Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OPPO Find N3 Flip – Kesempurnaan dicari semakin hampir menjadi realiti

Pengenalan

Oppo secara rasminya telah melancarkan Find N3 Flip, telefon pintar boleh lipat kompak generasi terkini dengan reka bentuk, engsel, prestasi dan pengalaman kamera yang lebih baik. Ianya masih mempunyai rekaan yang sama seperti Find N2 Flip namun dilihat berpotensi menjadi antara telefon pintar terbaik dalam kategori flip ini.

Selain itu, Find N3 Flip juga tampil dengan sistem tri-kamera Hasselblad yang menjadikanya peranti flip dengan kamera paling berkuasa dipasaran.

Oppo Find N3 Flip kini rasmi di Malaysia pada harga RM 4,399 dan ini adalah ulasan penuh telefon pintar ini.

oppo find n3 flip malaysia

Reka Bentuk

OPPO telah mengambil pendekatan untuk mengekalkan rekaan yang sama seperti Find N2 Flip namun ditambah baik dengan penawaran IPX4 yang bermaksud telefon pintar ini menawarkan perlindungan daripada percikan air seperti ketika hujan manakala cover screen model ini kini tampil dengan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Victus.

Mengulas sedikit tentang engsel yang digunakan pada Find N3 Flip, OPPO menggunakan generasi baharu Flexion Hinge yang sama seperti pada Find N3 namun disesuaikan untuk telefon pintar ini. Ianya mempunyai ketahanan sehingga 1,000,000 lipatan dan lekukan skrin yang lebih minima iaitu kurang dari 0.15mm sepanjang kitaran hayat produk ini.

Selain itu, OPPO juga beralih kepada penggunaan panel belakang yang diperbuat daripada gelas dan ianya juga menampilkan butang fizikal alert slider yang sangat sinonim dengan jenama OnePlus.

Bercakap mengenai modul kamera Find N3 Flip ini, ianya adalah menampilkan rekaan Cosmos Ring Design yang tampil dengan rekaan bergerigi pada sekeliling kamera yang lebih premium.

Skrin Paparan

Tarikan utama pada Find N3 Flip semestinya adalah skrin paparan foldable LTPO AMOLED berukuran 6.8-inci. Ianya adalah panel yang sangat berwarna, menawarkan kecerahan yang optimum dan kontras yang tinggi.

Selain itu, panel skrin boleh lipat ini tidak mempunyai sebarang bezel sebelum housing plastik yang lebih tinggi daripada skrin dan ini melindungi skrin daripada dicemari habuk ketika dilipat. Lekukuan pada skrin adalah tidak ketara namun ianya boleh dilihat pada sudut tertentu dan ketika anda menekan pada bahagian lipatan skrin ini.

Seterusnya, panel ini mempunyai resolusi 2,520 x 1,080 piksel dengan kadar segar semula 120Hz dan HDR10+ serta kecerahan maksima mencecah 1,600nits.

Selain itu, OPPO Find N3 Flip mempunyai tiga tetapan kadar segar semula iaitu – Auto (1-120Hz), High (120Hz) dan Standard (60Hz). Pilihan warna pula adalah Natural, Pro dan Vivid.

Bercakap mengenai skrin paparan luar pula, ianya adalah panel AMOLED berukuran 3.26-inci dengan 720 x 382 piksel dan kecerahan maksima mencecah 900nits. Fungsi cover screen pada Find N3 Flip ini juga telah ditambah dimana anda boleh membuka hampi apa sahaja aplikasi.

Selain itu, cover screen ini juga berfungsi untuk memaparkan notifikasi, jam dan viewfinder ketika menggunakan kamera.

Pemproses

OPPO Find N3 Flip dikuasakan dengan cip flagship MediaTek Dimensity 9200 yang merupakan cip 4nm keluaran TSMC. Ianya membawakan penambahbaik ketara berbanding Find N2 Flip dan cipset ini juga dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 256GB jenis UFS 4.0.

Selain itu, Find N3 Flip ini beroperasi pada Android 13, dengan antaramuka  ColorOS 13.2. Oppo juga telah menjanjikan 4 tahun kemas kini utama Android dan 5 tahun patch keselamatan, yang merupakan sesuatu yang sangat dialu-alukan oleh peminat OPPO.

Seterusnya, GPU yang dimiliki oleh cip Dimensity 9200 ini  ARM Immortalis-G715 MC11 yang mempunyai ray tracing.

Secara keseluruhan, penggunaan cipset terbaik daripada MediaTek bermaksud prestasi harian telefon pintar ini adalah sangat memuaskan.

Kamera

OPPO Find N3 Flip membawakan upgrade kamera terbesar didalam sejarah telefon pintar ini dan ianya turut termasuk penawaran sensor telefoto pertama pada telefon pintar kategori clamshell ini.

Tiga kamera yang dimiliki Find N3 Flip ini adalah kelas flagship iaitu satu sensor utama 50MP IMX890 yang memiliki OIS, sensor ultrawide 48MP IMX581 dengan kebolehan fotografi makro pada jarak sedekat 4cm dan sensor telefoto 32MP yang menawarkan 2x zoom optik dan 5x zoom dengan teknologi in-sensor zoom.

Menariknya, sistem tri-kamera berkuasa tinggi ini juga menyaksikan kerjasama Oppo/OnePlus-Hasselblad telah tiba ke Find N3 Flip, yang bermaksud bahawa syarikat kamera ikonik ini membawa beberapa teknologi sains warna dan banyak lagi.

Pengaruh Hasselblad juga boleh dilihat dengan lebih mudah dalam aplikasi kamera, di mana shutter telah bertukar oren. Selain itu, aplikasinya tidak jauh berbeza daripada apa yang anda akan dapati pada mana peranti OnePlus atau Oppo .

Bercakap mengenai kualiti imej, ianya kelihatan amat sempurna dengan kadar perincian yang tinggi, tiada sebarang kekaburan, imbangan putih yang tepat, dan penghasilan warna juga tepat.

Dalam pada itu, kamera selfie Find N3 Flip ini adalah sensor 32MP yang sama seperti sensor telefoto namun dengan peranti flip, sensor tri-kamera Hasselblad juga boleh digunakan untuk mengambil gambar selfie melalui ciri FlexForm dan banyak lagi. Dual-Preview juga memastikan anda boleh melihat previu sebelum mengambil gambar selfie.

Berikut adalah hasil gambar dari OPPO Find N3 Flip :

Bateri

OPPO Find N3 Flip memiliki bateri berkapasiti 4,300mAh bersama pengecasan pantas 44W yang mampu memberikan 50% pengecasan didalam masa 23 minit sahaja manakala pengecasan penuh mengambil tambahan masa sehingga 30 minit namun ianya dilihat antara yang terbaik pada peranti kategori flip ini.

Agak mengecewakan, Find N3 Flip tidak memiliki sokongan pengecasan tanpa wayar walaupun ciri ini pernah ditawarkan pada generasi pertama Find N Flip.

Penggunaan cip yang lebih cekap tenaga memastikan, Find N3 Flip menawarkan jangka hayat bateri yang agak memuaskan namun kekangan ruang dalaman pada peranti Flip menyebabkan OPPO terpaksa mengorbankan sedikit kapasiti bateri.

Penutup

OPPO Find N3 Flip adalah sebuah foldable clamshell  yang mempunyai rekaan menarik, skrin, cipset dan kamera yang terbaik. Ianya juga merupakan model pertama didalam kategori flip untuk memiliki sistem tri-kamera yang termasuk sensor zoom optikal dan tidak lupa teknologi pengecasan pantas terbaik.

Find N3 Flip kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 4,399 dan ianya adalah antara peranti flip yang patut diberi pertimbangan jika anda sedang mencari sebuah peranti foldable clamshell seperti ini.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.