Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A54 5G – Midrange Premium Yang Mirip Galaxy S23 Series

Samsung Galaxy A54 5G

Pengenalan

Selepas menyelesaikan pelancaran Galaxy S23 Series pada awal tahun 2023, Samsung telah mengalihkan perhatian kepada Galaxy A Series 2023 yang dilihat sebagai satu lagi siri telefon pintar penting kepada syarikat ini.

ULASAN : Samsung Galaxy A34 5G – Skrin 120Hz AMOLED lebih besar dengan rekaan seiras Galaxy S23

Tahun ini, Samsung mempertaruhkan dua model Galaxy A Series yang utama iaitu Galaxy A34 5G dan Galaxy A54 5G dengan beberapa penambahbaikan selain mengekalkan ciri-ciri yang sentiasa mendapat sambutan positif.

Samsung Galaxy A54 5G adalah model tumpuan didalam artikel ini dan ianya telah dilancarkan di Malaysia baru-baru ini pada harga RM 1,899 yang meletakkanya sebagai peranti midrange yang sangat kompetitif.

Persoalannya, adakah Galaxy A54 5G mampu memberikan anda prestasi dan kepuasan setimpal dengan harga dibayar?, Pastikan anda terus membaca ulasan ini untuk mengetahui selanjutnya.

Rekaan

Penyeragaman rekaan telefon pintar Galaxy pada tahun nampak lebih menyeluruh kerana Galaxy A Series juga telah tampil dengan rekaan yang sama seperti Galaxy S23 Series.

Samsung Galaxy A54 5G tampil dengan reka bentuk modul kamera individu yang dikelilingi dengan gelung berwarna krom dan ianya juga lebih tinggi berbanding panel belakang yang menjadiknya tidak sekata apabila diletakkan pada permukaan rata.

Walaubagaimanapun, bahan yang digunakan untuk pembuatan belakang Galaxy A54 5G ini adalah plastik yang bermaksud ianya tidak sama dengan Galaxy S23 Series dan ianya juga tampil dengan kemasan yang berkilau namun tidak terlalu mengumpul kesan capjari dengan mudah pada unit kami yang tampil didalam warna Awesome Lime.

Bercakap mengenai warna, Samsung Galaxy A54 5G tampil didalam warna yang lebih cerah dan ceria iaitu Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet dan Awesome White.

Dalam pada itu, chasis yang digunakan pada Galaxy A54 5G ini adalah diperbuat daripada plastik memandangkan tiada sebarang jalur antena namun penampilan yang nampak premium adalah sesuatu yang tidak dapat di nafikan.

Selain itu, Samsung Galaxy A54 5G masih mengekalkan pensijilan kalis air dan habuk IP67 yang amat jarang ditawarkan pada telefon pintar kelas midrange.

Bercakap mengenai susunan butang dan slot, Galaxy A54 5G masih mengekalkan butang kuasa dan butang kelantangan bunyi pada sisi kanan manakala pada bahagian bawah terdapat slot USB-C bersama gril pembesar suara stereo dan lubang mikrofon.

Perubahan terbaru pada Galaxy A Series tahun ini adalah slot SIM kini pada bahagian atas rangka telefon pintar ini.

Ke bahagian hadapan, Samsung Galaxy A54 tampil dengan skrin paparan berukuran 6.4-inci mana ianya adalah lebih kecil berbanding pada Galaxy A34 dan ianya turut dikelilingi bezel yang agak tebal terutamanya pada bahagian bawah.

Selain itu, paparan Galaxy A54 5G ini adalah rata dan ianya dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 seperti generasi sebelum ini dan terdapat juga sensor capjari dalam skrin.

Seterusnya, Galaxy A54 5G mempunyai ukuran dimensi yang agak tinggi berbanding generasi sebelum ini iaitu 158.2mm manakala ketebalan adalah 8.2mm dengan berat mencecah 202 gram.

Secara keseluruhanya, Samsung Galaxy A54 5G tampil dengan rekaan yang sama seperti Galaxy S23 Series namun dalam pembuatan yang lebih efektif kos.

Skrin Paparan

Sesuatu yang mengejutkan apabila Samsung memutuskan untuk menggunakan skrin paparan yang lebih kecil pada Galaxy A54 5G iaitu 6.4-inci berbanding panel 6.5-inci namun perbezaan ini tidak begitu ketara untuk dilihat pada mata kasar.

Dari sudut positif, Samsung Galaxy A54 5G masih mengekalkan penggunaan skrin paparan AMOLED Infinity-O yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.

Samsung juga telah meningkatkan kadar kecerahan maksima panel ini kepada 1,000 nits yang masih belum boleh dianggap setaraf flagship namun ianya menawarkan kejelasan lebih baik dibawah cahaya matahari.

Selain itu, panel ini menyokong resolusi FHD+ pada nisbah 19.5:9 dan kepadatan piksel 403 ppi.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A54 5G juga tampil dengan ciri Vision Booster yang menggunakan algoritma  pelarasan tona warna mengikut kesesuaian keadaan cahaya persekitaran.

Seterusnya, pada bahagian tetapan terdapat juga dua pilihan warna skrin yang secara tradisinya ditawarkan pada Galaxy A Series iaitu Vivid untuk warna yang lebih tinggi dan Natural untuk warna yang lebih semulajadi.

Bagi tetapan kadar segar semula pula, anda diberikan dua tetapan iaitu Standard yang mengekalkan kadar 60Hz sepanjang masa manakala Adaptive memberikan anda kadar segar semula yang tersuai mengikut kandungan pada skrin namun tidak dinamik seperti yang ditawarkan pada peranti premium Galaxy S Series.

Pemproses

Salah satu penambahbaikan dalaman yang dibawa oleh Samsung Galaxy A54 5G adalah cipset Exynos 1380 yang menawarkan prestasi lebih baik berbanding cip Exynos 1280 yang digunakan pada Galaxy A53 5G.

Ianya adalah cip yang diperbuat daripada proses fabrikasi 5nm dan ianya juga mempunyai unit pemprosesan grafik Mali-G68 MP5 yang lebih berkuasa berbanding pada generasi sebelumnya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Galaxy A Series di Malaysia hanya ditawarkan didalam satu konfigurasi iaitu 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Bercakap mengenai UI yang disertakan pada Galaxy A54 5G, ianya menyamai apa yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S23 Series iaitu One UI 5.1 yang berasaskan Android 13.

Ciri Color Palettes pada Android 13 ini membolehkan  satu perubahan pada warna gambar latar belakang akan turut mengubah antaramuka secara menyeluruh  yang termasuk ikon, menu, butang dan latar belakang.

Dalam pada itu, Widget juga kini sudah boleh disusun antara satu sama lain dengan peralihan antara widget dengan ‘swipe’ yang mudah namun tidak banyak widget yang menyokong ciri stacking ini.

Seterusnya, Galaxy A54 5G juga membawakan ciri Modes and Routines yang membolehkan anda memilih mod berdasarkan perkara yang anda lakukan sekarang dan telefon pintar akan melaksanakan tindakan tertentu seperti mengubah profil bunyi, tetapan paparan, notifikasi dan banyak lagi.

Selain itu, Samsung juga telah menyatakan komitmen untuk menawarkan sehingga 4 generasi kemaskini Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan Android yang pasti disambut baik pengguna yang membeli telefon pintar untuk kegunaan jangka masa panjang.

Kamera

Samsung Galaxy A54 5G tampil dengan kebolehan kamera yang hampir sama seperti generasi sebelum ini namun ianya telah ‘kehilangan’ sensor depth 5MP.

Walaubagaimanapun, Galaxy A54 5G kini tampil dengan sensor utama 50MP yang baharu bersama sensor ultrawide 12MP dan sensor makro 5MP yang sama seperti pada Galaxy A53.

Selain itu, Samsung juga menyertakan kamera selfie 32MP yang mampu memberikan anda fotografi swafoto yang memuaskan dan setaraf dengan generasi sebelum ini.

Selain itu, sensor 50MP pada Galaxy A54 ini juga disertakan bersama OIS yang menjanjikan pengambilan gambar yang lebih jelas tanpa sebarang kekaburan.

Hasil gambar pada Galaxy A54 juga lebih baik secara keseluruhan walaupun sensor yang digunakan mempunyai megapiksel yang lebih rendah iaitu 50MP berbanding 64MP dan ini memberikan anda bukti jelas bahawa megapiksel yang tinggi tidak bermaksud ianya lebih baik.

Selain itu, gambar daripada sensor ultrawide 12MP juga ternyata baik walaupun tidak setaraf sensor utama dan tahap ketelitian gambar juga sedikit kurang

Seterusnya, Samsung Galaxy A54 juga menyokong fotografi makro dengan penggunaan sensor 5MP yang ternyata mampu mengambil gambar makro yang lebih teliti dengan pada jarak dekat namun hanya pada jarak sekitar 4cm dengan fokus tetap.

Aplikasi kamera Samsung juga boleh mengesan sensor kamera berada dekat pada sesuatu objek dan memberikan anda pilihan untuk beralih kepada mod makro dengan menekan ikon ‘Use Macro mode’ pada skrin.

Dalam pada itu, mod potrait Samsung Galaxy A54 5G juga tidak mengecewakan dimana ianya boleh digunakan untuk mengambil potret manusia dan juga objek. Samsung juga menawarkan anda pilihan untuk menukar kesan kabur pada latar belakang gambar ini yang mana terdapat beberapa pilihan kesan tambahan menarik seperti Spin, Zoom, Colour Point dan banyak lagi.

Berikut adalah hasil gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy A54 5G :

Bateri

Samsung Galaxy A54 5G masih mengekalkan kapasiti standard pada telefon pintar iaitu 5,000mAh namun perbezaan komponen dalaman sudah pastinya memberikan kesan positif atau negatif kepada jangka hayat bateri.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A54 5G menawarkan sokongan pengecasan pantas 25W namun tiada adapter pengecasan disertakan didalam kotak pembelian dan pengecasan penuh mengambil masa melebih 60 minit.

Penutup

Samsung Galaxy A54 5G mungkin telah meletakkan semula model Samsung Galaxy A Series ini didalam landasan yang tepat selepas kekurangan yang dimiliki Galazy A53 5G.

Ianya tampil dengan cipset yang lebih berkuasa, rekaan yang mirip setaraf flagship dan sensor utama yang baharu.

Pada harga RM 1,899, Samsung Galaxy A54 5G adalah RM 50 lebih mahal berbanding harga Galaxy A53 5G ketika pelancaran dan kami merasakan ianya sesuatu yang berbaloi untuk dimiliki lebih-lebih lagi kerana ianya kini tampil dengan dua tahun jaminan waranti.

Beli Samsung Galaxy A54 5G di Samsung Malaysia

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.