasi berwarna putih diikuti port pengecasan dibahagian belakang. Pada bahagian dalam bekas pengecasan terdapat butang tetapan untuk sambungan kepada telefon pintar.

Dalam pada itu, CMF Buds Pro juga mempunyai sensor optikal pada bahagian dalam earbuds untuk mengesan sama ianya dipakai atau tidak yang mana sensor ini biasa hanya digunakan pada earbuds premium.

Seterusnya, earbuds ini juga mempunyai penarafan kalis air dan habuk IP54 namun penarafan ini tidak termasuk bekas pengecasan.

Dalam pada itu, earbuds ini juga mempunyai tangkai yang memanjang dengan ruang sesentuh dan terdapat dua lubang (bahagian atas) untuk pembesar suara dan dua lubang untuk mikrofon (bahagian bawah).

CMF Buds Pro amat selesa untuk dipakai walaupun bagi tempoh yang lama. Ianya juga kecil, ringan, dan tidak terasa beban di telinga. tip silikon yang disertakan juga adalah lembut dan selesa tanpa rasa terlalu nipis atau murah seperti yang earbuds lain yang ditawarkan pada segmen harga ini.

Secara keseluruhanya, reka bentuk CMF Buds Pro adalah sama seperti kebanyakkan earbuds dipasaran (entry-level) namun dengan bekas pengecasan yang bulat. Bahan yang digunakan juga tidak memberikan penampilan yang terlalu premium dan sudah pastinya amat berbeza dengan falsafah rekaan yang digunakan Nothing.

Ciri-Ciri

CMF Buds Pro boleh digunakan bersama aplikasi Nothing X yang tersedia untuk peranti Android dan iOS yang menawarkan akses kepada tetapan menyeluruh earbuds ini.

Aplikasi Nothing X ini menawarkan anda status pengecasan earbuds dan bekas pengecasan, pelarasan EQ, penetapan kawalan sesentuh dan Noise Control (ANC). Lain-lain ciri yang disertakan bersama aplikasi ini adalah mod Low Lag untuk gaming, in-ear detection untuk memainkan audio ketika ditelinga dan menhentikan audio ketika earbuds dicabut.

Akhir sekali, anda juga boleh menggunakan ciri Find My Earbuds serta melakukan kemaskini perisian terbaru yang ditawarkan.

Secara keseluruhan aplikasi Nothing X berfungsi dengan sempurna sepanjang kami melakukan ulasan dan ianya mempunyai antaramuka yang sangat elegan dan sangat mudah untuk digunakan.

Kualiti Audio

CMF Buds Pro mempunyai satu pemacu polimer kristal cecair dinamik + poliuretana. Fon telinga ini menyokong codec SBC dan AAC melalui Bluetooth 5.3. Earbuds uni juga mempunyai kebolehan melaraskan frekuensi bass dalam secara langsung berdasarkan kandungan audio yang didengar.

Kadar bass pada Buds Pro boleh dikatakan sedikit tinggi berbanding earbuds setaraf di pasaran dan ianya turut membawakan ciri pembatalan bunyi hingar aktif yang kebiasaanya ditawarkan pada fon telinga yang lebih premium.

Bercakap mengenai ANC, ciri ini dilihat mampu menyingkirkan bunyi bising dengan berkesan namun penyahaktifan ANC juga menyebabkan kualiti audio adalah lebih baik tanpa terlalu banyak bass dan treble.

Lebih lanjut, anda diberikan tiga tetapan ANC iaitu pengaktifan ANC, mod transparency dan penyahaktifan ANC.

Seterusnya, kadar latensi pada CMF Buds Pro adalah sedikit tinggi dan ianya boleh dirasai dengan jelas apabila anda memainkan video pada peranti pintar anda. Ianya tampil dengan low lag mode untuk kadar latensi yang lebih rendah ketika gaming namun tidak banyak berbeza pada pendapat kami.

Jangka Hayat Bateri

CMF Buds Pro memiliki bateri berkapasiti 55mAh pada setiap earbuds dan ianya mampu menawarkan sehingga 11 jam waktu pendengaran tanpa menggunakan ciri ANC atau sehingga 6.5 jam dengan ciri ANC. Bersama bekas pengecasan, anda boleh menikmati sehingga 39 jam waktu penggunaan tanpa mod ANC atau sehingga 21 jam dengan mod ANC.

Penutup

CMF Buds Pro adalah sebuah earbuds yang menawarkan fon telinga yang menarik untuk dilihat, selesa untuk dipakai , aplikasi yang mesra pengguna dan jangka hayat bateri yang luar biasa. Kekurangan pada Buds Pro ini sudah pastinya dari segi kualiti audio dan panggilan namun ianya boleh diperbaiki lagi dengan kemaskini dari semasa ke semasa.

Jika anda mencari earbuds mampu milik yang menawarkan ciri ANC dan jangka hayat bateri yang lebih lama, CMF Buds Pro adalah antara earbuds yang patut diberikan pertimbangan.

CMF Buds Pro kini di Malaysia pada harga RM 239 dan ianya boleh dibeli melalui stor rasmi CMF by Nothing di Lazada dan Shopee.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.